Gabung manifesto PH, BN pulihkan sekuriti makanan

Gabung manifesto PH, BN pulihkan sekuriti makanan

oleh Norkumala Awang

Islam amat menitikberatkan jaminan sekuriti makanan untuk semua umat manusia terutama bagi golongan memerlukan dan miskin.

Ini kerana memiliki makanan cukup untuk kelangsungan kehidupan menjadi hak asasi bagi setiap manusia yang turut dirakam dalam al-Quran.

“Dan Ia menjadikan di bumi gunung-ganang menetapnya (tersergam tinggi) di atasnya, serta Ia melimpahkan berkat padanya dan Ia menentukan ada pada-Nya bahan keperluan hidup penduduknya, sekadar menyamai hajat diminta dan dikehendaki keadaan mereka; (semuanya itu berlaku) dalam empat masa.” (Fussilat:10)

Pandemik COVID-19 menghantui kehidupan manusia sejagat, mengubah komposisi kehidupan kelompok M40 sebanyak 20 peratus yang tergelincir ke kategori B40. Keadaan ini membabitkan isu peningkatan kos sara hidup yang memberi kesan kepada ketidakcukupan bekalan makanan, seterusnya ancaman masalah nutrisi.

Krisis bekalan makanan negara berpunca pengeluaran dan bekalan makanan terhad serta kesan bencana alam seharusnya menjadi pengajaran kepada semua terhadap kepentingan menjaga kedaulatan makanan dan sekuriti bekalan makanan negara.

Kenaikan harga makanan dilihat simptom krisis makanan diramalkan berlaku secara global disebabkan perubahan iklim. Ini kerana akibat gangguan cuaca ekstrem, petani tidak mampu meramalkan kemarau atau hujan yang boleh mendedahkan tanaman berisiko musnah atau berpenyakit.

Justeru, memperbaiki sistem makanan hari ini harus dijadikan tumpuan utama untuk kelangsungan hidup negara dengan membina sumber bekalan makanan berdaya tahan. Bagi tujuan itu, rantaian bekalan makanan negara memerlukan pendekatan baharu berstrategik dan realistik dengan membangunkan amalan pertanian berdaya tahan dengan kerencaman iklim.

Pasca-Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), manifesto parti seharusnya dijadikan sandaran bagi kerajaan ditubuhkan untuk melaksanakan usaha dan janji dalam memperbaiki kehidupan rakyat.

Jika ditinjau dalam kedua-dua manifesto Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), isu sekuriti makanan menjadi antara fokus untuk digembleng strategi dalam menyelesaikan masalah ketidakcukupan makanan, sistem produk makanan tidak cekap serta kebergantungan kepada import terlalu besar.

Risiko gangguan krisis iklim di negara dilihat memerlukan pelbagai langkah penyesuaian dan strategi kalis terhadap perubahan tidak boleh dielakkan bagi mengurangkan kesan buruk.

Amalan dan strategi pertanian berdaya tahan kepada ketidaktentuan cuaca termasuk memberi penekanan terhadap penggunaan tanah untuk mempelbagaikan jenis pengeluaran dan menilai kualiti kesihatan tanah.

Merujuk kepada manifesto kedua-dua parti terbesar yang menubuhkan kerajaan baharu, bagi tujuan pertanian dan penternakan dicadangkan agar reformasi tanah pertanian melalui kerjasama kerajaan negeri diwartakan secara kekal kawasan pertanian seperti jelapang padi dan padang ragut bagi memudahkan petani dan penternak memohon atau memajak tanah.

Usaha ini wajar dilaksanakan dan digembleng untuk menjamin kepelbagaian sumber makanan serta memperbaiki sistem makanan yang terjejas.

Langkah untuk melebarkan penggunaan teknologi moden dan pintar dalam skala besar dengan penggunaan internet benda (IoT) dalam bidang agromakanan harus disambut baik oleh masyarakat namun memerlukan usaha berstrategik daripada kerajaan untuk membantu kelompangan dalam pelaksanaannya.

Perubahan sistem makanan daripada pertanian konvensional kepada sistem agro berteknologi tinggi menggalakkan pertanian mampan dapat menangani masalah kekurangan pengeluaran dan kemerosotan kualiti tanah serta tanaman.

Ladang pertanian mesra alam sekitar akan memberikan penyesuaian kepada cuaca dalam negara serta dapat memelihara hasil tanaman terjejas akibat iklim tidak menentu.

Lahir agropreneur muda

Justeru, tenaga muda perlu digalakkan dan dilatih dalam program agromakanan dengan pembiayaan latihan kemahiran berterusan bagi melahirkan agropreneur muda berkecimpung dalam sektor pertanian moden.

Usaha ini amat perlu diberi perhatian oleh kerajaan baharu dalam memperbaiki tahap sara diri masyarakat dan menangani isu keterjaminan bekalan makanan dalam negara.

Kerajaan harus mempertimbangkan untuk melaksanakan kemudahan skim perlindungan pertanian atau insurans tanaman bagi melindungi pengusaha pertanian daripada sebarang risiko luar kawalan yang berlaku kepada tanaman negara seperti cuaca tidak menentu dan penyakit.

Produk kewangan seperti insurans dan takaful berkenaan boleh dijadikan sebagai suatu mekanisme untuk menstabilkan pendapatan petani dan melindungi risiko kemerosotan tanaman serta kenaikan harga.

Di samping itu, bagi menggalakkan persaingan sihat, kerajaan perlu melaksanakan inisiatif menghapuskan kartel dalam sektor agromakanan dan keperluan asas.

Usaha ini akan mewujudkan peluang usahawan baharu untuk menceburkan diri dalam membantu jaminan bekalan makanan dan kedaulatan makanan negara.

Agensi kerajaan juga harus berperanan sebagai badan penampan dalam perbekalan dan permintaan serta kawalan harga bahan asas makanan bagi mengelakkan monopoli pihak tertentu dalam sistem rantaian makanan.

Di samping membina modal sosial dalam bidang pertanian, langkah ini penting untuk menghapuskan orang tengah dalam rantai makanan dengan memendekkan rantai bekalan makanan kepada pengguna, sekali gus mengurangkan harga makanan.

Ringkasnya, perubahan dalam sistem makanan ini juga amat memerlukan pembangunan budaya pertanian dalam komuniti di samping galakan berterusan daripada kerajaan.

Langkah dan usaha ini amat perlu diberi perhatian dan dirintis bagi membuat persiapan padu dalam menghadapi krisis kemerosotan bekalan makanan dan krisis ekonomi dunia seperti diramalkan.

Sektor pertanian bukan sekadar untuk menjamin sumber bekalan makanan berterusan malah menyumbang kepada perkembangan ekonomi Malaysia di samping sektor baharu lain.

Kita harus mengambil contoh dari negara luar seperti Thailand yang melonjakkan sektor pertanian sebagai penyumbang utama ekonomi negara. Inovasi pertanian canggih di Belanda juga memposisikan mereka sebagai pembekal teknologi dalam bidang pertanian dan penternakan ke seluruh dunia.

Sokongan padu daripada kerajaan dengan penggemblengan tenaga dalam kalangan masyarakat menentukan talian hayat dalam sekuriti makanan dan kedaulatan makanan negara.

Risiko gangguan iklim akan terus mengancam sumber tanaman dan penternakan tempatan, namun inisiatif peringkat dasar harus dipertimbangkan kerajaan dapat mengurangkan kemerosotan bakal berlaku bahkan membina sistem makanan berdaya tahan untuk populasi pada hari ini dan generasi akan datang. BH

Pegawai Penyelidik Kanan Pusat KajianSains Dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Gabung manifesto PH, BN pulihkan sekuriti makanan
Gabung manifesto PH, BN pulihkan sekuriti makanan


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Perlantikan kabinet, Annuar Musa kini ‘bertukar nada’

Bila Formula Rafizi Akan Mula Dilaksanakan?

Ronaldo bakal berhijrah ke Arab Saudi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker