Ringgit susut, Bursa dibuka rendah

Ringgit susut, Bursa dibuka rendah

Nilai ringgit menyusut sedikit daripada kenaikan yang dicatatkan minggu lalu dan dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, dipengaruhi oleh pengukuhan nilai dolar AS selain kemerosotan harga minyak mentah, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.5000/5100 berbanding dolar AS daripada penutupan Jumaat pada 4.4795/4890.



Pasaran ditutup semalam sempena cuti khas yang diumumkan oleh Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis minggu lalu.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata peniaga dilihat mencari perlindungan dengan mendapatkan dolar (mata wang selamat) di tengah-tengah kebimbangan kemelesetan global, sementara menunggu ucapan pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS, Jerome Powell mengenai kenaikan kadar pada hari Rabu.

“Permintaan untuk dolar AS bermula selepas Rizab Persekutuan pada Isnin menukar nada dan cenderung terhadap kenaikan kadar faedah, ” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Innes berkata harga minyak kekal tidak menentu ekoran berita yang kian meluas antara menambah dan mengurangkan bekalan oleh Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC).



Ketika ini, penanda aras harga minyak mentah Brent turun 0.46 peratus kepada AS$82.81.

Pada sesi pembukaan, ringgit diniaga bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Nilai mata wang tempatan menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.2628/2705 daripada 3.2573/2645 pada penutup Jumaat dan lemah berbanding yen Jepun kepada 3.2425/2500 daripada 3.2118/2188.

Bagaimanapun, ringgit menambah nilai berbanding pound Britain kepada 5.3852/3971 daripada 5.4094/4209 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6530/6633 daripada 4.6551/6650 minggu lalu.



Bursa dibuka rendah

Bursa Malaysia dibuka rendah pada sesi awal dagangan pagi Selasa, mengambil petunjuk daripada prestasi suram di Wall Street semalaman, selepas beberapa pegawai penting Rizab Persekutuan (Fed) mengulangi keperluan untuk kenaikan kadar yang lebih agresif bagi memerangi inflasi.

Pada 9.06 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.62 mata kepada 1,480.92 daripada 1,486.54 pada Jumaat lepas.

Pasaran dibuka 2.77 mata lebih rendah pada 1,483.77.



Bursa Malaysia Bhd dan anak-anak syarikatnya ditutup semalam sempena cuti khas yang diumumkan oleh Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis minggu lalu.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan menyaksikan sebanyak 152 kaunter untung dan 191 rugi manakala 249 kaunter tidak berubah, 1,666 tidak diniagakan dan 67 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 272.64 juta unit bernilai RM89.85 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan hari ini berkata pasaran saham global memulakan minggu ini sebahagian besarnya dalam keadaan yang agak lesu kerana tindakan protes terhadap sekatan ketat COVID-19 China mencetuskan kebimbangan terhadap pemulihan kewangan global.



“Tempiasnya (trend lemah global) mungkin turut dirasai oleh bursa tempatan kerana momentum belian dijangka bergerak perlahan dan pada masa yang sama tumpuan menjurus kepada musim pelaporan pendapatan yang berterusan.

“Sementara itu, pelabur akan memantau secara rapat pembentukan Kabinet dalam masa terdekat serta pembentangan semula Bajet 2023,” kata firma penyelidikan itu.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun satu sen menjadi RM8.66, Public Bank susut empat sen kepada RM4.48, Petronas Chemicals lemah 20 sen kepada RM8.88, IHH Healthcare kerugian tiga sen untuk mencatatkan RM5.97, manakala CIMB naik enam sen kepada RM5 .86 dan Tenaga menokok tujuh sen menjadi RM8.85.

Antara saham aktif, MMAG dan TA Win masing-masing tidak berubah pada tiga sen dan tujuh sen, Advance Synergy susut satu sen menjadi 19.5 sen, manakala MQ Technology naik satu sen kepada lima sen dan Eden Inc menambah setengah sen kepada 14.5 sen.



Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 34.40 mata kepada 10,542.39, Indeks FBMT 100 turun 36.21 mata menjadi 10,263.48, FBM ACE berkurangan 15.75 mata kepada 5,175.89, FBM 70 merosot 33.32 mata menjadi 12,605.03 dan Indeks FBM Emas Syariah lebih rendah 33.97 mata kepada 10,653.65.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 29.79 mata kepada 16,669.37 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.47 mata menjadi 183.89, manakala Indeks Perladangan lemah 7.01 mata kepada 6,810.14, dan Indeks Tenaga menyusut 9.52 mata kepada 749.57. BH

Ringgit susut, Bursa dibuka rendah


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Video Ismail Izzani tular, Suliza Salam pertahan anaknya

Aedy Ashraf kantoi bercumbu di kelab malam, tampil beri penjelasan

Bangun Nad, kita ada PM baru – Sharifah Amani

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker