E-hailing: Anthony Loke GAGAL fahami masalah polisi!

PUTRAJAYA,13/09/2018,Minister of Transport Anthony Loke give a press conference to other media today at MOT Building,MALAY MAIL/AZINUDDIN GHAZALI
Yang Berhormat Anthony Loke melalui Kementerian Pengangkutan semalam memberi ruang kepada pemandu-pemandu syarikat e-hailing selama tiga bulan lagi untuk mematuhi peraturan baru perkhidmatan e-hailing terutamanya berkaitan dengan pendaftaran lesen Public Service Vehicle (PSV).

Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan penguatkuasaan akan tetap berjalan dan mana-mana pemandu e-hailing yang ditahan tidak mempunyai lesen PSV akan diberi amaran akhir sebelum tindakan penguatkuasaan diambil termasuklah melucutkan hak milik kenderaan pemandu tersebut.

Semua syarikat e-hailing sedia maklum akan polisi yang akan dilaksanakan seawal tahun 2016 melalui Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang kini telah dibubarkan dan diganti dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). Namun demikian, polisi yang dipersetujui pada peringkat awal telah ditukar dengan beberapa penambahan yang dilihat tidak bersesuaian dengan sifat dinamik perkhidmatan e-hailing.

SPAD pada awalnya hanya mengenakan syarat latihan bagi pemilikan PSV melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang mana kini telah ditambah dengan keperluan untuk lulus peperiksaan PSV. Ini ditambah pula dengan keperluan untuk menjalani latihan selama enam jam di Institut Latihan Pemandu yang tidak pernah dipersetujui semasa SPAD membentuk polisi e-hailing.



Keadaan ini sedikit sebanyak menyukarkan proses transisi pemandu e-hailing untuk memiliki lesen yang sah sehinggalah syarikat-syarikat e-hailing berjaya melobi untuk latihan dibuat di syarikat mereka berdasarkan konsep latihan digital. Masalah ini tidak berhenti di sini sahaja, JPJ juga turut mengenakan syarat supaya syarikat-syarikat ini berdaftar sebagai institut latihan memandu dan perlu memenuhi kriteria kelayakan menjadi sebuah institut latihan memandu.

Keadaan menyukarkan syarikat-syarikat e-hailing yang berskala kecil untuk bersaing di dalam pasaran e-hailing. Selain daripada itu, setelah latihan dijalankan di syarikat e-hailing, mereka masih perlu ke pejabat JPJ untuk peperiksaan dan lulus sebelum mendapatkan PSV.

Setelah proses latihan dan peperiksaan selesai, mereka perlu mendapatkan kad lesen PSV di pejabat JPJ dan di dalam kes ini, memandangkan semua syarikat yang menjadi institut latihan memandu perlu berdaftar dengan JPJ, maka lesen ini boleh diambil hanya di pejabat-pejabat JPJ di negeri yang di tempat syarikat e-hailing berdaftar.

Dalam hal ini, maka lebih kurang 250,000 yang perlu menjalani latihan dan peperiksaan dan mendapatkan kad lesen PSV di pejabat JPJ negeri Selangor sahaja. Pejabat JPJ yang benar-benar berfungsi untuk mengeluarkan kad lesen PSV ini adalah di Padang Jawad dan bayangkan bertapa sesaknya keadaan di pejabat JPJ itu nanti lebih-lebih lagi hanya satu kaunter sahaja yang beroperasi bagi tujuan ini.



Ini belum lagi disentuh mengenai SOP bayaran yang tidak membenarkan syarikat e-hailing membuat bayaran secara sekali gus di pejabat JPJ. Syarikat-syarikat e-hailing perlu membuat bayaran bagi setiap seorang pemandu mereka secara berasingan.

Ini adalah antara isu-isu operasi yang saya pasti Menteri Pengangkutan tidak lansung tahu. Belum lagi disentuh berkenaan pemeriksaan kesihatan dan lain-lain perkara seperti isu pelekat kenderaan yang lambat dikeluarkan oleh JPJ. Apa yang pasti, JPJ masih lagi tersekat dengan peraturan yang lapuk dan tidak mengikut keperluan semasa. Ditambah pula dengan proses yang rigid menjadikan proses implementasi polisi baharu ini berada di ambang kegagalan.

Saya menyeru Yang Berhormat Anthony Loke untuk benar-benar memahami isu yang dihadapi oleh industri dari aspek operasi, malah saya bersedia untuk terlibat sama di dalam sidang meja bulat sekiranya perlu bagi memberi buah fikiran dan cadangan untuk penambahbaikan terutamanya di dalam memastikan polisi ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

– Penulis merupakan Pengarah Strategik Pemuda UMNO



– Penulis juga adalah bekas Ketua Bahagian Perancangan dan Polisi bagi Kumpulan Operasi, SPAD

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker