Mahathir terpaksa bergantung pada Anwar?

Mahathir terpaksa bergantung pada Anwar?

TINDAKAN Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu bekerjasama sekali lagi dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memperlihatkan bekas perdana menteri itu dalam keadaan terdesak.

Penganalisis politik Profesor Madya Mohd Izani Mohd Zain berkata, Pengerusi Gerakan Tanah Air dan Pengerusi Pejuang itu sedar partinya serta parti kecil dalam GTA iaitu Putra, Berjasa dan Iman tidak mampu untuk menarik sokongan pengundi sekali gus memenangi pilihan raya.

Justeru Dr. Mahathir mahu bergantung sepenuhnya kepada pengaruh Anwar bagi membolehkan GTA mendapat undi dan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

Menurut Mohd. Izani, GTA tidak mempunyai pilihan, selain Anwar dan PH kerana Mahathir tidak boleh bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) berikutan perselisihan yang berlaku dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

“GTA ini terdiri daripada parti-parti Melayu yang kecil. Gabungan ini masih baru dan belum teruji dalam pilihan raya sebelum ini. Jadi tidak nampak peluang yang besar kepada GTA.

“GTA kena bekerjasama dengan PH sebab dengan PN pun tidak boleh sebab dia ada isu dengan Bersatu Muhyiddin. Sekarang inilah hanya PH yang Tun M boleh kerjasama,” kata Mohd. Izani.

Mahathir dilaporkan berkata, beliau sanggup dituduh tidak tahu malu dan menjilat ludah sendiri berikutan menjalinkan kerjasama dengan musuh politiknya Anwar sejak tahun 1999.

Anwar yang merupakan Timbalan Perdana Menteri dituduh melakukan perbuatan tidak bermoral ketika Mahathir mengetuai pentadbir negara.

Semalam Mahathir sekali lagi menghulurkan tangan perdamaian dengan Anwar menjelang PRU bulan depan.

Menurut Mahathir, jika perlu memulakan langkah dia akan melakukannya dengan alasan mahu mengelakkan kerosakan kepada negara jika Barisan Nasional (BN) menang.

“Bagi saya kerjasama Anwar dan Mahathir tak jadi isu. Ia boleh berlaku kerana matlamat mereka sama mahu menjatuhkan BN. Dalam kes ini matlamat menghalalkan caralah.

“Kalau dulu Mahathir bekerjasama dengan Anwar, masa Anwar ada dalam penjara dan Mahathir diangkat sebagai perdana menteri.

“Kali ini orang meragui keikhlasan Mahathir . Dia nak bekerjasama dengan Anwar untuk apa? Sama ada mengalahkan BN ataupun dia masih menyimpan cita-cita sebagai perdana menteri sedangkan PH sudah menamakan Anwar,” kata Mohd. Izani.

Beliau berkata, satu-satunya yang boleh ditawarkan oleh Mahathir kepada Anwar dan PH ialah sokongan undi Melayu yang dimiliki oleh GTA.

Sementara itu Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Jamaie Hamil berkata, apa yang dilakukan oleh Mahathir adalah strategi ‘senjata terakhir, minggu terakhir’.

Menurut beliau, tanpa gabungan dengan PH, GTA tidak mempunyai peluang untuk memenangi PRU15.

“Kalau misalnya GTA tidak bergabung dengan PH atau Anwar, dia tidak mempunyai apa-apa peluang barangkali. Mungkin Mahathir boleh menanglah. Tapi kalau setakat menang dua tiga kerusi buat apa.

“PH sudah punya akar umbi, jentera. Pengalaman menjadi pembangkang yang cukup lama. Sebab itu pilihan Mahathir tepat.

“Dalam teori politik ini dikatakan senjata terakhir, minggu terakhir. Jadi senjata terakhir gabungan inilah. Tarikh mengundi sudah jelas kalau tidak ada gabungan seperti ini pecah PN, PH, GTA, GPS, MUDA,” katanya.

Jamaie menjangkakan BN akan menang besar jika gabungan yang diilhamkan oleh Mahathir tidak dilaksanakan.

Dalam usaha ini, bukan sahaja PH dan GTA bergabung tetapi PN juga perlu terlibat dalam gabungan itu.

“Persaingan yang ada sekarang ini hanyalah antara BN dan PH. Parti-parti lain itu tidak mempunyai harapan untuk menang.

“Pas bergabungan dengan PN, parti itu hanya boleh bertahan di Kelantan sahaja. Tempat-tempat lain sukar untuk Pas menang jika bersama Bersatu.

“Sebab mereka terpaksa berlawan dengan BN di Kedah, Perak dan Terenganu yang mana Pas menang dulu. Tetapi dalam PRU ini senario sudah lain. Pas dan PN terpaksa bersaing dengan BN yang dianggap sudah jadi pilihan utama,” katanya.

Bagaimanapun menurut beliau, sekiranya Mahathir dan Anwar bekerjasama satu memorandum persefahaman perlu ditandatangani dahulu bagi mengelakkan peristiwa selepas PRU14 berlaku.

Jamaie berkata, Mahathir juga perlu bersetuju untuk menerima Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

“Sekarang ini nampak BN itu sudah mula kuat. Kalau strategi ‘senjata terakhir, minggu terakhir’ ini berlaku dalam jajaran politik dalam masa dua minggu lupakan untuk kemenangan termasuk PH.

“Sebab pengundi melihat tidak ada satu persaingan kepada BN sekiranya empat jajaran tidak bekerjasama dan tidak melupakan perjuangan yang bersifat kepartian.

“Jika mereka sedia bekerjasama,Mahathir perlu menerima syarat bahawa Anwar menjadi Perdana Menteri dan perlu ada memorandum persefahaman. Kena ada perjanjian yang menyakinkan kerana pengundi tidak mahu ditipu kali kedua,” tegas beliau. MG

Mahathir terpaksa bergantung pada Anwar?


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Rumah tangga Sakinah, Michael telah berakhir?

Tragedi Berdarah: Kakak baling pisau bunuh adik angkara berebut tempat duduk

Jiran samseng undang kecaman warga maya [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker