PRU15: Nasib muka lama dan figura politik di Kelantan

 

PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) bakal menyaksikan beberapa muka lama dan nama ‘besar’ masih diberikan peluang oleh parti masing-masing untuk bertanding bagi merebut 14 kerusi Parlimen di Kelantan.

Ada dalam kalangan muka lama dan nama ‘besar’ itu dilihat begitu ‘akrab’ dengan masyarakat san pengundi sekali gus menyaksikan mereka lebih layak diberi mandat untuk bergelar Yang Berhormat.



Sungguhpun begitu, ada yang sekadar ‘berlindung’ di sebalik simbol parti, namun didakwa jarang sekali turun padang menjenguk pengundi. Jika turun, itupun sebaik sahaja gendang PRU dipalu.

1. TENGKU RAZALEIGH HAMZAH (KU LI)

Sosok tubuh berusia 85 tahun ini bukanlah asing dalam arena politik negara. ‘Berdarah’ kerabat diraja Kelantan, bekas Menteri Kewangan ini sudah 10 penggal diberi mandat sebagai Ahli Parlimen Gua Musang.

Masih cergas, cerdas dan sering melontarkan pandangan baharu kepada negara meletakkan Ku Li masih relevan berada dalam arena politik selain cukup disayangi oleh warga Gua Musang. Menariknya Ku Li antara Ahli Parlimen yang berjaya mengekalkan rekod bersih apabila menang secara berterusan sepanjang 10 penggal bertanding walaupun bertukar logo dari BN kepada Semangat 46 pada 1990 lalu.



2. TAN SRI ANNUAR MUSA

Penyandang kerusi Parlimen Ketereh ini disifatkan antara calon Barisan Nasional (BN) yang dilihat cukup rapat dan disenangi rakyat. Dua penggal diberi mandat sebagai Ahli Parlimen, Annuar yang mesra dengan panggilan Ayah War sering turun padang selain lantang membangkitkan isu-isu melibatkan kepentingan rakyat terutama di zaman pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun desas-desus mengatakan nama beliau mungkin tidak akan dicalonkan untuk kerusi Ketereh pada PRU15 yang pastinya memberi ‘tekanan’ kepada BN.

3. DATUK IBRAHIM ALI



Perjuangan ‘berkiblatkan’ Melayu dan Islam menjadikan Datuk Ibrahim Ali tidak gentar dilabelkan sebagai seorang yang rasis oleh sesetengah pihak. Malah beliau tetap istiqamah dengan perjuangan tersebut.

Pernah ‘ditolak’ beberapa kali dalam pilihan raya umum sebelum ini, Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) itu tidak pernah mengaku kalah. Sebaliknya mahu kekal bertanding pada PRU15 dan sedang ‘mengintai’ beberapa kerusi strategik.

4. DATUK SERI MUSTAPA MOHAMED (TOK PA)

Menang atas tiket BN pada PRU14 dan kemudian menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meletakan tokoh ini berada dalam ‘zon’ tidak selamat untuk PRU15 kali ini. BN pastinya akan memberikan tentangan sengit dalam usaha merampas semula kerusi tersebut sekali gus menyingkirkan Tok Pa.



Walaupun hubungan Tok Pa akrab dengan penduduk, namun perlu diingat rakyat Kelantan lebih memilih sentimen parti berbanding calon.

5. DATUK DR. RADZI JIDIN

Naib Presiden Bersatu yang juga Menteri Kanan (Pendidikan) dilihat masih lagi mencari-cari kerusi ‘selamat’ untuk ditandingi pada PRU15. Difahamkan Bersatu Kelantan sudah meminta ‘lampu hijau’ dari sekutu mereka iaitu Pas untuk bertanding di Ketereh.

Bagaimanapun, tokoh akademik yang menghabiskan masa selama 20 tahun di Australia sebagai penuntut dan juga pensyarah dilihat lebih ‘berselera’ untuk bertanding di Parlimen Putrajaya. Situasi itu dapat dilihat apabila Radzi jarang menjejakan kaki di bumi Ketereh.



6. DATUK SERI IKMAL HISHAM ABDUL AZIZ

Terkenal dengan sikap cakna kepada rakyat, penyandang kerusi Parlimen Tanah Merah itu dijangka tidak mempunyai masalah untuk mengekalkan kemenangan apabila Pas difahamkan bakal memberi laluan kepada tokoh berkenaan pada PRU15 nanti.

Menang atas tiket BN pada PRU14 lalu sebelum keluar menyertai Bersatu, Ikmal yang juga Timbalan Menteri Pertahanan acap kali turun bertemu dengan rakyat. Situasi itu pastinya menghadirkan gerun kepada pihak lawan, ditambah pula dengan sokongan padu yang bakal diterima dari penyokong setia Pas.

7. DATUK SERI TAKIYUDDIN HASSAN



Setiausaha Agung Pas ini bukanlah asing dalam kalangan warga Parlimen Kota Bharu apabila pernah bergelar sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bunut Payong sejak 1999. Pada PRU13, beliau beralih ke Parlimen Kota Bharu dan memenangi kerusi tersebut.

Takiyuddin terus melebarkan kemenangan pada PRU14 lalu di Parlimen Kota Bharu apabila berjaya menewaskan calon BN, Fikram Hamsi Mohamed Fatmi dan Datuk Husam Musa (PH) dengan majoriti 5,869 undi. Berpandukan kepada keputusan itu, PRU15 ini, Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu dijangka berdepan tentangan sengit terutama dari calon PH.

8. DATUK HUSAM MUSA

Tindakan Amanah Kelantan yang dilaporkan tidak mencalonkan Husam untuk bertanding sebagai calon Parlimen Kota Bharu pada PRU15 dijangka memberikan ‘laluan’ mudah kepada Pas dalam menjadikan kawasan itu sebagai kubu kuat mereka nanti.

Ketiadaan nama Husam sebagai calon PRU15 untuk Parlimen Kota Bharu sudah dikongsikan oleh barisan pemimpin Save Kelantan iaitu Syam Ghaz menerusi satu hantaran yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook miliknya.

9. DATUK DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI

Biarpun menawarkan diri untuk kekal bertanding di Parlimen Pasir Puteh pada PRU15 meskipun tewas di tangan calon Pas, Datuk Dr. Muhammad Zawawi Nik Salleh sebelum ini, nama Ketua Pemuda UMNO itu dikaitkan untuk bertanding di Gerik.

Mengukuhkan lagi dakwaan itu, kerusi tersebut kosong selepas penyandangnya, Datuk Hasbullah Osman, 63, meninggal dunia pada 16 November 2020 lalu akibat serangan jantung. Pada PRU14 lalu Hasbullah menang dengan majoriti 5,528 undi menewaskan calon Pas dan Pakatan Harapan (PH). Berpandukan kepada keputusan itu Asyraf Wajdi dijangka tidak mempunyai masalah besar untuk terus menjadi Gerik sebagai kubu kuat BN.

10. NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ

Figura yang sering menjadi ‘calon import’ ini dijangka terus bertukar kerusi pada PRU15 nanti. Cakap-cakap politik mendakwa anak kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat itu dijangka ‘berpindah’ ke Rantau Panjang.

Jika perkhabaran itu benar, Nik Mohamad Abduh akan terus kekal dengan status ‘calon import’ kerana beliau merupakan pengundi Parlimen Pengkalan Chepa. – UTUSAN

 

 

 

 

 

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Rumah tangga Sakinah, Michael telah berakhir?

Tragedi Berdarah: Kakak baling pisau bunuh adik angkara berebut tempat duduk

Jiran samseng undang kecaman warga maya [VIDEO]

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker