Solat 17 rakaat sehari – 3,750 gerakan sebulan, 42,840 gerakan setahun

Solat 17 rakaat sehari – 3,750 gerakan sebulan, 42,840 gerakan setahun

Penting sangatkah tulang rawan hingga kita perlu menjaganya dengan baik? Jawapannya, SANGAT PENTING! Tanpa tulang rawan, nescaya setiap pergerakan yang dilakukan akan mengundang rasa sakit. Tulang dengan tulang akan bergesel, hilang kelenturan, sakit sendi dan paling kronik kita akan lumpuh.

Apa itu tulang rawan? Tulang rawan adalah tisu hidup yang sangat unik kerana ia tidak mempunyai bekalan darahnya sendiri dan cara untuk ia mendapatkan nutrien dan oksigen ialah dengan menggerakkan sendi-sendi yang mempunyai rawan. Jika sendi itu tidak bergerak, tisu rawan akan mati dan haus, lalu menyebabkan artritis, sakit sendi dan lumpuh.



Jika mengikut cara moden, tulang rawan dijaga dengan melakukan aktiviti secara teratur dan senaman. Tapi orang Islam ada keistimewaan kerana kita diwajibkan solat. Pergerakan dalam solat itu adalah salah satu cara untuk menjaga tulang rawan kekal sihat.

“Solat satu-satunya cara untuk tulang rawan mendapat bekalan darahnya,” itu kesimpulan hasil kajian yang dilakukan oleh Osman Imamoglu, penyelidik dari Fakulti Sains Sukan Yasar Dogu, Universiti Ondokuz Mayis, Turki.

Menurut Osman, setiap gerakan dalam solat boleh dianggap sebagai senaman regangan, namun pergerakannya amat lembut dan mudah untuk dilakukan oleh orang pelbagai usia dan keadaan.

Otot yang mengendur dan meregang bersilih ganti apabila bersolat menghasilkan fleksibiliti tanpa mengundang rasa penat. Apabila kajian dilakukan, didapati gerakan dalam solat ini menyamai pergerakan yang dilakukan dalam yoga dan pilates.



Dengan mengkaji pelbagai gerakan dalam solat, Osman mendapati bukan hanya gerakan utama dalam solat yang bermanfaat, malah gerakan kecil seperti ketika iktidal, turun untuk bersujud, bangun dari posisi bersujud untuk berdiri, kedudukan tangan dan kaki semasa bersujud juga mempunyai kesan tersendiri.

Gerakan solat ini membantu proses pemulihan pesakit yang berumur dengan memperbaiki aliran darah dan menambah kecergasan otot dan tulang. Berdiri, rukuk, sujud dan duduk dalam jangka pendek adalah senaman ringan yang tidak memerlukan banyak tenaga dan membantu kesihatan mental dan fizikal seseorang.

Menurut Osman, segala pergerakan dalam solat mempunyai kesan secara langsung dan tidak langsung pada seluruh tubuh. Solat memperbaiki postur, meningkatkan pengambilan oksigen dan menambah fungsi sistem pernafasan, aliran darah, endokrin dan perkumuhan.

Ia juga menguatkan ligamen dan tendon, mengelakkan kecederaan otot dan sendi, merehatkan mata, menyingkirkan cas elektrik dalam badan, artritis, hipertensi dan vena varikos. Fungsi organ seperti otak, jantung, perut, pundi kencing, pankreas, buah pinggang dan salur kencing juga bertambah baik apabila seseorang melakukan solat.



Manfaat Dalam Gerakan Solat

Banyak kajian telah membuktikan bahawa solat boleh menjadi terapi kepada minda dan badan. Manfaat daripada solat ini bermula daripada proses berwuduk. Membasuh muka, berkumur, hidung, telinga, tangan dan kaki mempunyai banyak kelebihan pada kesihatan seperti mengelakkan kerosakan gigi dan mengurangkan jangkitan bakteria.

Apabila menunaikan solat, individu itu akan melakukan beberapa gerakan yang membantu fungsi metabolismenya menjadi bertambah baik. Seorang yang mempunyai berat 80 kilogram akan menggunakan kira-kira 80 kalori sehari untuk menunaikan solat lima waktu. Malah, solat sebanyak 12 rakaat yang dilakukan menyamai 30 minit senaman ringan harian yang disarankan oleh pakar kesihatan.



A. Niat/Takbir (kira-kira lima saat)

Setiap kali takbir, otot tangan dan bahu digerakkan untuk meningkatkan aliran darah ke arah tubuh. Jari, bahu dan otot bahagian luar lengan diregangkan dan siku dibengkokkan. Kesannya, tubuh berasa lebih ringan apabila berat diagihkan sama rata antara dua kaki. Belakang yang tegak memperbaiki postur, mata pula ditumpukan pada tempat sujud manakala otot pada bahagian belakang atas dan tengah dalam keadaan kendur. Ketika siku dibengkokkan untuk qiyam, sendi bahu diregangkan perlahan-lahan dan kipas bahu dan bawah belakang berada dalam keadaan neutral. Dalam keadaan ini, ruang dada dan paru-paru terasa lebih lapang; otot di kedua-dua tangan digerakkan manakala otak berada dalam keadaan paling rehat.

B. Qiyam/Berdiri (40-60 saat)

Berat badan diagihkan sama rata pada kaki agar belakang tidak menampung tekanan, bahagian leher dan bahu dalam keadaan relaks. Kesannya badan dan minda berasa lebih rehat dan seimbang. Tulang belakang dalam keadaan tegak dan pernafasan berjalan lancar dan semula jadi. Apabila mata dihalakan pada tempat sujud, pemikiran dan tumpuan lebih mudah untuk dikawal. Kedudukan berdiri sambil qiyam memastikan aliran darah yang betul ke bahagian bawah badan, selain menguatkan otot kaki.



C. Rukuk (12 saat)

Ketika rukuk, regangan berlaku pada bahagian tubuh atas, belakang, pelvis, pinggul, otot paha (hamstring) dan kaki selain bahagian bahu, tangan dan leher. Posisi rukuk yang betul boleh memperlahankan kesan penuaan, meningkatkan keseimbangan air dalam badan dan melancarkan fungsi buah pinggang. Otot di bahagian belakang bawah, paha dan betis diregangkan, darah dipam ke arah bahagian atas tubuh. Gerakan ini berkesan untuk menyingkirkan kembung dan lemak berlebihan, juga melegakan masalah sembelit dan membantu pergerakan usus.

D. Iktidal (6 saat)

Kembali kepada kedudukan berdiri dengan kedua-dua tangan diluruskan rapat ke sisi. Postur ini melibatkan berdiri tanpa sokongan dengan seluruh berat ditampung oleh jari-jari kaki. Kedudukan ini merupakan senaman untuk tulang belakang, paha, lutut dan otot kaki. Gerakan rukuk dan iktidal yang berulang boleh melegakan sakit belakang dan sebarang penyakit degeneratif sendi seperti osteoartritis pada bahagian lutut.



E. Sujud (12 saat)

Sewaktu turun untuk sujud, kaki akan dilipat dan menjatuhkan lutut dahulu. Cara ini mengurangkan simptom artritis dan sakit sendi. Sujud merupakan gerakan paling penting dalam solat. Dalam kedudukan ini, dahi, tapak tangan, lutut dan hujung jari kaki bersentuh dengan lantai. Otot-otot yang disenamkan adalah sama seperti semasa rukuk, dengan lebih penekanan pada bahagian leher, jari-jari kaki dan kaki. Otot leher menjadi lebih kuat. Hanya ketika sujud jantung berada lebih tinggi daripada otak, sekali gus meningkatkan bekalan darah ke kepala yang mempunyai kesan baik pada memori, tumpuan, jiwa dan keupayaan kognitif yang lain. Tenaga elektromagnetik yang terkumpul dalam badan, dinyahcas apabila seseorang bersujud pada julat masa tertentu untuk memberi ketenangan.

Pengulangan bersujud selepas duduk seketika (duduk antara dua sujud) mempunyai kesan yang baik kepada sistem pernafasan, peredaran darah dan saraf. Kedudukan jari kaki yang dibengkokkan ketika sujud meningkatkan pembakaran lemak dalam badan dan menurunkan risiko sakit jantung. Posisi ini bermanfaat untuk menurunkan tekanan darah.

F. Duduk antara dua sujud

Kedudukan ini mempunyai kesan yang menenangkan untuk kesihatan dan mental individu. Ia juga membuka lengkuk tapak kaki, dan membantu menangani simptom plantar fasciitis (rasa sakit pada otot bahagian tapak kaki yang menghubungkan tumit dan jari-jari).

G. Tahiyat awal/akhir (10-30 saat)

Cara duduk ini merupakan posisi terbaik untuk merehatkan otot, termasuk otot yang berkaitan dengan tulang belakang. Ia merangsang peredaran dalam saraf dan otot paha, menghilangkan rasa tidak selesa pada perut dan sembelit dan baik untuk menangani ulser peptik dan masalah sakit perut yang lain. Jari kaki yang dibengkokkan semasa duduk tahiyat awal/akhir mampu meningkatkan kadar pembakaran lemak dalam badan dan mengurangkan risiko penyakit jantung. Kaki yang dibengkokkan dan menampung berat kaki sebelah lagi membantu menyingkirkan toksin dari badan dan menggerakkan otot dalam usus besar.

H. Memberi salam

Apabila memberi salam, kita akan menoleh ke kanan dan kiri. Gerakan ini mengurut otot leher dan meningkatkan kelenturannya.

SOLAT ialah ibadat paling utama bagi umat Islam. Bagaimanapun, ibadat ini mempunyai pelbagai tahap bergantung pada kandungan, niat, kualiti dan ciri-ciri peribadi orang yang melakukannya. Paling utama, solat perlu dilakukan kerana Allah s.w.t. semata-mata, bukan bagi tujuan menunjuk-nunjuk atau hipokrasi agar ibadat ini tidak menjadi sia-sia pada kehidupan kita.

Bukan hanya ibadat, perlakuan solat itu sendiri mempunyai kesan yang besar pada kesihatan diri. Bahkan telah dibuktikan, orang yang hanya mengikut perlakuan fizikal solat (tanpa melakukan ibadat) turut mendapati kesihatan dirinya bertambah baik selepas itu. Jadi, bayangkan betapa besarnya kesan solat yang dilakukan sepenuh hati dan minda pada umat Islam yang melaksanakan perintah Allah ini.

Satu rakaat solat melibat tujuh gerakan secara tertib, dan ia mengambil masa antara tiga hingga enam minit. Dalam sehari, kita perlu menunaikan 17 rakaat solat, bermakna 119 gerakan sehari, 3,750 gerakan sebulan dan 42,840 gerakan setahun. Seseorang yang telah mula bersolat dari umur 10 tahun akan melakukan 1,713,600 gerakan di kala dia berusia 50 tahun.

Doa dan solat sebagai rawatan alternatif semasa sakit turut mendapat perhatian penyelidik sejak lebih sedekad lalu. Mereka mengkaji impak doa dan solat pada pesakit rheumatoid artritis, penghidap HIV, kanser dan sakit kepala.

Laporan Pusat Perubatan Komplementari dan Alternatif Kebangsaan pada 2002 menunjukkan dua kaedah perubatan alternatif yang banyak digunakan di Amerika Syarikat ialah doa untuk diri sendiri (43 peratus) dan doa untuk orang lain (24.4 peratus).

Sekumpulan penyelidik di Kerman, Iran melakukan kajian kesan doa selama dua bulan kepada 92 pesakit yang menghadapi migrain. Sakit kepala merupakan faktor keempat tertinggi dalam kes rawatan di pusat-pusat kecemasan di Amerika. Pesakit itu dibahagikan kepada empat kumpulan iaitu kumpulan meditasi rohani, meditasi berfokus sekular dalaman, meditasi berfokus sekular luaran dan senaman melegakan otot.

Tahap kesakitan mereka diukur sebelum uji kaji dan selepas tiga bulan. Didapati pesakit dalam kumpulan meditasi rohani melaporkan kekerapan migrain dan pengambilan ubat-ubatan berkurangan berbanding kumpulan-kumpulan lain.

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.’’ (al-Baqarah: 45) Utv

Solat 17 rakaat sehari – 3,750 gerakan sebulan, 42,840 gerakan setahun

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Ini modus operandi Rasulullah ke? Aqasha bersuara pasal #Blockout2024

Maaf ya pelakon bermasalah

#Blockout2024: Selebriti panas punggung

Scha Alyahya hilang 100,000 pengikut Instagram

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker