Bertemakan Alam Semula Jadi, Jom!! Ini 7 Lokasi Insta-Worthy Patut Dikunjungi…

Bertemakan Alam Semula Jadi, Jom!! Ini 7 Lokasi Insta-Worthy Patut Dikunjungi…

TIAP kali tibanya hujung minggu atau musim cuti sekolah, rata-rata daripada kita sibuk merancang percutian bersama keluarga mahupun rakan-rakan.

Sudah terbiasa mengunjungi lokasi percutian popular dan port makan yang viral, mengapa tidak anda mencari kelainan dengan mengunjungi lokasi rare yang menjanjikan pemandangan indah dan berbaloi untuk diabadikan di media sosial.

Terdapat ratusan lokasi di serata Malaysia yang bukan saja menjadi halwa mata yang memandang, tetapi bisa menjadi port OOTD (outfit of the day) untuk kaki foto.

1) Pulau Bangau, Teluk Intan, Perak

bangau

Ribuan burung bangau yang terbang pulang menjelang waktu maghrib.

Salah satu tarikan menarik dan unik ini terletak di Teluk Intan. Berkeluasan 14.35 hektar, lokasi ini dinamakan Pulau Bangau berikutan populasi burung bangau yang menjadikan pulau di tengah-tengah sungai ini sebagai habitat mereka kerana kedudukannya yang strategik dan bebas daripada ancaman manusia.

Pengunjung bakal terpegun melihat panorama matahari terbenam dengan dilatari ribuan bangau yang terbang pulang ke habitat selepas mencari makanan di sawah padi di sekitar Hilir Perak. Terdapat lebih kurang 13 spesis burung bangau di pulau ini seperti Great Egret, Cattle Egret, Chinese Egret, Little Egret, Grey Heron dan sebagainya. Selain bangau, terdapat juga spesies burung lain seperti helang, raja udang dan enggang.

Pada waktu malam pula, pengunjung disajikan dengan pemandangan indah ribuan kelip-kelip spesies ‘Pteroptyx tener’ yang terdapat di pokok Berembang sepanjang persisiran sungai.

Untuk ke Pulau Bangau, pengunjung perlu menaiki bot dari jeti bot penambang Teluk Intan dan perjalanan mengambil masa sekitar 10 hingga 15 minit.

Alamat: Pulau Bangau, Teluk Intan, Perak

Hubungi: +605-622 1299 (Majlis Perbandaran Teluk Intan)

2) Bukit Buluh, Jerantut, Pahang

bukit buluh

Pohon berwarna merah menjadi ‘port’ tumpuan para pendaki untuk bergambar.

Bukit Buluh terletak di Felda Padang Piol, Jerantut dan digelar sebagai hutan merah oleh penduduk tempatan.

Lokasi unik ini juga digelar ‘Red Forest’ oleh para pendaki disebabkan oleh pokok-pokok di hutan ini mempunyai batang dan dahan berwarna merah tua.

Sebenarnya, pokok berkenaan dikenali sebagai Kelat Gelam, iaitu sejenis tumbuhan yang mempunyai akar dan dahan dikatakan sangat lembut.

Keunikan dan keindahannya yang cukup mempesonakan membuatkan lokasi ini dikunjungi untuk diabadikan dalam foto serta video.

Bagaimanapun, mereka yang ingin berkunjung ke lokasi ini perlu mendaki sehingga ke puncak yang berketinggian sekitar 371 meter.

Pendakian mengambil masa kira-kira sejam dengan melalui denai di ladang kelapa sawit.

Jadi, sekiranya anda ada perancangan untuk melancong ke Pahang, jangan lupa sediakan kasut dan pakaian yang sesuai untuk mendaki ke Bukit Buluh.

Alamat: Felda Padang Piol, Jerantut, Pahang

Hubungi: +6019-9586861/ +6012-6749208/ [email protected]

3) Perkampungan Budaya Mah Meri, Pulau Carey, Selangor

pulau carey

Salah satu tarikan di Pulau Carey adalah ia menempatkan perkampungan Orang Asli dari suku kaum Mah Meri.

Selangor sememangnya terkenal sebagai pusat pelancongan yang popular sama ada berkonsepkan alam semula jadi, peninggalan bersejarah mahupun taman tema air.

Salah satu lokasi menarik yang mungkin tidak ramai yang tahu ialah Pulau Carey. Pulau kecil ini terletak kira-kira 35 kilometer dari Klang dan 75 kilometer dari Kuala Lumpur.

Salah satu tarikan utama di Pulau Carey ialah perkampungan kaum Orang Asli dari suku Mah Meri. Pengunjung boleh merasai suasana masyarakat orang asli di perkampungan ini, lengkap dengan pakaian, kraftangan dan tarian orang asli.

Lokasi menarik lain di Pulau Carey ialah Pusat Kebudayaan dan Kraftangan Orang Asli Sungai Bumbun. Antara aktiviti yang boleh disertai oleh pengunjung adalah seperti demonstrasi kraf ukiran dan anyaman, menyumpit, pakej tarian jooh, pakej perkahwinan tradisi, penginapan rumah tradisi serta jualan produk kraftangan dan herba.

Selain itu, lokasi wajib lain yang perlu dilawati jika berkunjung ke Pulau Carey ialah Amverton Cove Gold and Island Resort, Amverton Cove Golf, Riverine Splash, Riverine Survival Park dan Pantai Kelanang.

Alamat: Pulau Carey, Kuala Langat, Selangor

Hubungi: +603 3187 2825/ +603 3187 2732/ +603 3187 8957

4) Hutan Rekreasi Tanjung Tuan, Melaka

TG TUAN

Pemandangan menarik dari puncak Hutan Rekreasi Tanjung Tuan yang menjanjikan ketenangan.

Hutan Rekreasi Tanjung Tuan merupakan salah satu hutan simpanan kekal tertua di bawah pengurusan dan kawalan Jabatan Perhutanan Melaka.

Ia terletak kira-kira 20 kilometer dari bandar Port Dickson, Negeri Sembilan dan kira-kira 80 kilometer dari bandar bersejarah Melaka.

Pendakian ke puncak akan mengambil masa kira-kira 20 minit, dan anda akan dapat melihat pemandangan Selat Melaka dan sekitarnya.

Sebagai bonus tambahan untuk mendaki bukit ini, terdapat sebuah pantai yang indah dan tersembunyi terletak di belakang bukit.

Caj masuk hanya RM1.

Alamat: Jalan Pantai, 71050 Tanjung Tuan, Melaka

Tel: 06-231 6095 (Pejabat Hutan Daerah Melaka)

Faks: 606 – 2322 867

5) Empangan Bengoh, Padawan, Sarawak

susung

Air Terjun Susung atau digelar Jurassic Park of Sarawak menjadi tumpuan utama di Empangan Bengoh.

Lokasi ini merupakan salah satu ‘permata tersembunyi’ bagi negeri Sarawak. Terletak kira-kira 40 kilometer dari bandaraya Kuching, perjalanan ke Empangan Bengoh mengambil masa sekitar 50 minit.

Lokasi ini menjadi tumpuan para pencinta alam semula jadi kerana mempunyai air terjun yang sangat cantik iaitu Air Terjun Susung yang digelar Jurassic Park of Sarawak, Air Terjun Daen dan Air Terjun Pean (Curtain Waterfall).

Untuk ke Air Terjun Susung, pengunjung perlu mendaftar di pintu masuk Empangan Bengoh dan membuat tempahan bot dengan penduduk kampung. Perjalanan menaiki bot sekitar 60 minit dan ‘trekking’ sekitar 90 minit.

Selain itu, pengunjung boleh melawat perkampungan yang masih kekal di Empangan Bengoh iaitu Kampung Sting. Ia merupakan perkampungan suku Bidayuh dan terletak di atas bukit. Pengunjung pasti terpesona dengan pemandangan seluruh empangan dari atas bukit.

Homestay turut disediakan bagi mereka yang ingin bermalam di Kampung Sting.

Alamat: Empangan Bengoh, Padawan

Hubungi: 013-8487730/ https://bayanatuhecotourismzone.weebly.com/

6) Columnar Basalt Balung Cocos, Tawau, Sabah

BASALT

Lokasi ini sangat ‘rare’ kerana terdiri daripada formasi batuan berbentuk heksagon.

Satu-satunya lokasi yang terdapat di Malaysia ini terletak di Tawau, Sabah.

Untuk makluman anda, Columnar Basalt ialah formasi batuan yang terhasil kerana penyejukan aluran magma setelah letusan gunung berapi yang terjadi pada sekitar 26 ribu tahun yang lampau.

Formasi batuan ini tersusun cantik dan terhasil secara semula jadi membentuk batuan heksagon. Lebih menarik, anda juga boleh memancing dan berenang di sungai ini. Sambil-sambil itu, jangan lupa bergambar sepuas hati di sini.

Bukan senang nak bergambar berlatarbelakangkan fenomena alam semula jadi yang hanya terdapat di Tawau sahaja.

Pengunjung boleh mengaturkan kunjungan ke sini dengan pihak hotel, ejen pelancongan atau kaunter maklumat pelancong di Sabah. Pengunjung boleh menginap di homestay yang terletak di Kampung Balung Cocos ataupun hotel yang berdekatan di Tawau.

Alamat: Columnar Basalt, Kampung Balung Cocos (Sungai Giram), 91000 Tawau, Sabah

Hubungi: 014-871 0411

7) Taman Warisan Geologi Tanjung Balau, Desaru, Johor

balau 1

Struktur batuan geologi Tanjung Balau yang unik dan berusia jutaan tahun kini boleh disaksikan oleh orang ramai melalui kemudahan Boardwalk (laluan pejalan kaki) yang dibina oleh Pihak Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora).

Panorama indah yang amat mengagumkan telah melonjakkan nama Tanjung Balau sebagai lokasi pelancongan utama di Johor. Tiupan angin sepoi-sepoi bahasa di tepi pantainya yang indah menghasilkan irama lautan yang amat mengasyikkan.

Selain mengunjungi Muzium Nelayan yang mempamerkan koleksi tradisional nelayan yang unik dan menarik, pengunjung juga boleh bermandi-manda di pantai yang indah dan landai yang menjadi tumpuan riadah keluarga.

Paling menarik, pengunjung pasti akan teruja dapat melihat keunikan batuan geologi yang berusia 300 juta tahun di Taman Warisan Geologi Tanjung Balau ini. Kemudahan penginapan turut tersedia di Bayu Balau Resort berhampiran lokasi tarikan pengunjung ini.

Alamat: Kompleks Pelancongan Tanjung Balau, Tanjung Balau, Desaru, Johor

Hubungi: 07 8843000 Bahagian Pelancongan Kejora (Tourism Kejora)

NEW LOGO

Bertemakan Alam Semula Jadi, Jom!! Ini 7 Lokasi Insta-Worthy Patut Dikunjungi…

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Isu rumah MRF: Sidang akhbar jadi gelanggang tikam lidah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker