Kumpulan pertama di Mekah, ibadah haji tanpa jutaan umat Islam

MEKAH – Kumpulan pertama jemaah yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah dari Qassim semalam mencatatkan sejarah antara 10,000 jemaah lain yang akan melaksanakan ibadah haji tanpa jutaan umat Islam dari seluruh dunia.

Pada tahun ini, berikutan pandemik Covid-19 pemerintah Arab Saudi hanya membenarkan 10,000 jemaah haji sahaja menunaikan ibadah tersebut.

Daripada jumlah itu 70 peratus terdiri daripada ekspatriat yang bermastautin di negara itu manakala 30 peratus warga tempatan.

Sejak sedekad lalu, Arab Saudi telah menerima lebih 150 juta umat Islam dari seluruh dunia melaksanakan ibadah haji dan umrah. Pada tahun lalu hampir 3 juta jemaah haji menunaikan ibadah itu.



Portal berita Saudi Gazette melaporkan, ketibaan kumpulan pertama itu disambut Setiausaha Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr.Hussein Al-Sharif dan Pengarah Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah, Issam Bin Fouad Noor.

Bagi memastikan keselamatan mereka, jemaah diiringi ke laluan khas di lapangan terbang tersebut bagi menyelesaikan prosedur dan menjalani langkah pencegahan serta keperluan penjagaan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Selepas menyelesaikan semua prosedur perjalanan tersebut, jemaah haji dibawa ke tempat penginapan mereka di Mekah.

Sementara itu, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr.Muhammad Salleh Benten berkata, tiada pengecualian diberikan dalam pelaksanaan haji tahun ini dan menegaskan, tiada pegawai kerajaan dibenarkan menunaikan ibadah tersebut.



‘’Penjaga dua masjid suci, Raja Salman bin Abdulaziz telah memberi arahan yang jelas supaya tidak ada sebarang pengecualian pada musim haji kali ini,’’ katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, semua perancangan bagi ibadah haji dilaksanakan secara jelas dan tegas bermula dengan kuarantin di rumah untuk jemaah yang terpilih.

Mengulas mengenai proses pemilihan jemaah haji, Dr.Muhammad Salleh berkata, ‘’Ia sama sekali tidak ada campur tangan oleh sesiapa bagi menentukan jemaah yang akan menunaikan ibadah itu tahun ini. Kami mempunyai mekanisme yang telus dan mantap.’’

Mengenai langkah dilakukan oleh pemerintah Arab Saudi, beliau berkata, kerajaan telah berusaha mewujudkan situasi paling selamat untuk para jemaah bagi memastikan keselamatan di samping mengelakkan jangkitan dalam kalangan mereka. – Agensi Edisi9



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker