TH raih pendapatan RM1.47 bilion separuh pertama 2022

TH raih pendapatan RM1.47 bilion separuh pertama 2022

Lembaga Tabung Haji (TH) meraih pendapatan berjumlah RM1.47 bilion pada separuh pertama tahun ini dengan jumlah deposit berjumlah RM88.09 bilion iaitu paras tertinggi sejak 59 tahun penubuhannya.

TH dalam satu kenyataan berkata, sebahagian pendapatan dana pengurusan jemaah haji itu diraih menerusi pelaburan pendapatan tetap yang telah menyumbang sebanyak RM966.34 juta pada separuh tahun pertama, merangkumi 65.71 peratus daripada jumlah pendapatan kasarnya.

Katanya, pelaburan saham turut menyumbang sebanyak RM224.62 juta berbanding RM183.35 juta pada tempoh yang sama pada tahun lalu, melonjak RM41.27 juta, manakala pelaburan ekuiti menyumbang 15.27 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan, sementara pelaburan hartanah menyumbang pendapatan sebanyak RM213.66 juta, diikuti pendapatan-pendapatan lain sebanyak RM66.07 juta.

“Kepercayaan dan sokongan kepada TH sebagai sebuah institusi yang membantu umat Islam menyimpan dan melaksanakan ibadah haji kekal utuh di mana sepanjang enam bulan pertama, lebih daripada 200,000 akaun simpanan baharu telah dibuka, seterusnya menyaksikan peningkatan jumlah keseluruhan pendeposit TH kepada 8.6 juta orang.

“Pencapaian ini mencerminkan daya tahan TH walaupun berhadapan dengan kesan selepas pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir, antaranya ancaman inflasi, ketidaktentuan pasaran dan kelemahan ekonomi dunia.

“Sebahagian besar pendapatan TH diperoleh daripada pelaburan pendapatan tetap yang telah menyumbang sebanyak RM966.34 juta dalam tempoh separuh pertama yang merangkumi 65.71 peratus daripada jumlah pendapatan kasarnya,” katanya.

Bagaimanapun, selepas mengambil kira peruntukan zakat, TH mencatat keuntungan bersih sebanyak RM1.03 bilion dalam tempoh enam bulan pertama 2022, berbanding RM1.22 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun 2021.

Penurunan keuntungan itu mengambil kira perbelanjaan Bantuan Kewangan Haji yang diberikan kepada jemaah haji bagi musim 1443H/2022M.

Kos haji bagi musim 1443H/2022M adalah RM28,632 bagi setiap jemaah berbanding anggaran awal sebanyak RM25,540 bagi setiap jemaah, manakala kos haji bagi musim 1440H/2019M adalah sebanyak RM22,900 seorang.

TH tidak menghantar jemaah dari Malaysia pada tahun 2020 dan 2021.

Sementara itu, perbelanjaan TH meningkat sebanyak RM134.42 juta kepada RM437.30 juta pada separuh pertama 2022 susulan Bantuan Kewangan Haji kepada jemaah haji 1443H/2022M yang terus ditanggung oleh TH.

Jumlah perbelanjaan Bantuan Kewangan Haji dijangka akan meningkat kepada RM185.7 juta apabila musim haji 1443H/2022M tamat dalam suku ketiga 2022.

“Jika perbelanjaan Bantuan Kewangan Haji tidak diambil kira, perbelanjaan operasi TH hanya meningkat 3.65 peratus berbanding perbelanjaan bagi tempoh sama tahun lalu, hasil langkah pengurusan berhemah walaupun di dalam keadaan ekonomi yang mencabar dan ancaman inflasi.

“TH sentiasa mengambil langkah berhemah dalam mengoptimumkan perbelanjaan bagi memastikan pengurusan perbelanjaan yang cekap. Ketahanan pencapaian kewangan TH mencerminkan pendekatan pelaburan yang mampan dengan pengurusan kecairan yang mantap, berpandukan kepada Alokasi Aset Strategik (SAA) yang bertujuan meminimumkan kesan turun naik jangka masa panjang di pasaran.

“Pelaburan aset TH berdasarkan SAA ini adalah berpadanan dengan objektif mengurus simpanan pendeposit untuk jangka masa panjang bagi tujuan menunaikan ibadat haji. Lebih daripada separuh atau 58 peratus aset TH telah diperuntukkan bagi pelaburan dalam instrumen pendapatan tetap seperti sukuk yang memberikan pulangan stabil dan selamat dalam jangka masa panjang,” kata TH.

Menurut TH, pulangan pelaburan ekuitinya yang meningkat 23 peratus mengatasi penanda aras Indeks Syariah Hijrah Bursa Malaysia yang turun 14.3 peratus dalam tempoh separuh pertama tahun ini.

Katanya, TH memfokuskan kepada pelaburan saham dengan asas yang baik dan berkualiti dari aspek ketahanan dan rekod prestasi dividen yang baik,” katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, pendekatan pelaburan yang mengutamakan keselamatan pulangan mencerminkan komitmen TH untuk melindungi kepentingan pendeposit dengan memelihara dan meningkatkan simpanan mereka bagi memenuhi kewajipan Rukun Islam kelima.

Melangkah ke hadapan, katanya, TH akan meneruskan usaha meningkatkan pendapatan melalui pelaburan dan menguruskan kos operasi dengan lebih cekap untuk memastikan agihan keuntungan yang mampan dan stabil untuk pendeposit.

“TH juga akan terus fokus terhadap tahap tadbir urus, pematuhan dan integriti yang tinggi demi kebaikan TH dan pendepositnya,” katanya. BH

TH raih pendapatan RM1.47 bilion separuh pertama 2022


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Tengah berubat ke beromen (Video)

Kambing pun kena rogol, gatal – Janna Nick

Rafizi takut dengan FB Najib

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker