Upah ‘pelakon’ RM10k untuk rompak dan bunuh suami

Upah ‘pelakon’ RM10k untuk rompak dan bunuh suami

Bayar upah RM10,000 kepada kumpulan pembunuh upahan yang diarah menyamar sebagai perompak untuk ‘melakonkan’ aksi rompakan sebelum membunuh suaminya.

Itu rancangan jahat seorang wanita yang dipercayai melakukan adegan rompakan palsu bagi tujuan menuntut pampasan insurans bernilai jutaan ringgit.

Plot pembunuhan dirancang rapi suspek wanita berusia 37 tahun itu dilakukan di kediamannya di Taman Aneka Baru, Sungai Udang di sini, Khamis lalu.

Sumber berkata, isteri mangsa sebelum itu melaporkan kepada polis kediaman mereka dirompak sekumpulan lelaki yang turut menikam mati suaminya.

Bagaimanapun, soal siasat polis terhadap wanita terbabit membongkar rancangan licik dilakukannya.

Sumber berkata, terdapat percanggahan keterangan direkodkan daripada wanita terbabit menyebabkan dia akhirnya mengaku merancang pembunuhan itu.

“Wanita itu yang disoal siasat mengaku mencari khidmat pembunuh upahan itu menerusi kenalan lelaki dan membayar wang pendahuluan kepada pembunuh upahan terbabit.

“Pada mulanya dia memberi alasan melakukannya (rancangan membunuh suami) kerana tertekan sering dipukul mangsa. Namun siasatan mendapati wanita itu sudah menaik taraf jumlah insurans sebelum kejadian (bunuh) berlaku,” katanya, semalam.

Kelmarin, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung satu pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki yang menyebabkan seorang daripadanya terbaring berlumuran darah di kawasan rumah berkenaan jam 2.14 pagi Khamis lalu.

“Pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan seorang lelaki berusia 41 tahun sudah meninggal dunia akibat 14 kesan tikaman,” katanya.

Arjunaidi berkata, isteri mangsa memaklumkan, dua lelaki berpakaian serba hitam dan memakai topeng serta bersenjatakan pisau masuk ke rumahnya melalui pintu hadapan sebelum menikam suaminya hingga menyebabkan kematian.

“Dakwa wanita itu, perompak menggeledah bilik dan rumah sebelum mengambil pelbagai beg tangan berjenama, barang kemas serta wang tunai sekitar RM40,000 dan melarikan diri menggunakan kereta BMW. Dianggarkan jumlah kerugian dialami kira-kira RM100,000,” katanya.

Bagaimanapun, polis menahan wanita berumur 37 tahun itu sekitar jam 10 malam, tidak sampai 24 jam selepas polis menerima laporan berhubung insiden kejadian rompakan itu.

Beliau berkata, suspek dipercayai membuat perancangan untuk membunuh suaminya sendiri kerana dendam.

“Dia berkomplot bersama empat lelaki berumur 20 hingga 36 tahun yang ditahan polis antara Jumaat lalu hingga kelmarin di sekitar daerah ini serta Senawang, Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata, wanita terbabit dan empat suspek direman sehingga 22 September ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh serta Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan berkumpulan dengan senjata. HM

Upah ‘pelakon’ RM10k untuk rompak dan bunuh suami


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Jadi janda tidaklah hina – Fatin Afeefa

Cukup sudah dengan Anwar dan Mahathir

Akulah Penyamun – PKR

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker