Pernyataan Datuk Seri Najib Razak Kepada Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022

Pernyataan Datuk Seri Najib Razak Kepada Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022

SAYA ingin menyatakan kepada Mahkamah Yang Mulia ini mengenai kedudukan saya dalam permohonan rayuan ini. Walaupun saya adalah pemohonnya, tetapi pada waktu yang sama berasa was-was. Sepanjang minggu lalu, saya telah melihat dari kandang tertuduh betapa peluang saya dalam rayuan ini perlahan-lahan pudar. Bukan kerana kurang merit tetapi kerana saya tidak lagi diwakili.

Walaupun Mahkamah Yang Mulia ini tidak membenarkan peguam saya menarik diri, pada hakikatnya saya memang tidak diwakili. Saya percaya bahawa tidak pernah ada satu peristiwa pun dalam sejarah perundangan Malaysia di mana peguam dalam perbicaraan jenayah atau rayuan telah dihalang daripada menarik diri daripada mewakili anak guamnya dalam apa keadaan pun. Malah kes yang dipetik oleh Dato Sitham pada hari Jumaat lalu tidak menjurus ke arah ini! Sedangkan kes-kes yang dikemukakannya kepada mahkamah menunjukkan wujud tren berterusan penangguhan dalam prosiding membabitkantertuduh, sebelum tindakan drastik sedemikian diambil oleh mahkamah.

Dalam kes saya, ini adalah kali pertama saya menukar peguam atas sebab munasabah yang akan saya huraikan sebentar lagi. Ini juga adalah permintaan pertama saya bagi memohon penangguhan 4 bulan sahaja, tidak seperti kes lain di mana penangguhan kira-kira 70 kali dibenarkan oleh mahkamah negara ini. Pada penghujung pernyataan ini, saya ingin menyatakan sesuatu tentang apa yang sama faham mengenai undang-undang berhubung perlantikan peguam baru, serta keadaan yang mendorong kepada permohonan penangguhan.

Saya mengambil sepenuh tanggungjawab dengan keputusan mengenai pembelaan saya. Saya berpendapat ia adalah keputusan yang tepat pada masa itu berdasarkan nasihat peguamcara dan peguam luar yang tidak terbabit dengan kes ini.

Nampaknya mahkamah membuat tafsiran buruk terhadap saya bila mana jika perayu lain yang sama situasinya dengan saya, sama sekali tidak boleh bergantung kepada nasihat peguamnya tetapi sebaliknya dihukum tanpa mendapat perbicaraan yang adil mengikut undang-undang yang ada. Saya juga tidak pernah diberi peluang untuk memperjelaskan kes sendiri dan tidak pernah pula ditanya punca saya diheret ke sini. Walaupun tertuduh disebut sebagai orang paling penting dalam apa jua kes di mahkamah jenayah, namun saya entah bagaimana merasa dianiaya dan tidak diberikan perbicaraan yang adil.

Yang Arif, saya harap kenyataan saya ini tidak menyinggung sesiapa kerana inilah yang saya rasa. Sebagai tertuduh dan perayu di akhir perbicaraan ini, saya merasakan seluruh kuasa perundangan negara digunakan terhadap saya secara tidak adil dan berat sebelah.

Yang Arif, sebelum saya teruskan, apa yang ingin saya sebut ini sudah pun didedahkan kepada media sebelum ini, bukan kerana saya ingin membuat rayuan dan mendapat simpati umum, tetapi saya hanya inginkan ia diketahui orang awam dan pada waktu yang sama menunggu peluang menyebutnya di mahkamah, jika ianya diragui.

Dengan izin juga, Yang Arif,
Peguam saya sebelum ini, Shafee & Co berjaya mewakili saya di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sepanjang empat tahun lalu, tanpa menimbulkan sebarang keraguan, dan itulah sebabnya mereka kekal sebagai peguam saya dalam perbicaraan lain.

Tetapi di sebalik usaha mereka, saya kalah dalam kedua-dua perbicaraan dan rayuan di Mahkamah Rayuan, bukan kerana pembelaan saya tidak mempunyai merit tetapi ditolak mentah-mentah oleh mahkamah. Saya dan peguam terdahulu terpaksa menerima keputusan bahawa pihak peguambela tidak dipanggil pada perbicaraan untuk semua pertuduhan atas alasan mereka mengemukakan pembelaan yang longgar.

Atas hakikat inilah saya merasakan kes ini memasuki perspektif baru, dan membawa masuk hujah pembelaan yang dirasakan akan mendapat jaminan mahkamah bagi membolehkan rayuan terakhir ini diluluskan, tetapi malangnya ia juga tidak berhasil. Ini penting kerana ia melibatkan hidup saya, tidak lebih dari itu.

Rancangan awal ialah mendapatkan khidmat Jonathan Laidlaw QC untuk bekerjasama dengan Shafee & Co. iaitu Tan Sri Shafee dan Harvey.

QC mengemukakan hujah yang bernas, menyebabkan saya yakin ia akan memberi kesan positif kepada kes ini. Lagipun, Chambers and Partners menyifatkan mereka sebagai peguambela terbaik di UK dan di kalangan negara Komanwel bagi kes-kes jenayah yang membabitkan penipuan, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan jenayah kolar putih selama 4 tahun berturut-turut.

Perlu diingat bahawa QC sudah bersedia bagi permohonan rayuan saya bermula 15 Ogos 2022 yang lalu. Yuran untuk perkhidmatan mereka sudah pun dibayar. Ini sepatutnya memberi mesej kepada mahkamah betapa seriusnya saya agar proses rayuan dilanjutkan kepada 15 haribulan.

Penemuan bukti baru yang mengaitkan Hakim Nazlan menghendaki kami melantik peguam baharu untuk menilainya secara bebas dan adil di mahkamah yang mulia ini.

Malangnya, Mahkamah Tinggi menolak tawaran QC untuk hadir sebagai peguam saya pada 21 Julai 2022. Saya benar-benar kecewa kerana ini secara langsung membantutkan persediaan QC menjelang proses rayuan.

Dengan penolakan Mahkamah Tinggi dan dengan permohonan rayuan ini dipercepatkan, saya tidak boleh menghadapi risiko penolakan QC dikekalkan semasa rayuan di Mahkamah Persekutuan oleh kerana saya tiada peguam tambahan yang pada masa itu dianggap penting untuk berhujah secara bebas, iaitu berkenaan Hakim Nazlan.

Secara perbandingan kes saya dengan kes Anwar lbrahim, boleh dikatakan rayuan saya mengambil masa lebih cepat. Anwar mengambil masa tujuh tahun dengan lebih 70 penangguhan untuk sampai ke peringkat ini. Kes SRC telah mengambil masa 4 tahun, dua tahun daripadanya terjejas oleh pandemik dengan melalui tujuh prosiding lain membabitkan jenayah dan sivil terhadap saya. Seperti yang telah saya sebut, saya juga tidak pernah meminta penangguhan dalam rayuan ini kecuali dalam soal pertukaran peguambela.

Secara tegasnya, ingin saya katakan bahawa bukanlah niat saya semata-mata untuk melengah-lengahkan proses mahkamah tetapi kerana permohonan QC Jonathan Laidlaw tidak begitu kukuh berdasarkan bantahan pihak pendakwaan dan Majlis Peguam, yang akhirnya permohonan itu ditolak tidak sampai sebulan sebelum tarikh rayuan didengar. Bantahan pihak pendakwa dan Majlis Peguam adalah sangat tidak masuk akal kerana alasan QC mesti memiliki kelayakan Bahasa Malaysia, satu perkara yang diatasi oleh Mahkamah Persekutuan sendiri dalam kes Geoffrey Robertson QC.

Perkara ini penting untuk menunjukkan bagaimana kedua-dua badan ini berusaha keras untuk melucutkan saya daripada peguam bertauliah sebelum saya sampai ke Mahkamah Persekutuan pada 15 Ogos. Mana-mana pasukan baharu dengan hujah baharu memerlukan masa untuk membaca Rekod Rayuan yang panjang lebar, penyerahan bertulis, permohonan dan lain-lain.

Saya tidak malu untuk mengatakan yang saya terdesak, seperti mana juga mereka yang terbabit dalam kes ini. Saya fikir apa yang saya putuskan selama ini akan meningkatkan peluang kes rayuan ini.

Yang Arif, keputusan saya menyebabkan saya tidak lagi diwakili peguam. Walaupun Tn Haji Hisyam datang dengan niat yang baik, beliau tidak dapat mewakili saya dengan berkesan kerana beliau tidak pernah mempunyai masa yang mencukupi untuk menyediakan, atau membaca kertas pertuduhan, dan saya memberhentikan beliau dan peguamcara pada 18 Ogos 2022 seperti yang telah dijelaskan oleh Tn Haji bagi pihaknya bahawa mereka tidak bersedia untuk mempertikaikan rayuan, dalam keadaan mereka tidak bersedia sepenuhnya. Secara seriusnya Yang Arif, boleh saya bertanya kepada Mahkamah ini, adakah saya patut dipersalahkan dan dihukum kerana bergantung kepada nasihat peguam cara dan peguam bela saya sendiri?

Memandangkan keputusan Yang Arif minggu lepas, saya telah menilai beberapa peguam sebagai alternatif, tetapi dengan mengambil kira keputusan dan alasan Mahkamah Yang Mulia ini pada hari Selasa lepas (16 Ogos 2022), tiada siapa yang boleh atau sudi mewakili saya, kecuali masa yang mencukupi diberikan oleh mahkamah seperti yang diminta oleh Tn. Hj. Hisyam.

Malah peguam dan peguamcara saya sebelum ini tidak dapat atau bersedia untuk mengambil semula kes ini tanpa cukup masa diperuntukkan kepada mereka, iaitu sekurang-kurangnya 2 bulan bagi menyediakan apa jua dokumen yang mencukupi. Mereka boleh membuat persiapan ini dalam masa 2 bulan kerana mereka turut terlibat di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Tn Haji Hisyam sebaliknya, bersama-sama peguamcaranya yang benar-benar baru dalam kes itu, memerlukan sekurang-kurangnya 4 bulan untuk membuat persediaan.

Perlu saya ulangi bahawa saya tidak diwakili peguam dan tidak tahu apa yang perlu dibuat selanjutnya. Jika diberi masa sekurang-kurangnya 2 bulan, saya yakin saya boleh mengumpulkan satu pasukan untuk mewakili saya, mungkin dengan gabungan peguam saya sebelum ini dan Hj. Hisyam. Dalam gabungan yang dicadangkan itu, mungkin Tn. Hj. Hisyam boleh membantu mempercepatkan persediaan Shafee & Co. dalam tempoh 2 bulan itu.

Yang Amat Arif, pada hari Isnin Tn Haji Hisyam berkata pendengaran kes ini ibarat satu pertandingan. Tetapi sekarang ini seolah-olah saya telah diketepikan daripada pertandingan, pertandingan yang menafikan hak perundangan serta keadilan buat saya.

Dalam keadaan biasa, peguam saya pada peringkat ini akan mengemukakan banyak hujah tetapi tidak pada hari ini. Saya tidak boleh menyalahkan Tuan Haji dalam hal ini dan usaha beliau untuk mengemukakan beberapa perkara baru akan dianggap menyalahi undang-undang kerana peguam perlu menyebut SEMUA aspek pembelaan yang ada, sudah tentulah bukan satu atau dua daripada lebih 90 fakta pembelaan yang ada. Peguam saya sebelum ini, Tan Sri Shafee dan Harvey Singh menarik perhatian saya semasa menyediakan rayuan ini bahawa terdapat sekurang-kurangnya 40 alasan berbeza dalam 90 fakta pembelaan Petisyen Rayuan, di mana rayuan saya mengenai mana-mana satu perkara daripada 40 itu boleh membebaskan saya daripada pertuduhan.

Bagaimana mana-mana peguam bertanggungjawab boleh mengambil hanya 2 atau 3 daripada 90 hujah pembelaan dapat membela saya? Mahkamah Yang Mulia ini nampaknya terlalu mengambil berat tentang masa yang diperuntukkan untuk rayuan ini dengan menganggap sebarang penangguhan akan menyusahkan Mahkamah dan pihak Pendakwa. Tetapi, pastinya Yang Arif, berdasarkan apa yang saya katakan dan apa yang akan saya katakan kemudian, perlukan kita nafi dan korbankan keadilan ini?

Oleh itu, saya memohon agar diberikan lebih masa. Pada peringkat ini, saya meminta dua bulan untuk peguam saya bersedia untuk permohonan rayuan ini. Saya sudah kurang bernasib baik tetapi sekurang-kurangnya biarkan saya hadapi mahkamah dengan pembelaan yang betul dan kukuh.

Hasil daripada apa yang saya minta ialah penangguhan 2 bulan sahaja bagi pendengaran rayuan, dan bukannya hukuman penjara 12 tahun ke atas saya, ataupun pelepasan saya daripada pertuduhan ini. Ini belum lagi denda yang cukup tinggi dikenakan.

Jika masa tidak diberikan Yang Arif, Mahkamah ini akan terbeban dengan tuntutan undang-undang untuk meneliti rekod rayuan (lebih 200 jilid tidak termasuk jilid penghujahan terdahulu). Kepada pihak pendakwa, mereka pastinya akan mengambil lebih banyak masa untuk membuat pertimbangan yang secukupnya sebelum keputusan dibuat. Dalam konteks itu, bukankah pendekatan yang waras dan wajar diberikan kepada lanjutan masa agar ia mencukupi untuk proses rayuan dan pembelaan?

Yang Amat Arif, selain daripada saya memohon masa, saya juga ingin merakamkan bantahan terhadap Yang Amat Arif untuk terus mendengar kes rayuan ini. Saya menyatakan ini dengan setinggi-tinggi penghormatan dan tidak berniat yang tidak baik, tetapi sepanjang minggu lalu, terdapat banyak laporan mengenai sentimen terhadap saya yang diletakkan dalam domain awam oleh suami Yang Amat Arif, Dato Zamani lbrahim. Dalam siaran Facebook tertentu bertarikh 11h Mei 2018, dua hari selepas Pilihan Raya Umum ke-14, Dato Zamani lbrahim telah menyatakan pandangannya yang jelas menunjukkan rasa tidak senang dan jijiknya terhadap saya, dan bahawa saya bertanggungjawab secara langsung di atas kemelut 1MDB dan SRC. Itulah yang menjadi subjek rayuan ini.

Pendedahan baru-baru ini menimbulkan persoalan serius tentang kesaksamaan dan kecekapan kebijaksanaan Yang Amat Arif untuk mendengar kes ini. Walaupun saya perhatikan sentimen itu ditimbulkan oleh pasangan suami-isteri, adalah tidak munasabah untuk berfikir bahawa sentimen sedemikian dikongsi dalam rumah tangga. Undang-undang juga mengiktiraf bahawa terdapat hubungan istimewa antara suami dan isteri, yang boleh mempengaruhi keputusan kes rayuan ini. Pastinya kenyataan yang begitu kuat oleh Dato Zamani lbrahim akan dibawa ke perhatian umum dan dikongsikan. Ia banyak mengandungi unsur berat sebelah.

Walaupun Yang Amat Arif mungkin berpandangan bahawa mahkamah adalah bebas daripada politik, jangan lupa bahawa tindakan Ketua Hakim Negara sebelum ini, Tun Richard Malanjum yang meneruskan rayuan SRC pra-perbicaraan saya tanpa sebarang Rekod Rayuan disediakan, kini adalah ahli parti lawan, Pakatan Harapan dan berkempen untuk mereka selepas bersara. Ia amatlah memeranjatkan.

Yang Arif, situasi begini membuatkan saya tidak selesa. Sejak awal pertuduhan, saya ragu-ragu sama ada akan dapat peluang yang adil.

Ia bermula selepas pertuduhan saya dibawa ke hadapan hakim yang dilantik secara rawak oleh sistem komputer anda sendiri. Namun, selepas berita abangnya menjadi ahli UMNO, dan EXCO Pahang, dia secara tiba-tiba dan secara ringkasnya dipindahkan ke mahkamah sivil tanpa sebarang permohonan untuk menarik balik pertuduhan manakala Hakim Nazlan pula dibawa masuk. Kini dia terbabit dalam isu 1MDB ketika berada di Maybank, yang kini menjadi sebahagian daripada kes SRC.

Anehnya, mahkamah ini telah mengatakan bahawa keterangan mengenai Hakim Nazlan tidak ada kaitan dengan pertuduhan terhadap saya. Nampaknya Mahkamah sahaja yang betul. Kami tidak. Walau bagaimanapun, bukti menunjukkan pembabitan Hakim Nazlan yang memburukkan kedudukan saya dalam kes 1MDB, tanpa menyedari ianya mencemarkan penghakiman beliau ke atas saya. Dia berpotensi menjadi saksi dalam kes 1MDB, dan jika dia mengetahuinya lebih awal, dia sepatutnya sudah dipanggil memberi keterangan.

Dengan bantuan beberapa peguam, saya dapati terdapat banyak kes yang dilaporkan di Komanwel dari United Kingdom ke Australia, Malaysia, India dan Jamaica, Afrika Selatan, dan dari negara bukan Komanwel di Amerika Syarikat, dan tinjauan saya menunjukkan bahawa dalam kes saya, Mahkamah ini sepatutnya memberi masa kepada peguambela untuk membuat persediaan yang secukupnya dalam rayuan penting ini. Ia diperhatikan oleh semua pengamal undang-undang dan mahkamah, mengenai bagaimana keputusan mahkamah ini boleh diragui. Ia seperti membelakangkan peraturan yang ada. Dalam kes lama, Chong Fah Hin lawan Pendakwa Raya, keputusan 1949 oleh Hakim Malaya Russell, memutuskan bahawa setiap tertuduh mempunyai hak untuk dibela oleh peguambela dan harus diberi masa yang mencukupi untuk mengarahkan peguamnya.

Di Amerika Syarikat, keputusan Mahkamah Agungnya di Strickland lawan Washington pada 1984, diputuskan bahawa:
“perbicaraan yang adil ialah di mana bukti yang ada dikemukakan kepada tribunal yang saksama untuk penyelesaian isu yang ditakrifkan sebelumnya. Hak untuk mendapatkan peguam memainkan peranan penting dalam sistem kehakiman seperti yang terkandung dalam Pindaan Keenam, memandangkan akses kepada kemahiran dan pengetahuan peguam adalah perlu untuk memberikan pembelaan, diberikan peluang yang mencukupi untuk memenuhi kes pendakwaan, yang berhak mereka perolehi.”

Selanjutnya, di mahkamah yang sama pada tahun 2006 dalam kes Amerika Syarikat lawan Gonzales-Lopez Justice Scalia, seorang tokoh yang sangat dihormati dunia di bidang undang-undang, menyebut:
“Begitu juga dengan Pindaan Keenam mengenai hak kepada pemilihan peguam. Ia memperuntukkan agar perbicaraan bukan sahaja perlu adil, malah jaminan keadilan perlu diberikan – yang membolehkan tertuduh memilih peguambela yang difikirkan terbaik.”

Bagi kes yang sama, ia menyebut peguambela yang kurang cekap dilucutkan khidmatnya berdasarkan Pindaan Ke-6 manakala anak guamnya pula boleh merumuskan bahawa dia tidak mendapat pembelaan yang setimpal.

Dalam kes McGill dalam Mahkamah Rayuan Victoria di Australia pada 1967, penangguhan bagi melantik peguam baharu ada menyebut:
“Faktor-faktor yang membawa kami kepada kesimpulan bahawa keputusan Yang Berhormat adalah tidak munasabah adalah, yang pertama, penangguhan yang diminta adalah singkat; kedua, tidak ada sebab untuk menerima keputusan bahawa penangguhan ini akan memalukan atau menyusahkan sistem kehakiman; ketiga, kekurangan arahan atau persediaan oleh peguam mungkin akan melumpuhkan pembelaan; keempat, penolakan itu mewujudkan situasi yang tidak konsisten dengan keperluan bahawa keadilan sepatutnya dilaksanakan. Adalah penting bagi pentadbiran keadilan bahawa piawaian yang diperlukan untuk mendapatkan perbicaraan yang adil mengikut undang-undang harus ditegakkan. Salah satu daripada piawaian ini ialah orang yang dituduh mesti diberi peluang sepenuhnya untuk mengemukakan pembelaannya.”

Dalam kes besar di Mahkamah Tertinggi Australia, Dietrich yang mempunyai 7 hakim dan diketuai oleh Ketua Hakim Negara Mason, menyebut:
“Keputusan sama ada untuk memberikan penangguhan atau tidak hendaklah dibuat mengikut budi bicara hakim, dengan meminta sama ada perbicaraan itu berkemungkinan tidak adil jika tertuduh dipaksa tanpa diwakili. Bagi pihak kami, keinginan tertuduh di bawah kesalahan serius mohon diwakili adalah penting sehingga kami menganggap bahawa perbicaraan tanpa pembelaan adalah tidak munasabah. Dalam semua kes jenayah berat yang lain, remedi penangguhan harus diberikan agar representasi boleh diperolehi.”

Terdapat beberapa ratus kes seumpama ini di seluruh dunia. Peguam yang menawarkan maklumat ini secara sukarela untuk saya, memberikannya kepada saya dan saya terperanjat dengan hakikat bahawa prinsip ini begitu kukuh, dan saya berhak menerimanya. Namun pihak Pendakwaan menimbulkan hujah sebaliknya dengan mengatakan perubahan peguam tidak ada kaitan langsung dengan kes saya. Saya kecewa dengan keputusan Puan Yang Arif dalam mengendalikan kes ini. Dua daripada hakim wanita Puan Yang Arif memutuskan dalam kes Yahya Hussein Mohsen AbdulRab lawan Pendakwaraya bahawa peguambela yang tidak cekap tidak berhak mewakili anak guamnya.

Yang Arif telah mengarahkan peguam saya yang tidak bersedia untuk mengemukakan dokumen lengkap rayuan, agar mengemukakan walaupun satu atau dua daripada 90 asas pembelaan kepada mahkamah. Bukankah ini perbuatan sengaja untuk menafikan hak saya bagi mendapatkan pembelaan yang adil? Bukannya salah saya pun! Inikah keadilan sebuah mahkamah teragung sebelum membuat keputusannya? Izinkan saya petik kata-kata Geoffrey Robertson QC: “Adakah keadilan itu satu permainan?”

Akhir sekali, saya memandang berat perkara ini. Setakat tengah hari ini, alasan penghakiman yang bocor yang merekodkan sabitan saya dalam kes rayuan ini telah diedarkan di laman web bernama MalaysiaToday bertarikh 26 Ogos 2022.

Jika alasan ini benar, saya mempersoalkan integriti mahkamah ini kerana SUDAH LEBIH AWAL MENGATUR SABITAN ke atas saya. Sehingga pagi ini mahkamah beranggapan bahawa peguam saya boleh mengemukakan 2 atau 3 perkara seperti yang dicadangkan oleh Ketua Hakim Negara. Bagaimana keputusan mahkamah boleh dimuktamadkan lebih awal? Mahkamah ini perlu memberikan jawapan bukan sahaja kepada saya sekeluarga, malah kepada seluruh negara. Inilah negara yang saya curahkan khidmat bakti, dan saya akan teruskannya.

Ini adalah salahguna kuasa perundangan terbesar jika ianya benar.

Yang Arif, untuk rekod, saya juga mahu pernyataan ini didokumentasi dan diambil kira.

DATO’ SRI NAJIB RAZAK

Pernyataan Datuk Seri Najib Razak Kepada Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Kes Najib penganiayaan politik – Armand

Gurauan melampau rakan

Bekas mak nyah insaf selepas mimpi dibakar api

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker