Menuju PRU-15, kini hanya tinggal setahun sahaja lagi

APABILA Parlimen bersidang buat pertama kali pada 16 Julai 2018, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), rakyat meletakkan harapan yang menggunung tinggi. Ia hanya tinggal kenangan lipatan sejarah.

Hari ini genap empat tahun mandat formal PRU14 direkodkan. Sejak Parlimen pertama kali bersidang, dua bulan selepas PRU14, tidak ramai yang menjangkakan negara akan berhadapan dengan landskap politik, pentadbiran dan pilihan raya luar jangkaan, sebagaimana disaksikan pada 9 Mei 2018.

Pelbagai detik, perisitwa dan kejadian berlaku dan dialami, memberi pengajaran langsung dan secara tidak langsung bagaimana kita harus urus politik dan pilihan raya.

Kini tinggal 365 hari sebelum mandat semasa menutup tirai bagi membolehkan PRU15 dilangsungkan.

Tempoh ini ada sedikit berbeza antara satu negeri dengan negeri lain daripada sudut mandat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Di Malaysia tidak pernah ada ketika Parlimen terbubar dengan sendiri.

Lazimnya pilihan raya akan dipanggil dalam tahun akhir mandat atau beberapa bulan mandat semasa berakhir.

Kecuali ada kerajaan negeri yang membubarkan DUN masing-masing lebih awal, antaranya di Sabah dan di Kelantan pula hanya sekali.

Di sebalik tinggal setahun lagi mandat semasa berakhir, saya percaya, buat pertama kali dalam sejarah, teka-teki mengenai PRU15 sudah banyak lagi diperkatakan.

Ia timbul sejak dua tahun lalu, beberapa bulan selepas Langkah Sheraton yang menamatkan hayat kerajaan pimpinan PH, dan digantikan oleh kerajaan campuran pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang kemudiannya menubuhkan gabungan Perikatan Nasional (PN).

Muhyiddin merupakan Presiden Bersatu, salah satu komponen PH ketika itu.

Secara khusus boleh dikatakan bahawa spekulasi PRU15 akan diadakan sudah muncul dua bulan sebelum PRN Sabah yang berlangsung 26 September 2020.

Ketika itu, Muhyiddin menyatakan bahawa PRU15 akan dipanggil jika partinya memenangi PRN Sabah.

Bagaimanapun krisis Covid-19 menafikan andaian dan jaminan itu. Tahun 2021 bermula dengan penggantungan Parlimen dan DUN.

Menurut deklarasi darurat, tidak akan ada pilihan raya kecil dan pilihan raya umum sehingga satu tarikh ditentukan kemudian.

Penggantungan Parlimen ditarik balik pada bulan Ogos tetapi disambung bagi DUN Sarawak, yang dibatalkan dua bulan kemudian, sekali gus membolehkan PRN Sarawak diadakan pada 18 Disember 2021.

Ia merupakan kali pertama satu PRN diadakan selepas mandat berakhir, lebih-lebih selepas penggantungan dewan perundangan.

Cakap-cakap mengenai PRN15 mengejut masih berterusan. Didengar setiap hari ini.

Terdapat juga desakan daripada parti komponen kerajaan yang sedang memerintah.

Malah ada juga parti komponen mengambil pendirian berbeza. Ada teori mengatakan PRU15 akan dipanggil antara akhir September dan awal Oktober ini.

Malah ada yang membuat spekulasi Parlimen akan dibubarkan sebaik Bajet 2023 dibentangkan. Ia seakan situasi ketika PRU 1999.

Semuanya sungguh menarik dan tidak pernah dijangkakan sama sekali, serta tidak pernah disaksikan sebelum ini.

Hari ini kita berada di landskap politik dan pilihan raya yang sangat berbeza.

Tingkap ‘feel good factor’ untuk PRU15 mengejut sudah terlepas. Tempoh yang terbaik adalah Jun, iaitu bulan lepas.

Keciciran berpunca dari pergolakan dalaman parti yang memerintah dan dalam kalangan komponen mereka sendiri.

Malah, ia diburukkan lagi dengan krisis bekalan makanan dan kenaikan harga barangan, yang turut mempengaruhi sentimen rakyat, yakni lebih 21 juta pengundi yang berada dalam daftar pemilih pada hari ini.

Suasana kondusif tidak lagi memihak kepada kerajaan semasa. Maka, cakap-cakap seterusnya mengenai tarikh PRU15 adalah antara Februari-Mac tahun depan, atau jika Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjaya meneruskan kelangsungan kerajaan beliau, PRU15 adalah antara Mei-Jun 2023.

Beliau dilaporkan mahu kekal mandat sehingga pertengahan tahun depan.

Meskipun tahun akhir mandat PRU13 (2017-2018) dilihat sesuatu yang sangat mencabar, tetapi dua tahun terakhir ini adalah lebih getir bagi parti politik. Setiap hari dilihat sebagai hari-hari yang penuh ujian mengenai masa yang sesuai untuk PRU15.

Apa pun kita sudah berada dalam perjalanan tahun akhir mandat.

Pecutan akhir sebelum mandat berakhir sebelum PRU15.

Ketika tinggal 365 hari lagi, setiap hari dianggap sangat menarik untuk diperhatikan.

Lebih-lebih lagi ketika minat untuk orang ramai mengambil bahagian dalam PRU15 sangat rendah berbanding PRU14.

Ia juga sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah pilihan raya negara.

Pola itu telah dicerminkan ketika PRN Melaka, Sarawak dan Johor.

Kekecewaan itu dikaitkan dengan perubahan kerajaan sebanyak tiga kali sejak Mei 2018.

Rakyat merasakan undi mereka sudah tidak lagi dihargai. Apa gunanya keluar mengundi jika mandat kami tidak dihormati.

Apa jaminan barisan wakil rakyat yang dipilih akan menunaikan mandat mereka. Ini persoalan besar hari ini.

Ia melibatkan kesemua parti. Maka, kita tidak boleh menolak peratusan keluar mengundi PRU15 akan lebih rendah berbanding PRU14.

Sementara PRU15 bukan lagi sesuatu yang mengejutkan, ia masih boleh dipanggil bila-bila masa.

2018

– 9 Mei: Pilihan Raya Umum ke-14; Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan pusat

– 16 Julai: Parlimen Penggal ke-14 mula bersidang

2019

– 16 Julai: Dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun dan sistem pendaftaran pemilih secara automatik.

– 22 Julai: Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang ditubuh selepas empat parti keluar daripada BN, dilancarkan

2020

– 25 Februari: Kerajaan PH tumbang, Tun Dr Mahathir Mohamad, dilantik Perdana Menteri sementara

– 27 Ogos: Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya serah laporan 49 syor kepada kerajaan.

– 14 September: Pendaftaran Perikatan Nasional (PN) diluluskan

– 26 September: Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut di Sabah; Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan perikatan baharu terbentuk

– 5 Disember: Kerajaan negeri Perak terbubar berikutan pengumuman Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletakkan jawatan beliau sebagai Menteri Besar; diganti oleh Datuk Seri Saarani Mohamad dari UMNO-BN

2021

– 11 Januari: Pengisytiharan darurat berkuat kuasa, dan Parlimen dan DUN digantung

– 16 Ogos: Tan Sri Muhyiddin Yasin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan; digantikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

– 13 September: Ismail Sabri dan PH menandatangani memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik, antara lain dikatakan PRU15 tidak akan diadakan sebelum akhir Julai ini

– 20 November: PRN ke-15 mengejut Melaka ekoran pergolakan politik dalam negeri

– 11 Disember: Di tengah-tengah desakan membubarkan Parlimen, Ismail Sabri minta semua pihak bersabar dan terus menyokongnya sebagai Perdana Menteri untuk menyelesaikan isu ekonomi dan kesihatan

– 18 Disember:

PRN ke-12 Sarawak diadakan, lewat enam bulan susulan penggantungan DUN ekoran pengisytiharan darurat

2022

– 12 Mac: Johor mengikuti langkah Melaka adakan PRN ke-15

– 14 April: UMNO mengumumkan Ismail Sabri sebagai ‘poster boy’ BN untuk menghadapi PRU15

– 15 Mei: Perhimpunan Agung UMNO luluskan pindaan perlembagaan bagi menangguhkan pemilihan parti

– 11 Julai: PN umumkan akan memperkenalkan logo baharu ketika PRU15

– 18 Julai: Sidang Parlimen Julai-Ogos akan bermula, dengan fokus beralih kepada Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti KRONOLOGI PASCA PILIHAN RAYA UMUM KE-14


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Tangkapan ikan gergasi ‘oarfish’ cetus kepercayaan gempa dahsyat bakal menyusul

Ambulans terbalik dilanggar jururawat

PH silap besar bila iktiraf tuntutan Sulu – Najib

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker