Peralihan ke fasa endemik, tingkat keyakinan perniagaan – Ismail



Peralihan ke fasa endemik, tingkat keyakinan perniagaan – Ismail

Pembukaan semula sempadan sejak April lalu setelah negara berada dalam fasa peralihan ke endemik, akan meningkatkan sentimen pengguna dan keyakinan perniagaan, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti ekonomi dan perniagaan telah mendapat semula momentum walaupun masih terdapat beberapa sektor seperti industri pelancongan dan penerbangan perlu mengambil masa lebih lama untuk kembali pulih.

Katanya, hasil daripada perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi, ekonomi Malaysia terus berada dalam landasan tepat dengan mencapai perkembangan sebanyak 5.0 peratus pada suku pertama 2022.

Pada Mei lalu, menurut beliau, eksport negara terus mencatatkan pertumbuhan dua angka bagi bulan kesepuluh secara berturut-turut dengan peningkatan sebanyak 30.5 peratus dan nilai eksport bulanan yang amat tinggi sebanyak RM120.5 bilion.




“Kerajaan melalui pelbagai kementerian dan Bank Negara Malaysia (BNM) sentiasa memantau dengan teliti keadaan ekonomi, perniagaan dan pasaran kewangan dalam negara.

“Ini penting bagi memastikan haluan pemulihan ekonomi tidak akan terjejas akibat ketidaktentuan luaran dan cabaran domestik,” katanya berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-76 Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sebuah hotel di Melaka hari ini.

Menurut Ismail Sabri, Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) sentiasa berinteraksi dengan pemain industri dan penganalisis pasaran bagi mengikuti perkembangan terkini yang akan memberi kesan langsung serta tidak langsung kepada keadaan ekonomi domestik.

Begitu juga katanya, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang beliau pengerusikan berperanan mendapatkan gambaran jelas mengenai isu kenaikan harga dan keadaan pasaran daripada kementerian berkaitan.

Selain itu, mesyuarat berkenaan juga salah satu platform kerajaan dalam memantau keseluruhan bekalan dan permintaan barang makanan utama.




“Kerajaan telah mengumumkan langkah dan inisiatif untuk menangani isu kekurangan bekalan makanan, terutama bekalan ayam dan mekanisma penstabilan harga.

“Antara inisiatif kerajaan ialah penghapusan Permit Import, pengagihan imbangan stok ayam dari satu negeri ke negeri lain untuk memastikan bekalan kepada rakyat tidak terjejas.

“EAC juga secara proaktif mengambil tindakan menangani isu keselamatan makanan serta ekonomi dan perniagaan yang menjadi kebimbangan segera kepada komuniti perniagaan,” kata beliau.

Beliau berkata, kerajaan menghargai sumbangan berharga sektor swasta diwakili Presiden ACCCIM, Tan Sri Low dalam pasukan EAC.

Katanya, ACCCIM telah mengemukakan isu dihadapi dan mencadangkan cara penyelesaian untuk membantu masalah seperti ketersediaan tanah ladang dan Pajakan Tanah Sementara (TOL) yang perlu diteliti oleh kerajaan.




Ismail Sabri berkata, Malaysia memerlukan pelaburan yang kukuh dan berkualiti untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi, di samping mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan meningkatkan pengeksportan produk nilai tambah.

“Sehubungan itu, Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) telah dirangka untuk merancakkan pelaburan di Malaysia.

“Transformasi dasar pelaburan akan merangkumi pelbagai elemen seperti insentif, pemudahcaraan, kepakaran, infrastuktur serta perundangan, kawal selia dan prosedur.

“Sementara kita sedang menarik pelabur asing (FDI), pelaburan domestik (DDI) terutama PKS juga perlu memainkan peranan penting bagi mengukuhkan asas perindustrian dengan meningkatkan keupayaan industri domestik,” jelas beliau. MG

Peralihan ke fasa endemik, tingkat keyakinan perniagaan – Ismail





Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Sultan Johor bidas pemimpin DAP hasut rakyat berdemo

Stress Tengok Cara Peniaga Di Thailand Kupas Durian (Video)

Hadi buat pusingan U, mahu PRU-15 dijalankan segera



Leave a Reply

Your email address will not be published.