Laporan forensik dedah sumber wang Syed Saddiq



Laporan forensik dedah sumber wang Syed Saddiq

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu, anggaran RM250,000 yang didakwa hilang daripada peti besi Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah hasil simpanan keluarga bertujuan membiayai kos ubah suai rumah.

Bagaimanapun, transkrip laporan forensik mengandungi rakaman perbualan beliau dengan beberapa ahli kumpulan dalam aplikasi WhatsApp mendedahkan, wang itu merupakan sumbangan daripada dana parti politik (discretionary fund) yang pernah dipohonnya.

Laporan forensik itu malah mengandungi perbualan Syed Saddiq dengan ahli-ahli kumpulan mengenai alasan yang akan dimaklumkan kepada pihak media untuk menutup mulut masyarakat berhubung kehilangan wang daripada peti besi di rumahnya.

Laporan forensik itu diperolehi selepas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas telefon bimbit milik Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari Armada untuk dianalisa.




Perkara itu dimaklumkan oleh pegawai penyiasat SPRM, Muhamad Taufik Awaludin ketika memberi keterangan pada perbicaraan hari pertama terhadap Syed Saddiq yang menghadapi tuduhan pecah amanah RM1 juta dan penyalahgunaan wang RM120,000.

Saksi pendakwaan pertama itu berkata, pihak SPRM mula menjalankan siasatan pada 31 Mac 2020 berhubung kehilangan wang daripada rumah Syed Saddiq hasil laporan polis yang dibuatnya bersama-sama ibu bapa.

Ujar Muhamad Taufik, 30, dalam laporannya, Syed Saddiq menyatakan, peti besi itu yang menggunakan kombinasi nombor keselamatan dibuka kali terakhir di antara 13 dan 14 Mac 2020.

Menurut laporan itu, tiada kesan umpilan pada peti besi manakala biliknya berada dalam keadaan kemas selain hanya individu tertentu yang mengetahui di mana wang tersebut disimpan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung esok.




Syed Saddiq sedang dibicarakan terhadap pertuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta sebuah parti politik dengan menyalahgunakan dana tersebut.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. (pertuduhan pindaan kedua)

Syed Saddiq juga didakwa atas pertuduhan pindaan menyalahgunakan harta RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 April sehingga 21 April 2018.




Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq turut didakwa atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kejadian itu didakwa dilakukan di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram. E9




Laporan forensik dedah sumber wang Syed Saddiq


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Sharnaaz peluk erat anaknya selepas 3 hari dalam lokap

“Minta Maaf Syamsul”… Syamsul Berjaya Cari Wartawan mStar, Bersemuka Isu Tajuk Artikel [VIDEO]

Durian J. Sparrow, Jerai dari Kedah setanding musang king



Leave a Reply

Your email address will not be published.