Majoriti pekerja Malaysia mahu kerja 4 hari seminggu



Majoriti pekerja Malaysia mahu kerja 4 hari seminggu

Sejumlah 62 peratus pekerja sepenuh masa di Malaysia lebih gemar fleksibiliti sepanjang empat hari bekerja seminggu, demikian mengikut tinjauan oleh syarikat pengurusan pengalaman Qualtrics.

Secara keseluruhan, di Asia Tenggara keutamaan untuk fleksibiliti dengan 60 peratus memilih minggu bekerja yang lebih singkat.

“Dengan organisasi Asia Tenggara terus memperhalusi cara bekerja selepas dua tahun bekerja jarak jauh, dan pemimpin di Malaysia masih berbahas kebolehlaksanaan amalan bekerja empat hari seminggu, dapatan Qualtrics menunjukkan kepentingan berjaya menjajarkan program baharu yang diterima pakai dengan keperluan dan jangkaan pekerja.

“Bagi sepertiga pekerja di Asia Tenggara (33 peratus), fleksibiliti bermakna kebebasan menentukan jam bekerja. Selebihnya mentakrifkan fleksibiliti sebagai keupayaan bekerja dari mana-mana lokasi (24 peratus), memilih hari mereka bekerja (19 peratus), atau dinilai berdasarkan prestasi, bukan bilangan jam bekerja (18 peratus). Responden daripada Malaysia menyuarakan pilihan yang sama,” katanya.




Menurut Qualtrics, pekerja bersikap terbuka terhadap minggu bekerja empat hari, tetapi ada perkara yang membimbangkan mereka.

“Walaupun majoriti daripada pekerja memilih fleksibiliti jika diberi pilihan, 86 peratus daripada responden di Asia Tenggara bersedia menyokong majikan mereka melaksanakan minggu bekerja empat hari dengan kebanyakannya melihat penambahbaikan kesihatan dan kesejahteraan mereka sebagai antara sebabnya.

“Kebanyakan responden termasuk responden daripada Malaysia percaya bahawa bekerja empat hari seminggu meningkatkan keseimbangan hidup bekerja (86 peratus) dan kesejahteraan mental (82 peratus), produktiviti (83 peratus), dan membuat mereka rasa lebih setia kepada majikan mereka.

“Sejumlah 60 peratus daripada responden di Asia Tenggara sanggup dipotong gaji untuk bekerja kurang sehari dalam seminggu, manakala 54 peratus daripada responden di Malaysia kurang sanggup,” katanya.

Menurut syarikat pengurusan pengalaman berpangkalan di Utah, Amerika Syarikat (AS), walaupun pelbagai program rintis bagi minggu bekerja empat hari menunjukkan banyak manfaatnya seperti peningkatan kesejahteraan di Iceland dan peningkatan produktiviti di Jepun, banyak responden percaya bahawa akan ada timbal balas.




“Hampir tiga perempat (72 peratus) di Asia Tenggara mengatakan bahawa mereka jangkakan masa bekerja mereka akan menjadi lebih panjang, manakala 58 peratus mengatakan bahawa pelanggan akan kecewa, dan prestasi syarikat akan terjejas.

“Di Malaysia, responden mengatakan tempoh bekerja lebih panjang (68 peratus), pelanggan yang kecewa (62 peratus), dan prestasi syarikat (65 peratus) sebagai perkara yang paling membimbangkan mereka,” katanya.

Qualtrics berkata, dalam pada pekerja menyesuaikan diri mereka dengan perubahan landskap terbabit, dua pemacu utama kejayaan bagi cara bekerja baharu yang dilaksanakan ialah mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan, serta memastikan pekerja berjaya dalam persekitaran fizikal dan jauh.

“Ini ialah langkah yang diambil terhadap 72 peratus daripada responden yang mengatakan bahawa pekerjaan mereka adalah penyumbang utama kepada cabaran kesihatan mental.

“Walaupun bilangan responden yang serupa daripada Asia Tenggara mengatakan bahawa bekerja jarak jauh telah memberi impak positif (25 peratus) dan negatif (25 peratus) ke atas kesihatan mental mereka, ia berbeza bagi responden daripada Malaysia dengan lebih banyak responden tempatan yang mengalami impak positif (30 peratus positif, berbanding 22 peratus negatif).




“Dua pertiga (67 peratus) daripada responden di rantau ini merasakan bahawa kemajuan kerjaya mereka akan terjejas jika mereka waktu kerja mereka fleksibel. Gabungan dapatan ini mendapati kepentingan memahami keperluan individu dalam tenaga kerja untuk mendayakan majikan mengambil tindakan bersasar yang memastikan tidak ada sesiapa yang akan ketinggalan,” katanya.

Baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Raja, Johor, Nor Rashidah Ismail berkata adalah wajar untuk menyeragamkan hari rehat antara kerajaan dan swasta bagi memastikan kesejahteraan keluarga.

Katanya, ini memandangkan hari rehat berbeza bagi penjawat awam, pekerja swasta dan pelajar sekolah, keluarga tidak boleh mempunyai masa berkualiti bersama.

Menurutnya lagi, negara seperti Belgium, Iceland, Scotland, Sepanyol, Jepun dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sudah mula melaksanakan sistem bekerja empat hari seminggu.

Pakar Strategi Penyelesaian Pengalaman Pekerja, Asia Tenggara Qualtrics, Lauren Huntington, berkata, satu kemungkinan penyelesaian kepada cabaran yang ditimbulkan oleh model bekerja baharu ialah mengukur prestasi pekerja berdasarkan hasil, bukan bilangan jam dan hari bekerja, dengan 89 peratus daripada responden menyokong pendekatan itu.




“Responden merentasi Asia Tenggara melihat peningkatan kecekapan, fokus dan pengiktirafan sebagai sebab utama mereka berbuat demikian, manakala 26 peratus harap bilangan jam kerja dikurangkan.

“Majoriti daripada responden juga mengalu-alukan tawaran hari kesihatan mental berbayar daripada majikan mereka, dengan 94 peratus mengatakan bahawa ini ialah penyelesaian jangka panjang yang baik untuk memastikan kesihatan mental yang baik,” katanya.

Huntington berkata, bagi organisasi yang memikirkan semula cara bekerja tradisional, dapatan Qualtics mendedahkan impak perubahan yang sedang dipertimbangkan dan dilaksanakan.

“Dalam kekalutan melaksanakan model bekerja baharu, majikan tidak boleh terlepas pandang hakikat bahawa apa yang pekerja mahu dan telah terbiasa dengan fleksibiliti mengubah jadual bekerja mereka untuk disesuaikan dengan tuntutan kehidupan mereka.

“Kami melihat semakin banyak orang yang membuat keputusan kerjaya dan mendapat kepuasan dalam pekerjaan mereka dengan bekerja untuk organisasi yang benar-benar faham serta memenuhi keperluan mereka, dan tempat mereka rasa diterima dengan baik.

“Itulah sebabnya perkara paling penting dalam mana-mana model bekerja bukan sekadar bilangan jam atau hari bekerja tetapi keupayaan untuk memahami dan memenuhi keperluan dan jangkaan orang untuk memastikan semua pihak termasuk pelanggan mendapat manfaat daripada transformasi yang sedang dilakukan,” katanya.

Penyelidikan Qualtrics dijalankan pada bulan Mei 2022, merangkumi 3,415 responden yang berusia 18 tahun atau responden lebih berusia yang bekerja sepenuh masa atau secara sambilan merentasi pelbagai industri di Indonesia, Malaysia, Filipina dan Singapura.

Soalan yang berkaitan dengan minggu bekerja empat hari hanya dijawab oleh pekerja sepenuh masa, yang berjumlah 2,846 responden. Sejumlah 557 responden adalah dari Malaysia. BH

Majoriti pekerja Malaysia mahu kerja 4 hari seminggu


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Sharnaaz peluk erat anaknya selepas 3 hari dalam lokap

“Minta Maaf Syamsul”… Syamsul Berjaya Cari Wartawan mStar, Bersemuka Isu Tajuk Artikel [VIDEO]

Durian J. Sparrow, Jerai dari Kedah setanding musang king



Leave a Reply

Your email address will not be published.