‘Emak belum tahu rumah dia hangus’



‘Emak belum tahu rumah dia hangus’

KOTA BHARU: “Emak belum tahu rumah dia hangus, cuma dimaklumkan terbakar dan selamat saja kerana dia kini sedang menunaikan umrah di Makkah,” kata Mohd Zuriman Johari, mangsa kebakaran di Kampung Demit, Kubang Kerian di sini.

Mohd Zuriman, 43, berkata ibunya, Mislia Abdullah, 64, yang berada di Makkah sejak 20 Mei lalu mengetahui kebakaran itu bukan melaluinya, tetapi ahli keluarga lain yang ingin bertanya khabar.

“Kami adik-beradik sepakat untuk tidak memberitahu emak buat masa sekarang kerana enggan mengganggu ibadah umrahnya, tetapi rupanya dia sudah tahu mengenai kebakaran itu lebih awal.

“Bagaimanapun, emak cuma dimaklumkan rumahnya selamat namun kami tidak dapat jangka bagaimana reaksinya apabila pulang pada 1 Jun nanti,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.




Beliau berkata, dalam kejadian jam 6 petang semalam, bengkel membaiki kereta miliknya turut terbabit dalam kebakaran yang memusnahkan beberapa peralatan dan mesin.

Katanya, ketika itu dia sedang tidur dalam bilik di rumah ibunya itu sebelum terdengar anaknya menjerit memberitahu rumah sedang terbakar.

“Sebaik terdengar jeritan anak, saya terus keluar dan ternampak api sedang membakar dinding ruang tamu dan kami tiga beranak segera keluar menyelamatkan diri.

“Saya kemudian teringatkan kereta pelanggan dan ingin kembali ke dalam rumah mengambil kunci kereta dengan memecahkan cermin tingkap bilik, namun asap terlalu tebal.

“Dengan bantuan orang ramai, tiga kereta pelanggan kami terpaksa pecahkan cerminnya untuk dialihkan ke tempat selamat. Bagaimanapun, kereta Perodua Myvi milik saya dan Peugeot pelanggan mengalami sedikit kerosakan di bahagian hadapan,” katanya.




Mohd Zuriman berkata, kerugian yang dialaminya akibat kejadian itu dianggarkan kira-kira RM10,000, namun berasa sedih memikirkan rumah pusaka orang tuanya yang hangus.

“Kebakaran turut memusnahkan peralatan membuat kuih yang diusahakan adik lelaki saya, termasuk peti ais, mesin penguli, kawah dan mesin menghasilkan serunding.

“Rumah ini didiami adik bersama emak dan selepas ini mereka akan menetap bersama saya sementara keputusan diambil sama ada emak ingin membina semula rumah di tapak itu atau tidak,” katanya. BH

‘Emak belum tahu rumah dia hangus’


Baca Artikel Menarik:




Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Warga emas cedera dipukul penunggang motosikal [VIDEO]

Hakim Arief Emran Dah Tarik Diri, Hakim Nazlan Pula Bagaimana?

Ustaz Abdul Somad diusir dari Singapura



Leave a Reply

Your email address will not be published.