Ahli Perniagaan Deepak Gagal Hidupkan Saman Terhadap Najib, Rosmah Dan Tiga Lagi

Ahli Perniagaan Deepak Gagal Hidupkan Saman Terhadap Najib, Rosmah Dan Tiga Lagi

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak rayuan seorang ahli perniagaan J.R. Deepak Jaikishan, adik lelakinya serta syarikat mereka untuk menghidupkan semula saman terhadap Datuk Seri Najib Razak, isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor dan tiga lagi berhubung dakwaan wujud konspirasi sehingga menyebabkan mereka mengalami kerugian.

Datuk Azizah Nawawi, yang menyampaikan keputusan panel tiga hakim itu, berkata tiada unsur penipuan, konspirasi, salah laku dan penyalahgunaan proses dalam kes itu seperti yang didakwa oleh Deepak, J. Rajesh dan Radiant Splendor Sdn Bhd.

Panel itu, yang turut terdiri daripada Datuk S. Nantha Balan dan Datuk See Mee Chun, memerintahkan kedua-dua beradik serta syarikat mereka membayar kos berjumlah RM80,000.

Deepak, Rajesh dan Radiant Splendor, yang diwakili peguam V. Sham Sunder, merayu agar saman mereka dihidupkan semula serta dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Saman mereka telah dibatalkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azimah Omar pada 13 Jan 2020 selepas beliau membenarkan permohonan Najib, Rosmah, bekas Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, adik lelaki Najib iaitu Datuk Ahmad Johari Abdul Razak dan bekas Pengerusi Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad Tan Sri Shukry Mohd Salleh.

Dalam penyataan tuntutan yang difailkan pada 12 Sept 2018, kesemua plaintif mendakwa Najib bertindak di luar batasan serta menyalahgunakan kuasanya dengan mengarahkan Bank Kerjasama Rakyat Berhad memfailkan pelbagai tindakan guaman terhadap mereka terutama kepada plaintif kedua iaitu Deepak.

Deepak mendakwa ia bagi menghalangnya daripada memberi keterangan lisan secara jujur ketika perbicaraan kes sivil berhubung pembunuhan Altantuya Shaariibuu membabitkan Najib, Rosmah dan Ahmad Johari.

Plaintif juga mendakwa terdapat perjanjian bertarikh 24 Julai 2008 dengan Bank Kerjasama Rakyat Berhad atas arahan Shukry, yang bersetuju memberikan dan menyediakan kemudahan pembiayaan wang sehingga RM198,888,750 dan sebagai balasan, mereka perlu menyerahkan hak mutlak dan kepentingan terhadap 80 unit pangsapuri dalam pembangunan iaitu Kondominium Palazzio Tower B.

Dakwa plaintif kesemua defendan telah melakukan tort konspirasi, penipuan, penyalahgunaan proses dan/atau perlakuan yang tidak mengikut undang-undang dalam mencapai perjanjian penyelesaian tersebut.

Plaintif juga mendakwa semua defendan berkonspirasi dalam menyebabkan kerugian terhadap mereka, dan memohon setiap defendan membayar ganti rugi am sebanyak RM10 juta, ganti rugi teladan RM2.6 juta dan ganti rugi berpanjangan.

Dalam penghakimannya, Azizah yang mempengerusikan panel itu, berkata tiada butiran yang mengaitkan Najib dan Rosmah dengan dakwaan bahawa perayu adalah proksi mereka atau bagaimana Najib dan Rosmah mendapat manfaat daripada perancangan membabitkan hartanah tersebut.

Beliau juga berkata tiada perkaitan antara Abdul Azeez, Ahmad Johari dan Shukry dengan dakwaan tort konspirasi, penipuan, salah laku dan penyalahgunaan proses.

Pada prosiding hari ini yang berlangsung secara dalam talian, mahkamah mendengar hujah Sham Sunder dan peguam Datuk David Matthews yang mewakili Najib serta Rosmah; Dhinesh Bhaskaran bagi pihak Ahmad Johari, Porres Royan (Abdul Azeez) dan Farah Shuhadah Razali (Shukry).

Semua peguam responden berhujah bahawa rayuan itu hendaklah ditolak kerana saman yang difailkan terhada anak guam mereka tidak dapat dipertahan.

Terdahulu, Sham Sunder turut berhujah anak guamnya adalah proksi Najib serta isteri beliau dan terlibat dalam urus niaga membabitkan hartanah bagi pihak mereka, sambil menambah bahawa kes itu melibatkan isu yang patut dibicarakan.-AA

Ahli Perniagaan Deepak Gagal Hidupkan Saman Terhadap Najib, Rosmah Dan Tiga Lagi

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Drama Raya PETRONAS 366 gambaran ketabahan rakyat Malaysia (Video)

Dituduh memondan, Aliff Syukri nak saman pula

Berjuta tonton, saya akan buat konsert pula – Aliff Syukri

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker