Suspek utama Macau Scam lompat pagar SPRM ditangkap

Selepas lebih dua minggu menyembunyikan diri, ketua sindiket Macau Scam dan judi dalam talian, Goh Leong Yeong yang menjadi buruan polis, akhirnya diberkas awal pagi tadi.

Goh, 32 tahun, atau lebih dikenali sebagai Alvin, ditahan kira-kira pukul 1.30 pagi ini bersama seorang wanita, dipercayai warga China, di sebuah hotel di pusat peranginan di Pahang.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, suspek berjaya ditahan hasil risikan yang dijalankan pihaknya sejak 12 Oktober lalu.

“Setakat ini, status wanita yang ditahan bersama suspek masih dalam siasatan. Alvin ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

“Dia kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 117,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Alvin sebelum ini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam kes ‘cuci duit’ atau pengubahan wang haram yang didakwa turut membabitkan selebriti dan pegawai kanan polis.

Suspek yang dipercayai koordinator kepada aktiviti Macau Scam di China, melarikan diri dengan cara memanjat pagar 11 Oktober lalu, di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Kejadian berlaku selepas suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM, sebelum sempat ditangkap semula oleh polis kerana disyaki terlibat dalam penganjuran judi dalam talian di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Alvin sebelum ini dipercayai menukar lokasi persembunyian antara ibu negara dan utara tanah air, selepas melarikan diri bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. Awani

Pusat jualan alat telekomunasi jadi markas Addy Kanna, Alvin Goh

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker