‘Kuasa rakyat’ dalam Belanjawan 2019

HAMPIR enam bulan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) hasil daripada ‘kuasa rakyat’ yang mahukan ­perubahan dalam corak pemerintahan negara yang dibuat melalui Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

PH semasa menjadi pembangkang sering melaung-laungkan gerakan rakyat untuk menjatuhkan kerajaan BN yang diketuai UMNO dengan pelbagai persepsi negatif, bukan sahaja semasa kempen PRU-14 tetapi sudah kedengaran sejak zaman reformasi 20 tahun lalu.

Melalui pelbagai gerakan, tohmahan dan janji-janji yang begitu indah, akhirnya kuasa rakyat telah memilih PH untuk menggantikan BN dengan harapan menggunung, melihat kerajaan yang dipilih lebih mementingkan rakyat berban­ding kepentingan peribadi mahupun kaum-kaum tertentu.

Namun selama enam bulan menjadi kerajaan, rakyat melihat tiada sebarang perubahan besar dilakukan oleh PH untuk kesejahteraan rakyat. Segala janji dalam manifesto PRU-14 tidak dapat dipenuhi dengan memberi pelbagai alasan yang menjengkelkan, termasuk menyalahkan kerajaan terdahulu.

Kini rakyat khususnya pengundi-pengundi yang mahu melihat benar-benar ‘Malaysia Baharu’ wujud selepas PRU-14 tidak kelihatan, malah tidak kurang juga yang mula membandingkan corak pemerintahan kerajaan BN dan PH tidak ada bezanya.

Penulis percaya rakyat kini kecewa dan hampa kerana apa yang diharapkan mereka tidak kesampaian. Kerajaan baharu yang dipilih tidak ada bezanya dengan kerajaan lama, malah di sana sini lebih banyak kelemahannya berbanding dahulu.

Mereka boleh sahaja bersabar dan memberi peluang kepada PH memperbaiki kelemahan mengambil kira kerajaan hari ini masih baharu dan para menteri yang dilantik pula tidak mempunyai pengalaman, namun itu bukan suatu alasan yang sewajarnya diberikan.

Rakyat cuma mahu melihat nasib mereka lebih baik di bawah kerajaan baharu berbanding dahulu. Mahukan harga barang yang lebih munasabah selepas ketiadaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang kini diganti dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), mahukan harga petrol yang lebih rendah, pemansuhan bayaran tol, pengekalan subsidi kepada golongan miskin dan lain-lain.

Namun selama enam bulan pemerintahan, hampir tidak ada satupun dasar dan ketetapan yang dibuat kerajaan PH yang memberi kesejahteraan dan mengubah nasib rakyat. Harga barang masih tinggi, harga petrol tidak berubah, tol masih perlu dibayar dan pemotongan subsidi di sana sini.

Sungguh, rakyat begitu kecewa. Kekecewaan itu dapat dilihat di wajah-wajah pemandu teksi, nelayan dan petani, dalam kalangan penjawat awam, guru-guru seluruh negara dan sesiapa sahaja yang selama ini meletakkan harapan menggunung agar kerajaan baharu dapat mengubah hidup mereka ke arah lebih sejahtera.

Malangnya, kerajaan khususnya para menterinya seolah-olah mengabaikan ‘kuasa rakyat’ yang mengangkat mereka sebelum ini sehingga ada di antara menteri yang membuat kenyataan-kenyataan yang seolah-olah memperbodohkan rakyat. Bukan sekali dua, malah berkali-kali dan bersilih ganti.

Justeru, Belanjawan 2019 yang bakal dibentangkan buat pertama kali oleh kerajaan baharu ini amat ditunggu-tunggu rakyat. Apakah mereka bakal mendapat ‘hadiah istimewa’ sebagai tanda terima kasih kerana memilih PH sebagai kerajaan atau sebaliknya.

Jika kekecewaan rakyat tidak diubati menerusi belanjawan pertama ini, penulis percaya lambat laun rakyat akan sekali lagi menggunakan ‘kuasa’ mereka untuk menggantikan kerajaan.

Ingat ‘kuasa rakyat’ ini dibentuk hasil gerakan parti-parti yang memerintah sekarang dan tidak mustahil ‘kuasa rak­yat’ ini juga akan menjatuhkan mereka semula.

UTUSAN

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker