Saifuddin tanding tanpa cai

Saifuddin tanding tanpa cai

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail akan bertanding pada pemilihan parti Mei ini tanpa sebarang ‘cai’ atau kem.

Saifuddin, yang bertanding jawatan timbalan presiden PKR menentang Rafizi Ramli, memberitahu pemberita hari ini bahawa dia terbuka untuk bekerjasama dengan semua orang dalam parti dan bukannya mempunyai puak sendiri.



“Saya buat masa ini tak ada bergantung pada mana-mana ‘cai’ sejak saya umum (bertanding). Tapi saya terima macam-macam permntaan untuk ikut berganding dan saya terbuka dengan itu.

“Sebenarnya ‘cai’ saya adalah seluruh kepimpinan PKR yang menawarkan diri untuk masuk bertanding,” katanya sambil menambah bahawa ‘cai’ mempunyai kebaikan dan keburukan.

Saifuddin ditemui di Hotel Hilton Kuala Lumpur awal hari ini bersama beberapa pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) untuk pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berhubung pembentangan rang undang-undang antilompat parti.

Saifuddin berdepan Rafizi, yang kini merupakan salah seorang naib presiden PKR, dalam pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung antara 13 Mei dan 18 Mei.



Spekulasi bertiup kencang mengenai siapa yang akan menyertai pasukan Saifuddin menentang Rafizi, yang juga dijangka mempunyai ‘cai’ sendiri.

Cai pada asasnya bermaksud ‘menu’ dalam bahasa Cina, dan istilah ini digunakan secara meluas dalam politik untuk merujuk kepada kem atau puak dalam pemilihan parti.

“Kadang-kadang ia (cai) boleh membawa kepada perpecahan, itu yang kita cuba elakkan.

“Justeru, saya terbuka kepada semua,” kata Saifuddin.



Pada 2018, pemilihan parti PKR telah menyebabkan perbalahan antara dua kem apabila Rafizi mencabar timbalan presiden parti ketika itu Azmin Ali.

Azmin berjaya mempertahankan kerusinya sebagai nombor dua parti, namun presiden PKR Anwar Ibrahim memutuskan untuk melantik Rafizi sebagai naib presiden.

Bagaimanapun, Azmin pada 2020 keluar dari PKR semasa rampasan kuasa politik yang digelar sebagai Langkah Sheraton, yang menyebabkan kejatuhan kerajaan persekutuan PH.

Saifuddin ketika ditanya sama ada pemilihan parti tahun ini mungkin seperti 2018 menafikan sekeras-kerasnya persepsi itu.



“Ia tidak akan berlaku lagi. Apa yang berlaku ketika itu ialah pihak yang menang (Azmin) kemudiannya mengkhianati parti kita.

“Namun dalam pilihan raya kali ini, hanya ada dua pilihan – sama ada saya atau Rafizi. Dan saya tidak nampak mana-mana antara kita akan melakukan seperti yang dilakukan Azmin,” katanya.

Saifuddin turut memberi jaminan sekiranya dia kalah kepada Rafizi, dia akan terus berkhidmat kepada PKR.

“Tidak dinafikan saya akan kekal bersama parti. Selain itu, saya tidak ada pilihan lain. Saya seorang ahli parlimen dan Adun, dan saya tidak melakukan apa-apa perniagaan, jadi saya tidak mempunyai sebarang komitmen lain.



“Saya hanya ada PKR untuk memberikan khidmat saya. Jadi tidak timbul isu saya akan keluar jika saya kalah dalam pemilihan parti,” katanya. Mk

Saifuddin tanding tanpa cai


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET




Guna pedang samurai serang suami isteri kerana enggan lakukan hubungan intim

Pak Imam tercabar, suara makmum lagi kuat dari Imam [VIDEO]

Zoey Rahman Kini Rapat Dengan Shakira Stephen Setelah Tiada jodoh Dengan Zarina Anjoulie

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker