Inilah Orang Yang Selayaknya Menerima Sedekah Menurut Islam

Inilah Orang Yang Selayaknya Menerima Sedekah Menurut Islam

Perlukah sedekah diberikan kepada si fakir yang meminta-minta? Jika seseorang itu tidak fakir adakah ia tidak layak menerima sedekah?

Berhubung persoalan di atas, menurut Sahlawati Abu Bakar, Pensyarah Jabatan Al-Quran & Al-Sunah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), bersedekah dalam kadar yang berpatutan dan ditinggalkan secukupnya untuk tanggungan adalah lebih afdal.



Sebagaimana hadis dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah bersabda,

“Sesungguhnya sebaik-baik sedekah ialah sedekah yang masih meninggalkan kecukupan (bagi orang yang bersedekah) atau yang disedekahkan dan mulakanlah dengan orang yang engkau tanggung.” (HR Abu Daud).

Memang benar apabila bersedekah maka Allah akan melipat gandakan apa saja milik kita termasuk rezeki. Abu Bakar misalnya menginfakkan seluruh hartanya. Lalu ditanya oleh Rasulullah,

“Wahai, Abu Bakar apa yang kau tinggalkan untuk keluargamu?” Abu Bakar menjawab, “Aku meninggalkan untuk mereka Allah dan Rasul-Nya.” Lalu Umar berkata, “Demi Allah aku tidak akan mampu mengalahkannya untuk mendapatkan keutamaan selamanya.”



Itu adalah yang dilakukan oleh para sahabat dalam menginfakkan harta ke jalan Allah. Namun untuk kita ada hadis yang telah menggariskan bahawa sedekah itu harus ditinggalkan untuk kecukupan orang yang bersedekah. Kemudian ditekankan juga mulakan sedekah kepada orang yang ditanggung.

Tegas Sahlawati, mulakanlah dengan orang yang engkau tanggung. Di situ boleh dijelaskan lagi bahawa siapakah mereka? Mulakan sedekah itu dengan Ibu bapa. Setelah itu barulah pergi kepada ahli keluarga iaitu isteri, suami dan anak-anak.

Selepas itu barulah pergi kepada kaum keluarga dan kerabat. Kemudian, barulah sedekah itu diberikan kepada orang fakir dan miskin bukan ahli keluarga.

Keutamaan sedekah adalah kepada ibu bapa, kebanyakannya beranggapan memberi kepada ibu bapa adalah tanggung jawab. Tapi ia adalah sedekah sebenarnya dan kita mendapat pahala sedekah. Begitu juga jika isteri yang memberi duit atau menanggung suami maka ia dianggap sedekah.



Dalam situasi itu suami seharusnya keluar mencari rezeki dan menanggung isteri tetapi disebabkan ketidakupayaannya maka isteri menanggungnya. Walaupun kita menganggapnya sebagai tanggung jawab dan tidak meniatkannya sebagai sedekah namun ia tetap dikira dengan pahala sedekah.

Masalahnya, apabila dikatakan sedekah kerana masyarakat beranggapan hanya fakir saja yang layak menerimanya. Pun begitu, menurut tafsiran daripada hadis di atas, sedekah harus dahulukan dengan orang yang ditanggung.

Segala pemberian kepada tanggungan itu juga termasuk di dalam sedekah. Apabila hendak memberi makan, maka kita dahulukan kepada anak-anak maka itu juga adalah sedekah.



Memang dalam Islam diajarkan apabila hendak membantu kena dahulukan ahli keluarga terlebih dahulu. Cuma masalah masyarakat sekarang kata ia sebagai kronisme, itu melampau namanya.

Dari sudut yang sangat ringkas, keluarga adalah orang yang paling hampir untuk menerima sedekah. Diutamakan keluarga kerana kita yang lebih tahu masalah keluarga berbanding orang luar.

Fakir Yang Layak Dibantu

Jika kita hendak memberi sedekah kepada orang luar kita kena tahu latar belakangnya. Fakir yang bagaimana lebih utama? Firman Allah surah al-Baqarah: 273,

“Berinfaklah kepada orang fakir yang terikat oleh jihad di jalan Allah. Mereka tidak dapat (berusaha) di bumi, orang yang tidak tahu dan menyangka bahawa mereka adalah orang kaya kerana memelihara diri dari meminta-minta. Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah) maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.”



Orang fakir yang disebut dalam ayat itu, jelas Sahlawati adalah mereka yang mengabdikan diri ke jalan Allah, mengajar agama dan tidak boleh mencari penghidupan di muka bumi kerana kesibukan menyebarkan agama. Bagi orang yang tidak tahu keadaan sebenar mereka, akan menyangka mereka adalah orang kaya kerana tidak menunjuk-nunjuk kefakirannya. Terutamanya dari segi tingkah laku, pakaian dan pengucapannya.

Rasulullah menerangkan maksud orang fakir dalam hadis. Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Orang miskin itu bukanlah orang yang berkeliling untuk meminta-minta satu dua buah kurma, satu dua suap makanan dan satu dua kali makan, akan tetapi orang miskin itu adalah orang yang tidak mempunyai harta yang mencukupinya dan ia tidak mampu berusaha. Maka hendaklah ia diberi sedekah dan ia tidak boleh meminta apa pun kepada orang lain.” (HR Muslim).

Ujarnya, itulah orang yang lebih utama diberikan sedekah. Ayat itu juga mengingatkan kita yang jahil untuk menilai si fakir yang perlu diberikan sedekah lantaran penampilannya yang tidak menunjukkan ia seorang fakir.



Walaupun ia tidak menampakkan bahawa ia boleh diberikan sedekah tetapi sebenarnya ia adalah yang paling layak. Mereka tidak ada masa untuk melakukan pekerjaan dan perniagaan lantaran kesibukan menyebarkan agama Allah.

Biasanya orang seperti itu menjaga maruahnya dan tidak mahu orang lain tahu dia fakir. Kalau orang fakir menunjuk-nunjuk keadaannya yang fakir dan diberi sedekah maka ia menerima sedekah itu adalah kerana keadaan luarannya yang nampak fakir.

Moral ceritanya, fakir itu tidak perlu dinampakkan untuk meraih simpati. Sebenarnya orang yang tidak jahil kena tahu siapa yang layak untuk menerima sedekah.

Selain itu, ada satu lagi hadis yang boleh dijadikan pegangan dalam soal kepada siapa hendak bersedekah? Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Jika salah seorang daripada kalian fakir maka hendaklah ia memulakan (sedekah) kepada dirinya sendiri, jika ada lebih maka ia berikan kepada keluarganya maka jika ada lebih berikan kepada orang yang ada hubungan kekeluargaan kemudian jika ada lebih maka ia boleh berikan kepada sesiapa yang ia kehendaki.” (HR Abu Daud).

Orang fakir juga boleh bersedekah tetapi mulakan dengan dirinya. Mencukupkan keperluan diri dan keluarga itu adalah sedekah. Walaupun namanya fakir tapi ada ketikanya ia juga mempunyai rezeki yang berlebih daripada biasa. Maka ketika itu si fakir boleh sedekahkannya untuk diri sendiri dan dapat pahala sedekah.

Namun seeloknya janganlah bersikap meminta-minta terutama kepada sesama makhluk dan berusahalah untuk mencari dan menambah rezeki. Jika ingin meminta, mintalah pada Allah, insya Allah dengan doa yang berterusan dan usaha yang tanpa kenal erti penat pasti Allah akan berikan kejayaan. Apa yang penting bersedekahlah tanpa perlu menunggu kaya. Wallahu a’lam utv

Inilah Orang Yang Selayaknya Menerima Sedekah Menurut Islam


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Guna pedang samurai serang suami isteri kerana enggan lakukan hubungan intim

Pak Imam tercabar, suara makmum lagi kuat dari Imam [VIDEO]

Zoey Rahman Kini Rapat Dengan Shakira Stephen Setelah Tiada jodoh Dengan Zarina Anjoulie

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker