Bersatu perlu ganti Muhyiddin – penganalisis

Bersatu perlu ganti Muhyiddin – penganalisis

Seorang penganalisis menyifatkan Bersatu berada dalam situasi “sangat terdesak” dan memerlukan seseorang untuk mengambil alih kepimpinan daripada Muhyiddin Yassin.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, prospek Bersatu, malah Perikatan Nasional (PN), kelihatan suram terutama selepas kegagalan percubaan untuk menjalin beberapa bentuk kerjasama dengan Pejuang dan Pakatan Harapan (PH).



Katanya, beliau bingung bahawa Bersatu bersedia mendekati semula bekas rakan kongsinya memandangkan wujud permusuhan antaranya dengan parti pembangkang susulan Langkah Sheraton pada 2020.

“Selepas ditolak oleh Pejuang dan PH, Bersatu perlu berfikir sedalam-dalamnya tentang kepemimpinan baharu,” katanya kepada FMT.

“Semasa menjadi perdana menteri, Muhyiddin merosakkan reputasinya sendiri. Masalah bermula apabila beliau mengisytiharkan darurat dengan alasan mahu mengawal wabak Covid-19.”

Azmi berkata, terdapat bekas Ahli Parlimen Umno dalam Bersatu yang boleh mengambil alih kepimpinan daripada Muhyiddin, tetapi persoalannya adakah ahli Bersatu yang berada dalam parti itu sejak awal akan menerimanya.



Minggu lalu, Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad berkata, Muhyiddin meminta bantuannya supaya beliau boleh menjadi perdana menteri semula.

Mahathir berkata, pihaknya tidak akan menyokong seseorang yang pernah gagal dalam jawatan tertinggi.

Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Ahmad Kamal kemudiannya memberitahu FMT bahawa parti pembangkang lain menghubungi Muhyiddin untuk berbincang mengenai kerjasama bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15), tetapi beliau tidak menamakan parti itu.

Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan Presiden Warisan Shafie Apdal bersuara menentang sebarang bentuk perkongsian dengan parti Muhyiddin sementara Presiden Amanah Mohamad Sabu menafikan pernah mendekati Muhyiddin.



Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, penghinaan pembangkang terhadap Bersatu melangkaui Muhyiddin, malah mereka melihatnya sebagai “satu daripada kohort” yang dianggap bersalah atas kejatuhan PH daripada kerajaan.

Beliau berkata, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin paling berkemampuan untuk mengambil alih daripada Muhyiddin, tetapi tidak jelas sama ada menteri dalam negeri itu mempunyai karisma untuk memimpin parti.

Beliau juga berkata, kedua-dua Hamzah dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali telah “tercalar” kerana menjadi antara dalang Langkah Sheraton.

Kedua-dua penganalisis, Azmi dan Oh menjangka Bersatu akan kehilangan beberapa ahli dan pemimpin kepada parti lain ketika negara menghampiri PRU15.



Oh menambah, semua parti akan mengalami pergerakan sedemikian menjelang pilihan raya. FMT

Bersatu perlu ganti Muhyiddin – penganalisis

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker