PRN Johor: 15 Punca Barisan Nasional Menang Bergaya – Zambry

PRN Johor: 15 Punca Barisan Nasional Menang Bergaya – Zambry

Keputusan yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Johor akhirnya sudah berada di hadapan khalayak.

Biarpun apa ulasan dan tafsiran, Barisan Nasional (BN) mencipta kemenangan dengan 40 kerusi berbanding Pakatan Harapan (PH) 12, Perikatan Nasional (PN) 3 dan MUDA 1.

Meskipun jumlah keluar mengundi 54.9% dianggap rendah, namun pilihan raya ini membawa pelbagai tafsiran kepada peneliti politik Malaysia masakini.

Pertama, kemenangan BN menitip sejarah kerana inilah pilihan raya yang pertama diadakan selepas Undi 18 dan undi secara automatik dilaksanakan secara rasmi berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak.

Inilah juga pertama kali pelbagai parti politik bertanding bagaikan sebuah pilihan raya peringkat nasional.

Sehinggakan parti Warisan yang berakar di Sabah mengembangkan sayapnya ke Johor.

Kedua, kempen keterlaluan pihak penentang BN, khususnya dari PN yang bertubi-tubi menggunakan isu “kluster mahkamah” telah menimbulkan pertanyaan dan keresahan pengundi dan akhirnya menimbulkan simpati kepada BN.

Ketiga, personaliti Hasni selaku Menteri Besar (MB) dan “poster boy” yang dikira tidak membawa palitan isu-isu untuk dieksploit oleh pihak penentang.

Justeru, hampir tiada langsung serangan terhadap Hasni dan isu negeri yang dimainkan oleh pihak penentang BN.

Keempat, BN membawa tema Kestabilan Masa Depan.

Manifesto yang dinamakan Ikhtiar dikemukakan kepada rakyat tertumpu kepada mengembalikan kestabilan dan pembangunan ekonomi berbanding dengan pihak penentang BN.

Kelima, kegagalan pihak penentang dari PH dan PN untuk menamakan siapakah calon MB yang benar-benar diyakini rakyat.

Ura-ura menamakan Maszlee Malik dari PH sebagai calon MB adalah tidak meyakinkan selepas janji-janji PRU14 yang dibuatnya belum dilaksanakan hingga kini.

Keenam, jentera BN yang sangat tersusun dan disiplin khususnya dari negeri-negeri yang datang membantu.

Kehadiran jentera dari setiap negeri dengan komitmen yang padu dari Pengerusi-Pengerusi Perhubungan Negeri banyak menyelesaikan masalah dalaman di bahagian-bahagian.

Malah hubungan yang turut ditunjukkan oleh pasukan kabinet dari BN yang diketuai YAB Perdana Menteri menambahkan lagi keaktifan jentera kempen.

Ketujuh, faktor Datuk Seri Najib yang menjadi suatu fenomena untuk rakyat Johor termasuk masyarakat Cina.

Ia bagaikan suatu paradoks di mana ketika beliau diserang habis-habisan semakin ramai rakyat keluar untuk bertemu dengannya.

Kelapan, jentera komponen BN yang pertama kali bergerak dengan penuh semangat mengikut pendekatan UMNO dalam mengenal pasti pengundi “putih” amat membantu.

Contohnya di Yong Peng dan tiga lagi kawasan yang memberi kemenangan manis kepada MCA.

Dan 3 kerusi kemenangan MIC daripada 4 kerusi yang diperuntukan.

Kesembilan, kesungguhan BN mengemukakan calon-calon yang dapat diterima oleh rakyat meskipun ada keputusan di peringkat parti bercanggah dengannya.

Pihak pimpinan BN tidak tunduk kepada sesetengah tindakan pemboikotan “war lord”.

Sebaliknya membuat langkah-langkah CMT (crisis management team) yang sangat efektif untuk menyelesaikan masalah.

Kesepuluh, ketiadaan persefahaman di kalangan penentang BN untuk menumbangkan BN secara kolektif.

Meskipun semua parti-parti penentang BN, iaitu PH, PN dan MUDA membelasah pemimpin tertentu BN, tetapi ketiadaan suatu formidable force di kalangan mereka menyebabkan BN mampu bertahan dari serangan mereka.

Kesebelas, faktor COVID-19 menjadi langkah berhati-hati di kalangan pengundi untuk keluar mengundi.

Kedua belas, kekecewaan masyarakat Cina dengan DAP dan pihak pembangkang telah menyebabkan sebahagian mereka tidak keluar mengundi atau mengambil sikap memberi sokongan kepada calon BN.

Calon-calon BN dari MCA kembali mempunyai kerusi dalam DUN kali ini iaitu memperolehi 4 kerusi.

Ketiga belas, sikap rakyat yang mahukan agar dikembalikan kestabilan dan dihentikan permainan politik yang tiada berkesudahan.

BN membaca mesej rakyat, justeru mengemukakan tema kestabilan.

Keempat belas, perpecahan undi Melayu yang begitu ketara dari pelbagai parti komponen dan gabungan yang dipimpin oleh pemimpin-pemimpin Melayu seperti UMNO, PKR, Amanah, Pas, Pejuang, MUDA dan Putra.

Namun, strategi BN membuat penilaian micro-targetting dan micro-managing membantu memenangkan calon-calon di kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.

Kelima belas, strategi dan langkah taktikal yang dibuat dari pasukan yang penuh dedikasi dari team BN sendiri (tanpa bantuan luar) dan tidak mengeluarkan pelbagai kenyataan yang cuba menonjolkan peribadi tertentu.

Tumpuan hanya kepada counter-narrative, alih-tumpu (diversion) dan penyampaian maklumat yang betul tentang BN.

Dari keseluruhan keputusan PRN Johor, BN akan terus bermuhasabah diri, melihat kelemahan dan mencari formula kejayaan untuk PRU15.

Adalah menjadi amalan BN, kami tidak angkuh dan lupa diri dengan kejayaan ini.

BN perlu bersungguh-sungguh untuk melakukan pembaharuan dan pembaikan ke arah meyakinkan seluruh rakyat agar kembali bersama BN untuk mengemudi negara dan seterusnya mengembalikan kecemerlangan Malaysia di persada dunia.

Dan PRN Johor adalah detik permulaan pengembaraan politik di ranah demokrasi untuk mendepani cabaran PRU 15 dan seterusnya mewujudkan kestabilan politik.

PRN Johor: 15 Punca Barisan Nasional Menang Bergaya – Zambry

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Muhyiddin lari malam tewas secara keseluruhan dalam PRN Johor

Bangsa Johor tolak Pejuang, Mahathir sudah tidak releven

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker