YB mencarut dalam Parlimen, hadap denda RM20 ribu
Pelbagai syor penambahbaikan sistem Parlimen telah diutarakan Tan Sri Dr Rais Yatim sejak menyandang jawatan Yang Dipertua Dewan Negara, antaranya mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen serta pindaan Akta Kuasa dan Keistimewaan Parlimen 1952.
Beliau berkata, akta tersebut sedang dipinda dengan mengenakan kadar bayaran denda lebih tinggi kepada ahli yang ingkar arahan Parlimen, sekurang-kurangnya RM20,000 atau penjara selama beberapa hari.
Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Harian, DIANA AZIS dan NUR IFTITAH ROZLAN serta jurukamera ASRIL ASWANDI SHUKOR bersama Rais tentang pembaharuan yang beliau lakukan sejak mengepalai Dewan Negara, selain pandangannya mengenai situasi politik negara, rasuah dan integriti ahli politik.
SINAR HARIAN: Boleh Tan Sri jelaskan apakah pembaharuan-pembaharuan yang telah dilaksanakan sejak menerajui Dewan Negara ?
RAIS: Tentunya saya ingin menyuarakan perkara-perkara penting yang sempat kami di Dewan Negara lakukan. Pertamanya, saya ingin menyatakan Dewan Negara adalah dewan tertinggi dalam sistem legislatif tanah air, manakala, Dewan Rakyat menjadi dewan himpunan rakyat. Dewan Negara adalah dewan kedua di atas Dewan Rakyat. Ini bermakna, tanpa Dewan Negara, sesuatu Rang Undang-undang (RUU) tidak boleh diluluskan. Dengan lain pengertian, Dewan Negara mempunyai kuasa-kuasa hak periksa dan imbang. Dengan itu,seharusnya setiap ahli Dewan Negara yang dilantik di bawah Perkara 45 Perlembagaan Malaysia, seramai 70 orang harus memainkan peranan periksa dan imbang, bermakna apa yang datang dari Dewan Rakyat seharusnya hendaklah dilihat dalam suasana kritikal.
Pertama, kami telah mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat, Jawatankuasa Pilihan Khas Sosiobudaya, Komunikasi dan Pendidikan serta Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti-Rasuah. Dalam setahun setengah, itulah kerja kami, tetapi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat dan Jawatankuasa Pilihan Khas Sosiobudaya, Komunikasi dan Pendidikan belum beroperasi penuh lagi. Tetapi Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti-Rasuah sudah berfungsi.
Alhamdulillah saya dipilih sebagai pengerusi anti rasuah dan kerja yang tersenarai di bawahnya. Sebelum ini, kita ada jawatankuasa lain tetapi itu hanyalah dari segi pentadbiran, dewan, peraturan mesyuarat, hak-hak asasi kepada ahli-ahli yang berhormat, tetapi tiga jawatankuasa ini pendeknya, markah baharu bagi kami. Di bawah Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat, rakyat boleh terus menulis atau menghubungi jawatankuasa ini dan mengemukakan apa-apa perkara penting untuk kehidupan di kampung, bandar, Felda, Felcra atau di mana-mana sahaja di tanah air, atau mengemukakan pandangan baik untuk kesejahteraan.
Jawatankuasa-Jawatankuasa ini berkuasa di bawang undang-undang Parlimen menghantar arahan sapina atau hadir untuk berdialog, memberi keterangan, menghurai dan menjawab soalan-soalan yang timbul daripada ahli jawatankuasa atau pengerusi ketiga-tiga jawatankuasa tersebut. Harus saya tekankan, sekiranya seseorang pegawai penting (diarahkan hadir), mereka hendaklah hadir, mungkin ada juga yang tidak hadir kerana menganggap ia tidak penting. Di bawah kuatkuasa undang-undang Akta Kuasa dan Keistimewaan Parlimen 1952, seseorang yang gagal mematuhi arahan bersurat daripada jawatankuasa itu, boleh dikenakan denda dan langkah lain yang boleh diambil oleh undang-undang. Berkenaan Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti-Rasuah, ini baru lagi diwujudkan dan kami telah bermesyuarat menentukan supaya akhirnya Malaysia ini perlu bebas rasuah.
Selain itu, kami sudah pun mengadakan peruntukan baharu di bawah peraturan mesyuarat. Ertinya, peraturan mesyuarat Dewan Negara atau Dewan Rakyat adalah perlembagaan mesyuarat. Kami telah masukkannya di bawah peraturan mesyuarat Dewan Negara dengan beberapa langkah wajib, misalnya tidak boleh mencarut, membuat lenggok badan yang mengandungi simbiotik tentang seksual supaya tidak berlaku lagi hal-hal seperti ini. Kita juga menyuarakan supaya senator ini tidak dilantik sewenang-wenangnya, sebaliknya perlu mengikut peraturan Perlembagaan Persekutuan Perkara 45, mesti ada keistimewaan, kebolehan, perwakilan daripada kumpulan minoriti, perkhidmatan awam, tentera, sektor pertanian, perniagaan dan pendidikan.
– Bila Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat, Jawatankuasa Pilihan Khas Sosiobudaya, Komunikasi dan Pendidikan akan beroperasi secara penuh?
Dua jawatankuasa ini belum lagi bermesyuarat kerana usul itu baru diluluskan, jadi jawatankuasa tersebut sedang bergerak untuk mempunyai sistem dan peraturan sendiri dahulu. Peraturan untuk Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti-Rasuah sudah ada. Saya dan rakan-rakan akan membina satu sistem khasnya dengan Setiausaha Dewan Negara, Muhd Sujairi Abdullah yang akan memberikan panduan bagi maklumat serta implementasi dalam program tersebut. Insya-ALLAH kedua-dua jawatankuasa ini akan bersidang pada Mac ini dan saya serahkan kepada kedua-dua pengerusi untuk menentukan isu yang harus dikemukakan. Apa-apa yang diputuskan akan disampaikan kepada Kabinet, Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Negara dan kami akan beri tempoh bagaimana penyelesaian dapat disegerakan dan bagaimana sesuatu masalah dapat diatasi secara jelas.
– Apakah transformasi baharu yang akan dilaksanakan pada masa depan?
Ada sedikit tambahan yang perlu dibuat berhubung dengan kedudukan Parlimen. Parlimen ialah entiti yang berasingan daripada eksekutif dan perundangan kehakiman. Konsep ini yang tidak dapat dilaksanakan. Sebenarnya, dalam perlembagaan sudah ada, misalnya Perkara 66 dan Perkara 65 Perlembagaan Persekutuan. Di atas Yang di-Pertuan Agong, manakala di bawahnya Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Orang lain tidak boleh masuk, yang boleh hanya ahli-ahli Parlimen iaitu ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang bebas dari segi kewangan dan khidmat serta kakitangannya mesti diambil sendiri oleh Parlimen, tidak orang lain. Bagi mengatasi masalah ini, kita perlukan transformasi yang disebut akhir- akhir ini. Kita sudah lebih 60 tahun merdeka, tetapi Parlimen tidak bebas dari segi perundangan.
Alhamdulillah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah bersetuju mengadakan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama kumpulan pembangkang dengan restu ahli Parlimen. Ini satu tugasan yang sangat mulia. Cuma, berani atau tidak kita implementasi apabila transformasi telah dibuat iaitu menghidupkan kembali akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang telah telah dimatikan pada tahun 1992. Tidak diberi huraian kenapa ia dimatikan, namun apabila akta itu mati, semua pelantikan hal ehwal perkhidmatan dipegang oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Ini seharusnya tidak berlaku kerana pengkhidmat atau pemegang jawatan dalam Parlimen mesti dilantik oleh pihak berkuasa Parlimen sendiri.
Kami juga mengesyorkan agar diwujudkan suruhanjaya perkhidmatan Parlimen. Dengan kebebasan menentukan kewangannya dan jawatan perkhidmatannya sendiri. Juga harus dipinda Akta Kuasa dan Keistimewaan Parlimen 1952 kerana ia sudah lama, jadi banyak perkara yang agak lapuk dan tidak perlu ada lagi. Kuasa Parlimen untuk mengsapina atau mengarahkan orang dalam sesuatu situasi berdasarkan jawatankuasa tadi ada, tetapi misalnya mencarut dalam Parlimen, hanya didenda RM1,000, ini sedikit sahaja.
Kita telah mengesyorkan supaya pindaan yang lebih besar dendanya diwujudkan. Kita telah mengemukakan supaya sekurang-kurangnya RM20,000 denda atau penjara beberapa hari dikenakan. Kedua, akta itu harus mengandungi kanun etika terhadap ahli Parlimen. Mereka tidak pernah dilatih seperti latihan di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) iaitu latihan untuk penjawat awam. Ahli Parlimen tidak ada (latihan), menang sahaja pilihan raya, masuk dewan, bergegar berucap tanpa mengetahui apa yang boleh dan bagaimana hendak bercakap, menghormati Speaker, mesti ada budi bahasa Parlimen. Jadi, kanun etika untuk ahli Parlimen harus diwujudkan kembali di mana mereka dilatih terlebih dahulu bagaimana berkhidmat untuk rakyat. Selain itu, Parlimen juga perlu mengadakan sukatan pelajaran untuk ahlinya supaya berkelakuan baik, jujur, patuh kepada anti rasuah dan menjadi contoh kepada masyarakat sebagai pemimpin.
Tidak boleh ambil hak orang atau terlibat dengan rasuah. Akhir sekali, kami mengesyorkan Yang di-Pertuan Agong menjadi ketua dan tempat bernaung Parlimen dalam erti lain, apa-apa pindaan berhubung akta berkenaan, kuasanya terus kepada Tuanku dan tidak lagi kepada Eksekutif. Jika ini berlaku, Malaysia akan muncul sebagai negara membangun dan memberi satu visi baharu kepada perjuangan sosio politik, undang-undang dan sebagainya.
– Bagaimana Tan Sri melihat mutu dan kualiti ahli Dewan Negara pada masa ini?
Jika saya nak buat cerakinan yang persis atau satu persatu, tidak adil kerana sebahagian daripada perbuatan negatif ini berlaku setahun setengah yang lalu. Contohnya, bab mencarut, ketika itu, perbuatan misalnya memperkecilkan Speaker juga berlaku tetapi tidak ada tindakan diambil. Mendiang Karpal Singh pernah melanggar peraturan dan diambil tindakan. Tetapi orang mencarut atau kurang ajar di Parlimen tidak diambil apa-apa tindakan. Dalam satu aspek, ini mencerminkan kelemahan Speaker kerana mereka yang harus mengawal mesyuarat, tetapi setelah melihat peraturan tersebut, bukan salah Speaker sahaja. Peraturan itu tidak persis tentang hal-hal yang berhubung dengan kehendak mesyuarat. Berdasarkan huraian berkaitan peraturan mesyuarat dan jawatankuasa pilihan khas, saya yakin selepas ini setiap ahli Parlimen akan berhati-hati.
Sebenarnya, selepas ini kuasa untuk mengeluarkan pihak yang berkenaan boleh, tetapi lebih baik diletakkan tanggungjawab itu kepada ahli Parlimen itu sendiri. Misalnya, kira-kira tiga bulan lalu, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson sendiri ditegur oleh Speaker ‘House of Commons’, kita tidak pernah buat itu di sini sebab Perdana Menteri kita tidak ada buat salah apa-apa, tetapi ahli Parlimen yang lain harus sama-sama bertafakur dan mencari jalan supaya Parlimen kembali dihormati. Sekarang sidang boleh ditonton di televisyen, anak-anak, murid-murid melihat, mereka akan berkata, kalau inilah (kelakuan) ahli yang berhormat, mereka tidak akan hormat. Kita akan dapat satu lumpur di kulit, tidak harus kita terima suasana sedemikian.
– Bagaimana Tan Sri melihat masalah rasuah dan integriti pada masa ini?
Saya rasa soal rasuah dan salah guna kuasa tidak boleh habis kerana manusia sentiasa mencari jalan bagaimana hendak keluar daripada permasalahan atau serkap yang kena pada mereka. Namun, sedikit sebanyak sistem keadilan negara sudah berkesan, misalnya sudah ada berapa ketua menteri atau menteri besar yang masuk penjara? Banyak kes sudah berjaya (diselesaikan), namun rasuah belum habis, dan rasuah tidak boleh hanya dituju kepada ahli politik, harus juga tuju kepada pentadbir sebab mereka yang buat kerja.
Satu lagi, rasuah seolah-olah banyak orang yang ambil duit sahaja, yang memberi macam mana pula? Kita tidak nampak orang yang memberi dibawa ke muka pengadilan, yang kena semua yang menerima. Dalam pada itu, realitinya juga majoriti (pelaku rasuah) orang Melayu, tetapi bab ini kita tidak mahu cerita pula. Ia harus diceritakan sebabnya Melayu berkuasa. Kalau orang Tionghua berkuasa, mungkin mereka pula dapat. Sebelum ini, pemimpin DAP pun kena kerana Pakatan Harapan (PH) berkuasa sekejap.
Saya tidak nampak rasuah berkurangan secara grafik. Malah, kita harus tingkatkan lagi antirasuah dalam pelbagai jurusan. Pertama, dalam pendidikan, kita tidak mengajar anak-anak supaya jauhi rasuah, jangan ambil hak orang, ambil dan kira hak sendiri sahaja. Undang-undang yang ada sekarang saya kira cukup, namun rakyat bertanya-tanya, apabila ada satu kes besar, misalnya, seorang pemimpin besar yang didapati bersalah atau belum bersalah, proses itu lama sangat. Jadi, keadilan yang dilewatkan adalah keadilan yang tidak setimpal. Bermakna, kes yang terlampau lama nak sampai kepada penghujungnya harus ditimbangkan dalam keadaan perlunya sistem itu diperbaiki. Jadi kalau seseorang pemimpin, dahulunya mengepalai Kabinet sudah didapati bersalah oleh mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan, nak pergi ke mahkamah persekutuan nanti, rakyat tengok macam dah kabur sebab lama sangat (proses). Kedua, terlalu banyak celahan dalam sistem atau dalam bahasa undang-undangnya, proses interlokutari.
Golongan cerdik pandai perundangan harus melihat bagaimana kita nak bantu mahkamah hari ini. Dalam pada itu, tidak salah jika saya kata, daripada ketua hakim sendiri sampai ke bawah harus membuat sidang penentuan untuk mempercepat proses supaya keadilan tidak terjejas agar kepercayaan kepada kehakiman itu tetap unggul.
Hal ini semua telah pun kami suarakan dan di bawah Seksyen 15 dan 18, Akta Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah, kita kena nasihatkan Perdana Menteri dan saya telah pun memberi pandangan kepada Perdana Menteri beberapa perkara berhubung dengan anti rasuah, SPRM ataupun di luar, dan oleh kerana topik ini sangat besar, saya yakin bahawa badan-badan bukan kerajaan yang berkepentingan dengan kebebasan awam perlu cantum tenaga menyuarakan terus-menerus di mana silapnya.
Dalam soal ini ada kata-kata hikmatnya, di mana ada kuasa penuh, rasuahnya penuh. Dalam soal itu kita kena tendangkan kata-kata ini. Di bawah SPRM kuasa penuh banyak, akta polis, imigresen, kastam ini harus kita lihat dalam satu kelompok supaya negara kita bebas dar rasuah.
Kuasa Parlimen untuk mengawas mesti ada. Tak harus antirasuah berada di bawah mana-mana jabatan, mesti diletakkan di bawah Parlimen. Bukan dari segi pangkat, jawatan yang nak diisi, tetapi dari segi semak dan imbang mesti oleh Parlimen. Ini masa depan Malaysia dan harus diterima semoga dalam transformasi tadi dapat dibuat pada masa yang tertentu dan sebab itu kita berharap kerajaan buat.
– Bagaimana Dewan Negara membantu untuk membanteras masalah rasuah, salah guna kuasa dan integriti?
Parlimen harus membuat pengawasan. Jadi jawatankuasa urusan dan anti rasuah hanya ada di Dewan Negara, di Dewan Rakyat belum ada. Oleh itu jawatankuasa kami telah syorkan kepada Tan Sri Speaker Dewan Rakyat supaya ada jawatankuasa urus tadbir dan anti rasuah. Jadi kedua-dua dewan mempunyai satu premis bersama. Itu terbaik.
Dengan lain perkataan, SPRM atau pihak yang mempunyai kuasa berkaitan dengan rasuah boleh diawasi bersama. Jika hanya Dewan Negara pada masa ini, itu hanya separuh.. tak cukup lagi. Jadi kalau diibaratkan enjin, ini baru silinder tiga, sepatutnya silinder enam, jalan.
Kami akan cuba sedaya upaya dan harapan kerajaan eksekutif bersama-sama bersetuju. Setakat ini saya cukup berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana beliau mempunyai minat untuk bersama-sama menjayakan. Haraplah sebelum Pilihan Raya Umum ke-15, hasil kita nak mewujudkan jawatankuasa anti rasuah ini berhasil bagi kedua-dua dewan dan dengan itu Akta Perkhidmatan Parlimen wujud selain Akta 1952 terus diapungkan sebagai akta yang lebih berkuasa.
Namun hal yang sabit dengan perkara ini akan timbul, apa nak dibuat terhadap perasuah, ini soalannya. Yang kita nak persoalkan sekarang, kuasa Parlimen tadi mesti diterjemahkan sebagai pengawas yang berimbang terhadap rasuah di tanah air kita.
– Ada pihak yang mengatakan masalah rasuah dalam kalangan orang Melayu amat membimbangkan. Tan Sri Sebagai Pengasas Yayasan Budi banyak menyentuh tentang nilai-nilai moral orang Melayu. Adakah sikap orang Melayu terhadap rasuah dapat dihapuskan?
Ramai orang Melayu yang terjebak rasuah lantaran kerajaan ini dikuasai orang Melayu, lebih dari 80 peratus. Dari 1.4 juta perkhidmat awam, lebih kurang 96 peratus terdiri dari orang Melayu. Jadi tidak hairan yang terlibat (rasuah) terdiri daripada Melayu. Jadi untuk menentukan sesuatu yang lebih afdal, badan seperti Yayasan Budi sekelumit kecil tapi tujuannya sangat murni. Mesti disematkan sekarang nilai-nilai asas kemanusiaan, yang tradisional dalam menentukan budi dan kehidupan yang baik dan murni, tidak bertentangan dengan ajaran agama, sosial dan kita boleh kembali kepada kata-kata lama yang menyatakan sifat yang jujur beroleh hasil yang jujur juga.
Setakat mana pelajaran di sekolah yang mengajar anti rasuah? Bagi saya tak nampak. Jadi kalau begitu tugasnya kepada Kementerian Pendidikan (untuk) mendidik orang supaya anti rasuah. Dalam kementerian itu bukan hanya nak lulus periksa. Tetapi nak mewujudkan individu yang kemanusiaannya elok. Dalam soal sedemikian kita kena cari punca, sebabnya ialah kita terbawa-bawa kehidupan materialistik yang terlampau tinggi , jadi pendidikan kita tidak setimpal. Nilai positif kehidupan harus kita wujudkan kembali.
HARGA TINGGI PERPADUAN MELAYU
– Bagaimana Tan Sri lihat situasi politik di Malaysia sekarang?
Silapnya saya fikir orang Melayu tidak menilai harga tinggi kepada perpaduan, sebab itu berlaku pecah belah sekarang. Sebab itu juga sudah timbul ego dalam politik orang Melayu, semua nak jadi Perdana Menteri, menteri. Kalau begitu apa tujuan berjuang? Saya tergolong daripada anak buah Tuanku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein, Tun Mahathir. Saya berkhidmat di bawah semua Perdana Menteri sampai hari ini, Datuk Seri Ismail Sabri. Jadi saya agaknya ada sedikit lesen untuk menyatakan kalau orang Melayu tidak sedar atas pentingnya menyatukan politik di bawah kemelayuan dan keislaman nya, orang lain akan ambil kuasa ini. Tak semestinya orang itu mempunyai tujuan sama. Kalau itu berlaku jangan salahkan sesiapa.
Jadi dalam hal sedemikian, kita sudah merdeka, jadi Malaysia yang canggih kita lupa nilai kehidupan bergantung kepada telefon poket. Hari-hari kita tengok, tak tahu siapa yang mencipta WhatsApp, SMS, Samsung dan lain-lain.
Jadi kita mesti pakai politik, kuasa kita. Justeru ada 13 parti politik, tolak lima,tinggal lapan. Lapan parti politik bercelaru, UMNO sudah tidak macam UMNO dulu lagi. Pemimpin dah dihadapkan ke mahkamah, orang nombor satu, orang nombor dua. Sebaliknya kalaulah UMNO yang akan menjadi pemimpin besar, tak mengapa. Bereskan diri dari cengkerama jenayah rasuah, baru kita dihormati orang dan Pas atau Bersatu, Muda, Pejuang dan lain-lain mesti pegang itu balik, bermakna perpaduan.
Sekarang mencela orang, fitnah orang, menelanjangkan orang dalam suasana yang am ini bukan cari perpaduan, bukan membetulkan politik perjuangan sama. Orang Tionghua walau apa pun kita lihat DAP, MCA, Gerakan mereka tidak mencaci individu lain ,mereka hanya mengkritik dasar. Perangai ini tak dapat pada kita. Pada saya hal seperti itu mesti di basmi. Yang nak diketuk ialah, semasa jadi Perdana Menteri anda buat apa, itu boleh kita persoalkan.
– Adakah Tan Sri melihat Barisan Nasional dan UMNO akan mendapat mandat rakyat pada PRU15?
Saya fikir sebahagian besar rakyat masih nostalgia kepada UMNO dan BN sebab jasanya. Mereka cuma sangsi adakah nak berkepala dengan perasuah. Hendak ke kita mengambil seseorang yang telah ditetapkan oleh mahkamah sebagai perasuah nak dijadikan sebagai Perdana Menteri semula. Adakah kita sudah tidak ada orang yang baharu atau ilham baharu untuk duduk di Putrajaya.
Bagi saya kalau UMNO dan BN menang, itu tentu adalah berhasil daripada jasa. Pemimpin yang membuat parti baharu adalah daripada UMNO. Kalau menang, saya mohon satu sahaja, kepala atap dia carilah orang yang baharu. Kalau Bersatu yang menang, pemimpin pun pemimpin UMNO.
– Bagaimana dengan Perikatan Nasional yang disertai Bersatu dan Pas?
Sentimen politik tidak kekal, bererti dulu Pas musuh ketat UMNO. Tetapi pada masa ini sudah dijadikan sebagai amalan Pas bersahabat dengan Bersatu. Selain daripada itu Gerakan sertai PN dan MCA, MIC sertai BN. Pandangan rakyat praktikal mereka kalau boleh melihat pihak yang berkuasa itu mempunyai pemimpin baharu.
Saya yakin bahawa penentu ialah apa yang telah dilaksanakan atau apa yang mungkin boleh berlaku. Jadi pihak PN jasa mereka belum nampak, namun nampak ‘kebersihannya’. Kemungkinan potensi mereka ada.
– Bagaimana Tan Sri melihat masa depan Malaysia?
Negara yang maju, tiada rasuah, diskriminasi, sistem pendidikan kelas dunia. Jika tiga ini ada pada kita, Insya-ALLAH berjaya. Contoh di Singapura, hanya satu kes rasuah menteri, bunuh diri. Selepas itu Lee Kwan Yu bersihkan sistemnya. Sekarang negara itu di tangga ketiga selepas Finland dan New Zealand.
Mesti perbaharui sistem pendidikan semula, orang yang jadi Menteri Pelajaran mesti tahu soal pendidikan dan mesti buat program mengasuh, wujudkan sahsiah yang baik dalam pendidikan, bukan lulus periksa sahaja. Rukun negara mest dijadikan panca sila seperti di Indonesia.
Sinar Harian
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929
CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]
Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda
Baca Artikel Menarik:
- Muhyiddin kata pengundi Cina jangan takut, PAS sudah tinggalkan Hudud
- Tok Mat lipat Tajuddin
- Krisis Rusia-Ukraine: Jeneral Perang Rusia Dibunuh Penembak Tepat Di Ukraine
- PRN Johor: Cukup-cukuplah dikencing ‘Atuk’ selama 22 bulan
- Netizen Marahkan Tindakan Ibu Tangmo Nida Sanggup Maafkan Suspek Selepas Terima Pampasan
- Pesawat terbesar dunia Antonov musnah di bom Rusia [VIDEO]
- Zeti dan keluarga terima dana 1MDB, Mahathir kata tidak tahu
- PRN Johor: Calon MUDA Menipu Ibu Sendiri, Apa Jaminan Tidak Menipu Pengundi?
- ‘Seriau Tengok’ Heboh Foto Mayat Tangmo Nida Tular Di Media Sosial, Netizen Malaysia Tolong Siasat.
- PPV Mega ditutup bermula 16 Mac – KP Kesihatan
- PM sahkan sempadan negara dibuka menjelang Hari Raya
- Isteri tikam zakar suami guna lembing, mangsa lari ke rumah ibu
- Muhyiddin Dan Mahathir Punca Kewangan Negara Tenat – Isham Jalil
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Anggap Menteri Tak ‘Gentleman’ Tamatkan Kontrak Tanpa Sebab – Idham, Eizlan [VIDEO]
Video Wanita Dakwa Dirasuk Roh Tangmo Nida Tular Sehari Sebelum Mayat Pelakon Ditemui [VIDEO]
Pelakon Bollywood Shah Rukh Khan Ditampar Guru Tari Padah Mengeluh Terlalu Penat