Calon MB Johor PH di Layang-Layang?

SHAH ALAM – Tindakan PKR menamakan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik sebagai calonnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, menguatkan spekulasi bahawa beliau adalah calon ‘favourite’ untuk diangkat menjadi Menteri Besar jika Pakatan Harapan (PH) menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Pemilihan Maszlee juga dilihat bakal menghangatkan lagi saingan merebut kerusi yang dimenangi oleh calon Barisan Nasional (BN) Datuk Onn Hafiz Ghazi. Onn Hafiz menang kerusi itu dengan majoriti hanya 364 undi berbanding wakil PKR dan Pas pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

Tambahan pula, difahamkan Onn Hafiz dikatakan tidak akan mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN Johor kali ini kerana dikatakan mahu bertanding di kerusi Parlimen dalam PRU15 nanti.



Penganalisis politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian berpandangan, PKR meletakkan Maszlee sebagai calon di DUN Layang-Layang kerana bekas Menteri Pendidikan berkenaan berpotensi untuk dicalonkan menjadi Menteri Besar Johor andainya PH menang PRN Johor, pada 12 Mac nanti.

Bagaimanapun, Sivamurugan enggan membuat spekulasi sama ada pencalonan Maszlee berkenaan akan diterima sepenuhnya oleh pengundi dan penyokong tegar PKR Johor kerana beliau baharu sahaja menyertai parti terbabit dan pada masa sama memegang jawatan Ahli Parlimen Simpang Renggam.

“Saya juga ingin mengemukakan persoalan adakah PKR kini ketandusan pemimpin sehingga terpaksa menamakan Ahli Parlimen Simpang Renggam sebagai calonnya di DUN Layang-Layang.

“Persoalan ini mungkin akan timbul dan bermain dalam fikiran pemimpin dan penyokong PKR Johor seperti mana Ahli Parlimen Han Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dikerah menjadi calon dalam PRN Melaka, sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Premium.



Mengulas lanjut, Sivamurugan berkata, beliau tidak berani membuat spekulasi mengenai peluang Maszlee untuk menang di kawasan terbabit biarpun difahamkan penyandang kerusi berkenaan tidak bercadang mempertahankan DUN Layang-Layang pada PRN kali ini.

Bagaimanapun, Sivamurugan berkata, beliau yakin PKR meletakkan Maszlee bertanding di situ kerana mereka melihat beliau berpeluang untuk menang, biarpun BN sudah tentu akan buat sehabis baik untuk mempertahankan kerusi dimenangi pada PRU14 lalu itu.

“Keadaan itu akan menjadi DUN Layang-Layang sebagai salah satu kerusi panas dan bakal mempamerkan persaingan sengit dalam PRN Johor nanti,” katanya.

PERCATURAN TERBAIK PKR



Seorang lagi penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, beliau tidak terperanjat dengan tindakan PKR berkenaan kerana khabar angin mengenai Maszlee akan bertanding di DUN Layang-Layang sudah lama bertiup kencang.

Tambahan pula, Mohd Izani yang juga Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, Maszlee dikatakan antara calon ‘favourite’ untuk diangkat sebagai Menteri Besar andai kata PH kembali memerintah Johor sekali selepas PRN nanti.

“Oleh itu saya berpandangan tindakan mencalonkan Maszlee di DUN Layang-Layang adalah percaturan terbaik PKR. DUN Layang-Layang adalah kawasan baharu bagi Maszlee kerana sebelum ini beliau berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Simpang Renggam jadi kita sukar nak buat ramalan.

“Namun, PKR meletakkan Maszlee bertanding di situ kerana penyandangnya tidak bercadang mempertahankan kerusi DUN Layang-Layang sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk menang. Tambahan pula, Maszlee dikenali ramai kerana pernah berpengalaman menjadi menteri di peringkat Persekutuan semasa kerajaan PH memerintah negara selama 22 bulan,” katanya.



Bagaimanapun, Mohd Izani berkata, tindakan PKR meletakkan Maszlee di DUN Layang-Layang mungkin menjadi satu ‘bencana’ kerana masyarakat di Johor termasuk di DUN Layang-Layang masih teringat pengalaman berada di bawah pemerintahan PH selama 22 bulan selepas PRU14 lalu.

“BN pula tidak boleh memandang ringan pencalonan Maszlee dan perlu meletakkan calon berwibawa bagi menyaingi ‘resume’ Ahli Parlimen Simpang Renggam berkenaan yang pernah menjadi Menteri Pendidikan selama 22 bulan jika mahu mempertahankan kerusi DUN Layang Layang pada PRN Johor nanti,” katanya.

Terdahulu, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan Maszlee dinamakan sebagai calon PKR di kerusi DUN Layang-layang pada PRN Johor nanti.

Berikutan itu, Maszlee berkata, dia terharu dengan kepercayaan yang diberikan oleh parti kerana mengikut peraturan tidak bertulis parti ialah Ahli Parlimen tidak akan bertanding di peringkat DUN.



“Apa sahaja tanggungjawab atau kepercayaan diberikan itu, saya akan cuba laksanakan sebaik mungkin dengan jentera dan penyokong yang kita ada di Parlimen Simpang Renggam.

“Lagi pula, DUN Layang-Layang di dalam parlimen Simpang Renggam,” katanya ketika sidang media selepas majlis pengumuman Calon PKR PRN Johor Zon Tengah di Rengit dekat sini, pada Isnin.

Terdahulu, Maszlee yang baharu menyertai parti itu pada 27 November tahun lalu menjadi calon keenam diumumkan Anwar bakal bertanding mewakili PKR pada PRN Johor bulan depan.

Ketua Wanita PKR Johor Napsiah Khamis Maharan adalah antara lima calon Pakatan Harapan (PH) yang diumumkan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi kawasan Johor Selatan.



Napsiah akan bertanding di DUN Kempas, manakala Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor Fakhruddin Moslim selaku muka baharu diletakkan sebagai calon DUN Pasir Raja.

Arthur Chiong Sen Sern pula dinamakan sebagai calon di DUN Bukit Batu dan Dr Zamil Najwah Arbain yang pernah bertanding di DUN Tanjung Surat pada Pilihan Raya Umum-14 (PRU-14) tampil semula sebagai calon DUN Larkin. Penyandang kerusi DUN Tiram, S Gopalakrishnan juga akan akan mempertahankan semula kerusinya itu.

Calon MB Johor PH di Layang-Layang?


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Penyanyi Tersohor Negara Datuk Sheila Majid Sambut Menantu Sulung [VIDEO]

Doktor ‘cabut lari’ selepas pelanggan sukar buka rahang

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker