Kalau saya perasuah, pasti sumbangan wang dibuat atas nama saya – Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan di Mahkamah Tinggi hari ini sekiranya beliau seorang perasuah, pastinya wang RM2 juta yang diterima daripada seorang pengarah syarikat akan dibuat atas nama beliau sendiri dan bukan ditandakan sebagai ‘sumbangan politik’.

Katanya beliau menerima wang RM2 juta dalam tiga cek daripada pengarah syarikat Profound Radiance Sdn Bhd (PRSB), Azlan Shah Jaffril yang ditandakan oleh Azlan Shah sebagai ‘amal jariah’ dan ‘sumbangan politik untuk Timbalan Perdana Menteri’.

“Wang RM2 juta ini tidak dimasukkan ke dalam akaun peribadi saya, tetapi untuk Yayasan Akalbudi (YAB) yang akaunnya dipegang oleh firma guaman Tetuan Lewis & Co.

“Orang yang ikhlas seperti saya ini dituduh, manakala orang yang ‘songlap’ duit tidak dituduh. Saya rasa ini sesuatu yang tidak patut berlaku kepada saya,” kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Beliau berkata keterangan Azlan Shah selaku saksi pendakwaan ke-18 juga menyatakan bahawa wang RM2 juta itu adalah sumbangan politik dan kebajikan, dan ia harus diterima mahkamah kerana ia adalah keterangan bersumpah oleh saksi.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob semasa membela diri atas 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit milik dana YAB.

Abdul Malik kemudian beberapa kali bertanyakan soalan kepada Ahmad Zahid mengenai tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam membuat keputusan bagi memberi kelulusan kepada PRSB untuk mengendalikan perkhidmatan One Stop Centre (OSC) visa di Nepal dan Pakistan.

Bagaimanapun Ahmad Zahid dilihat seperti ingin mengelak daripada menjawab soalan itu dan merujuk kepada satu minit mesyuarat yang menyatakan kelulusan kepada PRSB hanya dibuat setelah mengambil kira syor-syor yang dibuat ketika mesyuarat KDN sebelum ini.

Abdul Malik: Sekarang ini saya masih tidak dapat kenal pasti siapa sebenarnya yang membuat keputusan untuk luluskan PRSB. Bila saya teliti keterangan, Datuk Seri katakan arahan diberikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak) tetapi Datuk Seri kata keputusan itu dibuat oleh orang-orang lain iaitu Ketua Setiausaha dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri.

Ahmad Zahid: Yang Arif, saya berharap Tuan Timbalan Pendakwa Raya ini tidak akan jadi menteri pada satu hari dan saya doakan beliau tahu peraturan, iaitu di mana-mana kementerian sekali pun mesti ikut prosedur sama (prosedur untuk meluluskan sesebuah syarikat).

Abdul Malik: Datuk Seri, saya tidak teringin hendak jadi ahli politik.

Ahmad Zahid: Bagus, memang tidak layak.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian mengarahkan Ahmad Zahid untuk menjawab soalan yang dikemukakan Abdul Malik, sebelum mahkamah berhenti rehat.
Ahmad Zahid turut diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Bagi pertuduhan ke-16, 17 dan 18 yang dihadapinya, Ahmad Zahid, 69, didakwa secara rasuah menerima tiga suapan berjumlah RM2 juta dalam bentuk tiga cek bernilai RM300,000, RM1 juta dan RM700,000 milik PRSB melalui akaun Tetian Lewis & Co, sebagai upah kepadanya selaku Menteri Dalam Negeri dalam melantik PRSB sebagai Pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di Negara Pakistan dan Nepal di Kementerian Dalam Negeri Malaysia.

Perbicaraan di hadapan Hakim Sequerah bersambung esok.

BERNAMA

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Apa jadi dengan kertas siasatan Hakim Nazlan?

Najib lafaz sumpah laknat

Keikhlasan dibayar pengkhianatan – Najib Razak

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker