Pendakwah Neraka Jahanam Yang Menyesatkan Manusia

Pendakwah Neraka Jahanam Yang Menyesatkan Manusia

“Dahulu, orang ramai sering bertanya kepada Rasulullah tentang perkara-perkara kebaikan sedangkan aku bertanya kepada beliau tentang keburukan kerana takut ianya akan menimpaku.

Aku bertanya; “Wahai Rasulullah, dahulu kami berada dalam zaman jahiliah dan keburukan lalu Allah mendatangkan kebaikan ini kepada kami, apakah setelah kebaikan ini akan datang keburukan?” Beliau menjawab, “Ya!”

Aku bertanya lagi; “Apakah setelah keburukan itu akan datang lagi kebaikan?” Beliau menjawab, “Ya, akan tetapi di dalamnya ada dakhan (kekeruhan)”.

Aku bertanya lagi; “Apa kekeruhan itu?” Beliau menjawab: “Suatu kaum yang memimpin tanpa mengikuti petunjukku. Kamu dapat mengenal pasti perkara makruf dan juga perkara mungkar yang mereka lakukan.”

Aku kembali bertanya, “Apakah setelah kebaikan (yang ada kekeruhan itu) akan timbul lagi keburukan?” Beliau menjawab, “Ya! Iaitu para pendakwah yang mengajak ke pintu neraka jahanam. Siapa yang menerima seruan mereka, akan dilemparkan ke dalamnya.”

Aku kembali bertanya, “Wahai Rasulullah, berikan sifat-sifat (ciri-ciri) mereka kepada kami?”

Beliau menjelaskan, “Mereka itu sama warna kulit dengan kalian dan berbicara dengan bahasa kalian.” Aku katakan, “Apa yang tuan perintahkan kepadaku bila aku menemui (zaman) keburukan itu?” Beliau menjawab, “Kamu tetap berpegang kepada jama’atul Muslimin dan pemerintah mereka.”

Aku bertanya kembali, “Jika saat itu tidak ada jama’atul Muslimin dan juga tidak ada pemerintah (Islam)?” Beliau menjawab,“Kamu tinggalkan seluruh firqah itu sekalipun kamu harus menggigit akar pohon hingga maut menjemputmu dan kamu tetap berada di dalam keadaan itu (berpegang kepada kebenaran).” HR al-Imam al-Bukhari

Hadis ini boleh dibicarakan dari beberapa sudut:

Pertama: Kenali keburukan.

Perhatikanlah bagaimana Huzaifah bin al-Yaman r.a. cenderung kepada mencari ilmu tentang perkara-perkara yang membahayakan. Tujuan beliau untuk menolak perkara-perkara buruk itu jika berlaku di hadapannya satu masa nanti.

Beliau komited untuk mengetahui keburukan agar dapat mencegahnya dan membanterasnya. Disebabkan itulah beliau dilantik sebagai “Sahibu sirri Rasulillah” iaitu pemegang rahsia Rasulullah s.a.w. atau setiausaha sulit Rasulullah s.a.w.

Dewasa ini terdapat pelbagai ideologi menyeleweng yang menyelinap masuk ke dalam umat Islam. Punca utama berlakunya perkara ini adalah kejahilan sebahagian besar umat Islam terhadap agama Islam itu sendiri.

Sebagai contoh, ada sahaja di kalangan para ustaz yang tidak peka dengan bahaya ajaran Syiah. Mereka menyangka Syiah ini hanyalah perbezaan fiqh. Mereka juga amat naif sehingga boleh menerima Syiah Ja’fariyyah atas alasan ia tidak sesat seperti Syiah Imamiyyah. Walhal, pada hakikatnya Ja’fariyyah itu hanyalah ‘alias’ atau nama lain untuk Imamiyyah.

Kedua: Apakah dakhan atau kekeruhan itu?

Ibnu Hajar menghuraikan pengertian dakhan dari sudut bahasa Arab merangkumi maksud-maksud berikut: dengki, kelemahan yang merosakkan, kefasadan hati, asap dan perkara yang dibenci.

Secara lebih mendalam Ibnu Hajar menjelaskan, dakhan membawa beberapa maksud. Pertama, kebaikan yang datang selepas keburukan itu tidak semurni sebelumnya. Kedua, keadaan akan menjadi sedikit berkecamuk. Ketiga, sama seperti apa yang dihuraikan oleh al-Imam al-Nawawi; hati-hati manusia tidak sesuci sebelumnya.

Untuk memahamkan maksud dakhan dalam hadis ini, Al-Imam al-Nawawi menerangkan kekeruhan ialah hati-hati manusia selepas berlakunya keburukan itu tidak akan kembali suci seperti sebelumnya. Dahulu ia ikhlas antara satu sama lain, namun selepas dilanda keburukan pertama itu, walaupun sudah berbaik, namun kesan keburukan itu masih ada.

“Aku bertanya lagi, “Apa kekeruhan itu?” Beliau menjawab, “Suatu kaum yang memimpin tanpa mengikuti petunjukku. Kamu dapat mengenal pasti perkara makruf dan juga perkara mungkar yang mereka lakukan.”

Al-Imam al-Nawawi menjelaskan, ‘petunjuk Rasulullah s.a.w. membawa maksud sahsiah keperibadian, sirah dan manhaj (cara)’. Justeru, hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa kekeruhan itu datang dalam bentuk sekumpulan manusia yang membawa pemikiran, ideologi dan amalan yang menyalahi sunnah Rasulullah s.a.w.

Apabila perkara ini berlaku, orang Islam yang mempunyai ilmu tentang makruf dan mungkar pasti dapat membezakan kebaikan dan keburukan yang dilakukan dan disebarkan oleh kumpulan tersebut. Namun masyarakat yang kurang berilmu pasti tertipu lalu terikut-ikut dengan ideologi dan amalan yang menyalahi sunnah Rasulullah ini.

Seterusnya Ibnu Hajar mengaitkan petikan hadis ini dengan satu hadis lain yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim daripada Ummu Salamah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Maka siapa yang mengingkari, dia akan terpelihara dan siapa yang membenci, dia akan selamat”.

Ketiga: Para pendakwah yang mengajak ke pintu neraka Jahanam.

Di dalam menghuraikan hal itu pula al-Imam al-Nawawi mengatakan, “Para ulama telah menjelaskan bahawa mereka ini ialah di kalangan pemerintah yang mengajak orang ramai kepada bidaah dan kesesatan seperti golongan Khawarij, Qaramitah dan pencetus huru-hara.”

Penjelasan al-Imam al-Nawawi ini pendek dan padat. Mana-mana kumpulan yang meninggalkan sunnah Rasulullah s.a.w. dan berdakwah kepada bidaah dan kesesatan bolehlah dikategorikan sebagai ‘Du’at ‘ala abwabi Jahannam’ iaitu pendakwah neraka Jahanam.

Al-Imam Ibnu Hajar menguatkan lagi penjelasan ini dengan berkata, “Du’at ialah kata jamak bagi da’in iaitu pendakwah kepada selain yang benar.” Beliau menerangkan lagi bahawa gelaran ini diberikan kepada mereka dengan melihat destinasi mereka di akhirat nanti.

Keempat: Sama warna kulit dan berbicara dengan bahasa kalian.

Di dalam hadis itu Rasulullah menjelaskan kepada kita ciri-ciri pendakwah neraka Jahanam. Huraian daripada Ibnu Hajar dapatlah diringkaskan seperti berikut: Mereka terdiri daripada manusia yang sama bangsa, sama bahasa, sama agama, di kalangan Arab dan ajam iaitu selain Arab. Mereka ini secara zahirnya berada atas agama kita namun sebenarnya mereka menyalahi kita.

Perkara ini dijelaskan dengan lebih lanjut lagi dalam satu hadis lain yang bermaksud,

“Akan muncul selepasku pemerintah-pemerintah yang tidak mengikuti petunjukku dan tidak menjejaki sunnahku. Dan akan bangkit dalam kumpulan mereka itu beberapa individu; hati mereka ibarat hati para syaitan, di dalam badan manusia.” HR Muslim

Kelima: Tetap berpegang kepada jama’atul Muslimin dan pemerintah mereka.

Rasulullah s.a.w. memberi garis panduan kepada Huzaifah r.a., bagaimana seharusnya beliau menghadapi segala kekalutan dan keburukan yang dinyatakan di atas. Ia merupakan salah satu prinsip Ahlis Sunnah wal Jamaah dalam berinteraksi dengan pemerintah-pemerintah yang menyalahi sunnah Rasulullah s.a.w. dan berlaku zalim terhadap rakyat.

Prinsip ini adalah antara dasar utama yang membezakan antara Ahlis Sunnah wal Jamaah dengan golongan-golongan ekstrem seperti Khawarij dan Syiah. Dua kumpulan ini akan menggunakan kekerasan untuk sampai ke tampuk pemerintahan.

Khawarij mengkafirkan pembuat dosa besar termasuklah pemerintah Islam yang melakukan kezaliman. Setelah itu mereka akan menggerakkan pemberontakan dan keluar memerangi pemerintah yang mereka tuduh zalim dan mereka kafirkan itu.

Syiah pula memang menghukum Ahlis Sunnah sebagai zalim lagi kufur kerana Ahlis Sunnah mengiktiraf Abu Bakr, Umar dan Uthman yang mana tiga tokoh ini dituduh oleh Syiah sebagai menzalimi Ali.

Mereka bertiga dan semua Ahli Sunnah yang menyokong jatuh kafir. Sumber-sumber agama Syiah juga jelas menggalakkan agar Ahli Sunnah dibunuh dan dihapuskan oleh Syiah. Ini semua jelas menunjukkan tahap ekstrem golongan Syiah ini.

Al-Imam al-Nawawi telah menjelaskan prinsip Ahli Sunnah ini dengan berkata, “Hadis Huzaifah ini menekankan perlu bersama dengan kumpulan umat Islam dan pemerintah mereka. Wajib taat kepada pemerintah umat Islam walaupun dia fasiq dan melakukan maksiat seperti merampas harta dan sebagainya. Maka wajib mentaatinya pada perkara yang bukan maksiat.”

Ibnu Hajar pula menegaskan, “al-Tabari berkata: Huraian yang tepat bagi hadis ini ialah perlu bersama kumpulan umat Islam yang mentaati orang yang mereka sepakat melantiknya sebagai pemerintah. Justeru, sesiapa yang membatalkan bai’ahnya maka dia telah keluar dari Jama’ah.”

Jelas beliau, memberontak terhadap pemerintah yang zalim adalah dilarang dengan berkata, “Ibnu Battal telah menukilkan: Hadis ini merupakan hujah bagi para fuqaha yang mengatakan wajib bersama kumpulan umat Islam dan dilarang keluar memberontak terhadap pemerintah yang zalim.”

Keenam: Tinggalkan seluruh firqah.

Di dalam potongan terakhir hadis ini, Huzaifah r.a. bertanya tentang situasi di mana tiada pemerintah yang disepakati. Pertanyaannya itu telah dijawab oleh Rasulullah s.a.w. dengan jawapan yang mantap.

Baginda s.a.w. menegaskan jika tidak terdapat pemerintah Islam yang disepakati, maka tindakan terbaik ialah dengan meninggalkan semua firqah iaitu kumpulan serpihan yang wujud itu.

Ibnu Hajar menukilkan, “al-Tabari berkata, hadis itu menjelaskan jika tiba situasi di mana tidak terdapat pemerintah bagi umat dan umat berpecah kepada kumpulan-kumpulan kecil, maka tinggalkanlah semua firqah itu jika dia mampu. Ini bertujuan agar tidak terjerumus dalam keburukan.”

Akhirnya, Ibnu Hajar menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w. juga mengarahkan agar kita semua teguh dan sabar dalam menghadapi kesusahan di zaman tidak wujud pemerintah yang disepakati umat Islam.

Baginda menggambarkan kepayahan di zaman itu dengan gigitan pada akar pokok. Ertinya berpegang kepada kebenaran dan kesabaran pada zaman itu amat rumit dan mencabar.

Daripada perbincangan ini, dapatlah kita rumuskan bahawa mengenali keburukan tidak kurang pentingnya daripada mengetahui kebaikan. Sebagaimana kebaikan perlu direalisasikan, begitu juga keburukan perlu dihindari.

Umat Islam juga hendaklah berpegang teguh dengan ajaran Islam yang sebenar iaitu ajaran Islam yang menepati al-Quran al-Karim dan Sunnah Rasulullah s.a.w. dengan mengambil kira manhaj para Sahabat r.a. bersama para ulama muktabar Ahlis Sunnah wal Jama’ah, khususnya dalam urusan mentaati pemerintah umat Islam. Utv

Pendakwah Neraka Jahanam Yang Menyesatkan Manusia


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


SEARCH Tua bangka, tapi tamak haloba – Awie

Suami isteri ditangkap basah?

Lelaki meninggal dunia ketika mendaki Bukit Melati

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker