Covid-19: Hanya WHO layak isytihar endemik

ADALAH lebih baik sekiranya kita membenarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melakukan proses pengisytiharan penukaran status Covid-19 daripada pandemik pada ketika ini kepada endemik. Sekiranya kita membenarkan kerajaan dari sesebuah negara melakukan proses penukaran status Covid-19 berkenaan, dibimbangi boleh menyebabkan dunia menjadi kelam kabut, sekali gus mengundang kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

Sejak kebelakangan ini terdapat beberapa buah kerajaan dunia termasuk Malaysia yang ingin melaksanakan proses penukaran status Covid-19 daripada pandemik kepada endemik. Endemik merujuk kepada wabak atau penyakit yang sentiasa wujud di sesuatu kawasan atau daerah tertentu. Ini termasuk penularan wabak atau penyakit dalam skop lebih besar seperti melibatkan sebuah negara. Penyakit malaria yang menyerang kawasan-kawasan di benua Afrika satu ketika dulu adalah antara endemik yang mengancam dunia.

Istilah pandemik pula merujuk kepada wabak atau penyakit yang menyerang dalam skop lebih besar dan tidak terhad kepada sesuatu komuniti atau daerah semata-mata. Wabak atau penyakit ini akan mengancam kawasan lebih luas seperti sebuah negeri, negara, benua atau mungkin seluruh dunia jika dibiarkan melarat.

Dengan mengisytiharkan sesuatu jenis wabak atau penyakit sebagai endemik, sesebuah kerajaan tidak perlu lagi mengambil langkah-langkah besar bagi mengawal penularan wabak dan penyakit terbabit seperti yang dilakukan dalam situasi pandemik seperti kawalan pergerakan, pelaksanaan kerja dari rumah, proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian, tidak memberi kebebasan sepenuhnya kepada orang ramai untuk melakukan rentas negara dan lain-lain.

GUGAT HUBUNGAN

Setelah sesuatu wabak atau penyakit telah ditukar statusnya kepada endemik, pihak kerajaan dilihat seolah-olah telah mengaku kalah dalam usahanya untuk mengawal penularan sesuatu jenis wabak dalam negara mereka. Pihak kerajaan akan meminta rakyat mereka untuk hidup bersama wabak atau penyakit ini untuk selama-lamanya dan akan hanya akan meminta rakyat untuk menjaga diri mereka sendiri dan mendapatkan bantuan perubatan sendiri sekiranya mereka dijangkiti dengan wabak berkenaan.

Sekiranya kerajaan sesebuah negara mengambil langkah sendiri dengan menukar status penularan virus Covid-19 ini sebagai endemik, dibimbangi ia boleh menggugat hubungan negara mereka dengan negara lain yang tidak mengambil langkah sama. Bayangkan sekiranya Malaysia isytihar Covid-19 sebagai endemik, sementara banyak negara dalam dunia masih isytihar Covid-19 sebagai pandemik, bagaimana negara terbabit hendak membenarkan rakyat kita bergerak ke negara mereka kelak? Kerajaan di negara lain juga mungkin akan mengenakan pelbagai larangan untuk membenarkan rakyat negara mereka untuk datang ke negara kita atau mana-mana negara yang telah menukar status Covid-19 sebagai endemik secara sendirian.

Penukaran status Covid-19 sebagai endemik secara sendirian ini juga mungkin akan menyebabkan kekeliruan berlaku dalam kalangan orang ramai khususnya terhadap tahap jangkitan dan bahaya virus Covid-19 berkenaan di mana jumlah jangkitan dan kematian akibat Covid-19 masih dilaporkan berlaku dalam negara kita dan di serata dunia. Ini ditambah lagi dengan kemunculan pelbagai jenis mutasi daripada Covid-19 yang lebih mudah menjangkiti orang lain.

Cara terbaik untuk menilai semula status Covid-19 adalah dengan membenarkan WHO untuk melakukan proses penukaran status Covid-19 ini. Sebagai sebuah agensi kesihatan antarabangsa yang paling lama berfungsi dan utama dalam dunia, sebarang keputusan yang diambil WHO akan lebih didengari dan dihormati oleh semua pihak.

Walaupun setiap kerajaan dan negara ingin mengambil langkah segera membuka semula sempadan negara mereka dan menguatkan semula sektor ekonomi, ia tidak harus dilakukan secara tergesa-gesa sehingga boleh menjejaskan keselamatan semua pihak.

Sebarang keputusan menukar status wabak atau penyakit yang sedang menular harus dilakukan dan dirancang dengan baik, berhati-hati dan melalui kerjasama dengan semua negara supaya tidak timbul pula penyakit baharu yang lebih berbahaya dan di luar kawalan pada masa akan datang.

* Dr Muzaffar Syah Mallow ialah Profesor Madya di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Keluarga Pelakon Ezzaty Abdullah Ada Dalam Kereta Api Terbakar Di Kelantan, Dukung Nenek Sekali

Lelaki cedera dibelasah kekasih gelap isteri

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker