Kasih isteri pulihkan Amir

Kasih isteri pulihkan Amir

“Saya bersyukur dan menghargai jasa isteri yang banyak membantu serta berkorban demi menjaga diri ini semasa koma,” kata Amir Mohsin Mohd Bahrudin, 33.

Akibat kemalangan jalan raya empat tahun lalu, Amir Mohsin koma selama enam bulan dan mengalami Kecederaan Otak Traumatik (TBI).

Namun kini berkat usaha dan kesabaran, dia kembali pulih dan berusaha untuk bangkit demi keluarganya.

“Kejadian berlaku pada 2018 apabila saya mengalami kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Isteri, Siti Hawa Mohd Nasir, 30, ketika itu baru berpantang 20 hari selepas melahirkan anak kami. Bayangkan dalam keadaan begitu dia berkerusi roda menjaga saya yang berada dalam keadaan koma.

“Jika melihat keadaan saya ketika itu memang teruk. Doktor maklum kepada isteri bahawa minimum saya akan sedar dua tahun lagi namun Alhamdulillah selepas sebulan saya sudah stabil dan dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.

Apabila pulang ke rumah, katanya, dia bernasib baik kerana isterinya juga adalah graduan kursus fisioterapi.

“Dia yang menjaga proses pemulihan dan terapi saya. Ketika sakit saya menjadi malas namun isteri tetapkan ‘no treatment no meal’ (tiada rawatan, tiada makanan). Jika enggan menjalani terapi, tiada makanan untuk saya.

“Kesan daripada kemalangan itu masih terasa dan memberi kesan mendalam kepada saya dari segi fizikal dan banyak juga sel otak saya yang rosak.

“Bahkan, antara trauma yang saya sering hadapi juga adalah sering berjaga pada waktu malam, tak dapat tidur dan emosi juga sering terganggu kerana sakit,” katanya.

Menurutnya, berkat penjagaan dan bantuan terapi isteri, dia mampu sedar dan berjalan tanpa bantuan pada Januari 2019.

Amir Mohsin turut bersyukur dikurniakan keluarga serta sahabat yang memahami keadaan isteri yang tidak bekerja dan mengumpulkan dana bagi membantu rawatan sepanjang dia terlantar.

Dia yang sebelum ini bekerja di Jepun sebagai jurutera, kini aktif menjalankan perniagaan pakaiannya Fasyen Hijabistaluxe untuk kembali memegang tugas sebagai ketua keluarga.

Malah, sebagai salah seorang TBI survivor, dia turut menjalankan inisiatif dalam membantu orang lain yang juga mempunyai masalah kesihatan dengan menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu rawatan menggunakan air (hidroterapi) dengan kerjasama pegawai perubatan bertauliah. HM

Kasih isteri pulihkan Amir


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Shahrol Shiro bakal ambil tindakan undang-undang

Jong-un dirakam berjalan tempang [VIDEO]

Pakar tangkap ular kritikal dipatuk tedung selar [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker