PKRC MAEPS 2.0 ditutup secara rasmi mulai 8 Februari

SERDANG: Setelah 14 bulan memberikan khidmatnya, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) 2.0 di sini, akan ditutup secara rasmi pada 8 Feb ini.

Difahamkan kumpulan pesakit Covid-19 terakhir yang menerima rawatan di PKRC itu sudah dibenarkan keluar kelmarin.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Aminuddin Hassim berkata PKRC MAEPS 2.0 ditutup setelah didapati ia tidak lagi ekonomik dengan mengambil kira kos operasi dan jumlah pesakit yang semakin berkurang.

“Kami hanya tutup PKRC Bersepadu MAEPS 2.0, bukan semua PKRC. Kami komited memastikan sekurang-kurangnya ada satu PKRC beroperasi di setiap negeri. Kami akan bantu Kementerian Kesihatan (KKM) sepertimana yang mereka perlukan,” katanya kepada Bernama semalam.

NADMA adalah agensi yang bertanggungjawab terhadap pengurusan PKRC di seluruh negara.

Menurutnya pada masa ini terdapat 51 PKRC beroperasi di seluruh negara dengan kapasiti keseluruhan 16,863 katil dan 4,061 pesakit sedang dirawat di PKRC berkenaan.

Aminuddin berkata cadangan menutup PKRC MAEPS 2.0 itu telah dibentangkan dan dipersetujui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad.

MAEPS diaktifkan sebagai PKRC pada 16 April 2020, dengan pengambilan pesakit Covid-19 di pusat berkenaan hanya membabitkan pesakit bukan warganegara bagi kategori satu (tanpa gejala) serta kategori dua (gejala ringan), dan kemudian ditutup pada 15 Julai tahun yang sama.

Pada 9 Dis 2020, kerajaan memutuskan untuk mengaktifkan semula MAEPS sebagai PKRC susulan peningkatan kes Covid-19.

Pada 24 Jan tahun lepas ia dinaik taraf kepada PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 setelah mula menerima pesakit kategori tiga (radang paru-paru) dan empat (bantuan pernafasan) dengan skala yang sederhana.

Dalam tempoh 14 bulan itu, kira-kira 166,072 pesakit Covid-19 ditempatkan di PKRC MAEPS 2.0 yang terdiri daripada pesakit kategori satu hingga empat.

Sementara itu, Aminuddin berkata berikutan penutupan PKRC MAEPS 2.0, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Selangor dan JPBN Wilayah Persekutuan bersetuju untuk membuka PKRC negeri yang lebih kos efektif sebagai alternatif.

Menurutnya pesakit kategori tiga hingga lima akan dimasukkan ke Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN), Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Rehabilitasi Cheras bagi kes-kes geriatric serta hospital lain sekitar Lembah Klang.

Kebanyakan pesakit dalam kategori satu dan dua pula menjalani kuarantin kendiri di kediaman masing-masing, katanya.


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Pelakon Mak Wan Latah Menikah Lagi, Kali Ini Pindah Ikut Suami Ke Kuala Pilah

Luna Maya Terkedu Ditanya Soalan Panas, “Awak Pernah Buat Jahat Dalam Kereta Tak?

Pak Nil bertemu jodoh?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker