Boleh Mencela Orang Mati Tapi Bersyarat
Boleh Mencela Orang Mati Tapi Bersyarat
“Janganlah kalian mencela mayat kerana mereka telah sampai (mendapatkan) apa yang mereka kerjakan” (HR Bukhari)
‘Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’. Pepatah Melayu yang sarat dengan budi bahasa itu jelas difahami. Jika berbuat kebaikan, pasti namanya disebut-sebut walaupun telah meninggal dunia.
Namun jika sebaliknya, pasti tujuh keturunan pun tidak lagi berhenti orang bercerita tentangnya. Itulah sikap manusia! Menjadi tabiat, ada sahaja cerita mengenai manusia lain yang ingin dikongsi, meskipun insan itu telah meninggal dunia.
Bukan mudah hidup di zaman teknologi hari ini. Pelbagai cerita dicanang merata. Kadang-kadang sesuatu perbuatan itu bukan dibuat oleh si dia, tapi yang mengata seolah pernah hidup bersamanya, semua hal orang itu dalam poketnya. Alahai… macam mana la nanti nak mengesot di padang mahsyar mencarinya untuk meminta maaf.
Hal itu dibicarakan oleh Pensyarah Akademi Islam Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Wan Ramizah Hasan menjelaskan, haram hukumnya bagi sesiapa yang mencaci atau membuka aib orang, tidak kira sama ada orang itu masih hidup atau meninggal dunia.
Jelas Wan Ramizah, walaupun orang yang telah meninggal itu pernah melakukan kesilapan sekalipun, ianya tidak boleh dibicarakannya lagi selepas dia meninggal dunia. Serahkan segalanya kepada Allah, kerana segala perbuatan baik atau buruk pasti akan mendapat balasan.
Sebagaimana hadis Nabi seperti yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud “Janganlah kalian mencela mayat kerana mereka telah sampai (mendapatkan) apa yang mereka kerjakan.”
Orang meninggal telah kembali kepada fitrah, iaitu kembali kepada Allah. Segala urusan dia dengan dunia telah terputus dan yang ada hanyalah kenangan. Apabila telah kembali kepada Allah, sepatutnya kita tidak menceritakan keburukan orang itu kerana dia telah kembali pada Allah yang selayaknya menghukum atas apa yang dilakukannya ketika di dunia.
Apatah lagi jika apa yang dibicarakannya itu sebenarnya bukan perkara yang betul atas perbuatan si mayat. Sesekali jangan cuba membuka ruang untuk memburukkan orang lain, jika perkara itu benar dilakukannya, ianya akan jadi mengumpat, namun jika salah ia jadi fitnah.
Sanggupkah memakan daging saudara kita sendiri sebagaimana firman Allah “..dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (al-Hujurat:12)
Begitu juga amaran Allah mengenai bahana fitnah sebagaimana firmanNya “Berbuat fitnah lebih besar dosanya daripada membunuh” (al-Baqarah: 217).
Juga menerusi ayat 10 dari surah al-Buruj “Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan fitnah kepada orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan, kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab jahanam dan bagi mereka azab (neraka) yang sangat pedih”.
Kadang-kadang, orang yang dicela itu sebenarnya jauh lebih baik daripada yang mencela meskipun pernah melakukan dosa besar. Ini kerana taubat yang dilakukannya hanya antara dia dengan Allah, jadi dia tidak menghebohkan kepada orang ramai.
Apatah lagi jika celaan itu dibuat atas kesalahan yang bukan dilakukannya. Mungkin dari dengar cakap-cakap orang atau sifat manusia yang sengaja ingin berprasangka buruk agar dapat perhatian dari orang lain.
Disebabkan itu juga Allah menyeru agar meneliti dulu setiap berita yang diterima agar ia tidak terjadi fitnah kepada orang lain.
“Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini – Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (al-Hujurat:6)
Andai dosa berbau busuk pasti ramai menjauh
Tegas Wan Ramizah, antara sebab Islam melarang keras umatnya mencela orang mati adalah kerana ia akan menyakitkan saudara yang masih hidup. Ibnu al-Atsir berkata di dalam kitabnya Usul al-Ghabah; “Ketika ‘Ikrimah bin Abu Jahal masuk Islam, ramai orang-orang berkata; “Wah!, ini adalah anak musuh Allah, Abu Jahal”. Ucapan ini menyakitkan hati ‘Ikrimah, dan mengadu perihal tersebut kepada Rasulullah s.a.w., lantas beliau bersabda: “Janganlah kalian mencela ayahnya kerana mencela orang yang sudah mati akan menyakitkan orang yang masih hidup (keluarganya)”.
“Bayangkan apa yang akan dirasai oleh keluarga si mati jika celaan tentang ahli keluarganya yang diterima. Sudahlah mereka sedih dengan kehilangan orang tersayang, dan dibalas pula tohmahan dan cacian dari masyarakat sekeliling. Perit keadaan itu akan membawa pelbagai persepsi, termasuk boleh memutuskan hubungan yang terbina dan merundumkan semangat mereka.
“Islam agama yang sempurna termasuk dalam menjaga hubungan sesama manusia. Disebabkan itu cela mencela terhadap orang yang masih hidup atau telah kembali pada Allah diharamkan.
Ini juga kerana Allah mengajar kita seluruh manusia agar sentiasa berprasangka baik terhadap orang lain. Ini secara tidak langsung akan membangkitkan aura positif di kalangan masyarakat dengan berlumba-lumba ke arah kebaikan,” katanya
Terangnya, begitu banyak hadis-hadis dari Rasulullah s.a.w. yang melarang umatnya agar tidak menyebarkan aib orang. Ibnu Majah ada meriwayatkan hadis yang bermaksud “Barang siapa yang menutupi aib saudara Muslim, Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat, dan barang siapa mendedahkan aib saudara Muslim, maka Allah akan mendedahkan aibnya hingga terbukalah keburukannya walau ia di dalam rumahnya.”
Allah! Jika tanpa Allah tutup aib kita semua, siapalah kita. Pasti jelas semua salah silap kita terbuka luas. Mungkin sekarang ramai yang nampak baik kerana Allah yang menutupi aibnya. Sebagainya Muhammad Wasi ‘ berkata, “Seandainya dosa itu memiliki bau (tidak sedap) maka nescaya tidak ada seorang pun yang sanggup untuk duduk bersamaku.”
Apa salahnya kita hanya membicarakan kebaikan orang berbanding tertarik dengan keburukan orang lain. Hasan Al-Basri pernah berkata
“Aku pernah menemui seseorang yang tidak bercela. Namun setelah ia mencela orang lain, maka orang lain mula menemukan cacatnya. Aku pernah berjumpa dengan seseorang yang memiliki banyak kekurangan. Namun kerana dia diam daripada mencela orang lain, orang lain tidak pernah membicarakan cacatnya.”
Begitu sekali Allah menutup aib hambaNya jika kita tanpa segan silu menjaja aib orang lain. Nabi s.a.w. juga sentiasa mengingatkan umatnya agar sentiasa bercakap tentang yang baik-baik sahaja mengenai orang yang telah meninggal dunia, seperti hadisnya “Janganlah engkau menyebut orang-orang yang telah mati di antara kamu melainkan dengan kebaikan.” (HR Nasa’i)
Darurat yang dibolehkan
Walau bagaimanapun, Wan Ramizah menjelaskan, meskipun larangan keras telah dibincangkan mengenai mencela orang mati, namun terdapat beberapa keadaan darurat yang dibolehkan untuk memberitahu orang tentang kesilapan yang pernah dilakukan oleh si mati. Ia tidak lain tujuannya melainkan untuk pengajaran sahaja.
Antara keadaannya, Wan Ramizah menjelaskan apabila telah meninggal, si mati seorang yang berbuat keburukan dan mempunyai ramai pengikut. Jadi boleh orang menyebarkan keburukannya agar pengikutnya sedar, guru mereka bukan orang yang alim, dan juga supaya mereka tidak mengembangkan kumpulan tersebut.
Keadaannya juga seperti ulama terdahulu membenarkan orang ramai mengkritik perawi hadis, ini kerana sebagai pengajaran agar tidak beramal dengan hadis yang telah dinyatakan oleh perawi berkenaan. Juga ia bertujuan untuk orang ramai tidak menyebarkan hadis tersebut.
Namun jika menyebarkan keburukan orang dengan tujuan mengaibkan atau menjatuhkan kredibiliti insan tersebut, ia langsung tiada pertikaian, tetapi hukumnya jelas haram.
Kadang hairan dengan sikap segelintir masyarakat, meskipun orang itu telah meninggal dunia, dan mungkin dia mendapat husnul khotimah (pengakhiran yang baik), tetapi sering jua dipersoalkan. Kenapa kita tidak berusaha untuk mendapatkan pengakhiran yang baik agar lebih tenang di alam akhirat kelak? Wallahu a’lam Utv
Boleh Mencela Orang Mati Tapi Bersyarat
Baca Artikel Menarik :
- Dia nak mengurat siapa, itu hak dia, saya tidak lagi berstatus isterinya – Nadia Brian
- Kura-kura terhempas kerana pujian – Shabery
- Fitnah PM: SetPol buat laporan polis
- Tomok terima royalti RM19.06 untuk 7 tahun
- PN dicabar letak Muhyiddin sebagai ‘poster boy’ di Johor
- Isu saham Azam Baki, pemberi maklumat dipanggil ke Bukit Aman
- PH ubah peraturan hutang, Najib tegur Pua ‘beremosi’
- Digelar itik patah kaki? PAS boleh ‘pergi lebih jauh’ – Azan
- Bagaimana TMJ boleh tahu cerita dalam kelambu?
- Sekolah Cina tolak 1,208 guru BM KPM, diganti calon ‘walk in’?
- Ini sebab mengapa Anwar elak menggunakan logo PH dalam PRN Johor
Layari Laman Facebook MYKMU</a
Pelakon Mak Wan Latah Menikah Lagi, Kali Ini Pindah Ikut Suami Ke Kuala Pilah
Luna Maya Terkedu Ditanya Soalan Panas, “Awak Pernah Buat Jahat Dalam Kereta Tak?