Speaker akan hantar segera surat bubar DUN Johor ke SPR

SHAH ALAM – Gendang Pilihan Raya Negeri Johor kini semakin hangat apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN) berkuat kuasa mulai hari ini.

Berikutan itu, Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat, mengesahkan pihaknya akan menghantar surat pemakluman pembubaran DUN secepat mungkin kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan PRN Johor diadakan dalam tempoh terdekat.

“Saya mengambil maklum mengenai pembubaran DUN Johor seperti dititahkan oleh Sultan Johor dan akan mengutus surat secepat mungkin kepada Pengerusi SPR (esok) bagi memaklumkan mengenai situasi terkini berkenaan,” katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Premium pada Sabtu.

Terdahulu, Sultan Johor berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada PRN.

Sultan Ibrahim berkenan berbuat demikian selepas menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad pada jam 5 petang di Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada Sabtu.

Pada pertemuan bersama Sultan Johor itu, Hasni diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani yang kemudian mempersembahkan watikah pembubaran DUN Johor.

“Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 bahawa Dewan Negeri Johor Darul Ta’zim termansuh pada 22 Januari 2022,” jelas hantaran itu dalam akaun rasmi Sultan Johor pada Sabtu.

Sementara itu, Pengarah Operasi Pilihan Raya Bersatu Johor, Badrul Hisham Shaharin mendakwa, PRN Johor diadakan kerana Hasni selaku Menteri Besar, mendengar nasihat daripada pengampu yang terdiri daripada ‘penganggur’ (pemimpin UMNO tiada jawatan dalam kerajaan sekarang) yang berlagak sombong susulan berasa UMNO sedang berada di kemuncak sokongan rakyat.

“Mereka rasa kuat walaupun pemimpin ramai terpalit kes korupsi tetapi mereka masih tidak berani secara jantan umum tarikh pilihan raya umum (PRU) seperti diamalkan di kebanyakan negara maju.

“Paling tidak setahun awal tetapi Pengerusi UMNO Johor (Hasni) yang konon kuat tetapi main sembunyi dan ugut tarikh bubar. Pukul curi ini penakut sahaja buat.

“Kalau jantan umum tarikh PRU sebelum 6 bulan akan diadakan kita tengok siapa berani,” katanya kepada wartawan Sinar Premium pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Badrul Hisham berkata, pembubaran DUN Johor hanya memenuhi ego dan sombong serta tamak segelintir pengampu dan penganggur politik tamak keliling Menteri Besar.

“Mereka mengharapkan dalam keadaan ancaman Covid-19 masih tinggi dan rakyat masih gelisah ditekan kesan pendemik dan kemusnahan serta kerugian bencana, mereka harap rakyat tak keluar mengundi dan pengundi luar tidak balik.

“Mereka jangka mereka akan menang besar supaya secara langsung dapat mempertingkatkan tekanan agar PRU awal atau pemimpin utama mereka dilepaskan daripada kes-kes mahkamah yang sedang berlangsung,” katanya.

Badrul Hisham juga mendakwa rakyat Johor kini dimangsakan kerana PRN tidak perlu diadakan dalam masa terdekat.

Berikutan itu katanya, rakyat harus keluar beramai-ramai menolak UMNO dan BN serta mengembalikan kestabilan politik negara.

Terdahulu, PN mempersoalkan tindakan Menteri Besar Johor yang mahu membazirkan wang rakyat RM150 juta untuk mengadakan PRN hanya semata-mata bagi melayan nafsu, keegoan dan keangkuhan golongan ‘penganggur politik’ dalam kalangan pemimpin UMNO.

Speaker akan hantar segera surat bubar DUN Johor ke SPR


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Kronologi Kes Perceraian Shila Amzah & Suami Yang Mengejutkan Orang Ramai

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker