8 vaksin yang perlu diketahui

8 vaksin yang perlu diketahui

VAKSIN antara kaedah terbaik ibu bapa untuk melindungi anak mereka daripada penyakit berjangkit tertentu.

Malah, vaksin juga dapat mencegah orang dewasa daripada mendapat penyakit dan menghalang penyebaran jangkitan dalam komuniti.

Dalam beberapa kes keberkesanan suntikan pelalian ini berupaya menghapuskan penyakit yang ditakuti.

Setiap individu perlu mendapatkan vaksinasi mengikut jadual imunisasi yang disarankan pihak berkuasa keselamatan di negara masing-masing.

Langkah ini bukan hanya untuk kesihatan diri sendiri, tetapi individu di sekeliling.

Lapan jenis vaksin yang perlu diketahui

1. Vaksin Hepatitis B

Hepatitis B adalah penyakit yang menyebabkan keradangan dan kerosakan hati.

Dalam jangka panjang, jangkitan hepatitis B kronik boleh menyebabkan sirosis, kegagalan dan barah hati.

Di Amerika Syarikat, 1.25 juta individu dijangkiti virus hepatitis B secara kronik apabila 36 peratus dijangkiti ketika kecil.

Sebanyak 25 peratus daripada mereka dijangkiti semasa bayi dan meninggal dunia beberapa tahun kemudian.

Sebab itu amat penting bayi diberikan vaksinasi hepatitis B.

2. Vaksin Difteria, Tetanus dan Pertusis (DTaP)

DTap adalah kombinasi vaksin yang memberi perlindungan terhadap difteria (sakit kerongkong), tetanus (kancing gigi) dan pertusis (batuk kokol).

Difteria ialah penyakit kerongkong disebabkan bakteria ‘Corynebacterium diphtheriae’. Kanak-kanak dijangkiti bakteria ini akan mengalami kesukaran menelan kerana tekak berasa sakit di kawasan antara rongga mulut, farinks dan bengkak pada kelenjar leher serta boleh membawa maut.

Tetanus adalah penyakit kancing gigi apabila pesakit mengalami kekejangan otot (selalunya di kawasan rahang dan leher) pada seluruh badan disebabkan jangkitan bakteria ‘clostridium tetani’.

Pertusis pula ialah batuk kokol berpunca daripada jangkitan bakteria ‘bordetella pertussis’. Penyakit yang boleh membawa maut ini dapat dicegah melalui suntikan vaksin.

3.Vaksin pneumokokal

Vaksin ini melindungi daripada jangkitan bakteria ‘streptococcus pneumoniae’ yang boleh menyebabkan radang paru-paru, meningitis dan bakteremia.

4. Vaksin rotavirus

Rotavirus ialah jangkitan virus yang boleh menyebabkan cirit-birit, muntah, demam dan sakit perut teruk dalam kalangan bayi serta kanak-kanak.

Kanak-kanak yang dijangkiti rotavirus boleh mengalami dehidrasi dan mungkin perlu dimasukkan ke hospital.

Kira-kira 80 peratus kematian disebabkan jangkitan virus rotavirus di negara membangun.

5.Vaksin campak, beguk dan rubella (MMR)

Kombinasi tiga vaksin ini untuk melindungi kanak-kanak daripada menghidap penyakit demam campak, beguk dan rubella.

Demam campak adalah jangkitan akut pada kanak-kanak disebabkan oleh virus campak.

Beguk ialah penyakit yang disebabkan virus paramyxovirus dan menyebabkan pembengkakan serta rasa sakit pada kelenjar parotid.

Rubella sejenis penyakit disebabkan oleh virus rubella yang biasanya ditemui pada tekak, darah dan najis individu dijangkiti.

6. Vaksin influenza

Jangkitan virus influenza boleh membawa komplikasi kesihatan hingga meragut nyawa.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam kajiannya mendapati sekitar 600 juta masyarakat di dunia berhadapan risiko influenza setiap tahun.

Oleh itu, vaksin influenza terbukti boleh menghindari komplikasi demam selesema dan menyelamatkan nyawa.

7. Vaksin virus papilloma manusia (HPV)

HPV adalah penyebab utama barah pangkal rahim dalam kalangan wanita, barah dubur dan beberapa jenis penyakit barah yang lain.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) menyarankan suntikan vaksinasi HPV kepada kanak-kanak berusia antara 11 dan 12 tahun.

Suntikan pelalian ini boleh dimulakan seawal usia sembilan tahun.

Imunisasi ini juga disyorkan kepada individu berusia 26 tahun yang belum mendapatkan perlindungan vaksinasi secukupnya.

8. Vaksin varisela

Juga dikenali sebagai vaksin cacar air yang memberi perlindungan daripada penyakit cacar air.

Penyakit ini mudah menjangkiti yang menyebabkan kulit gatal dan menggelembung berserta cecair.

Satu dos vaksin ini boleh mencegah 95 peratus penyakit yang sederhana dan 100 peratus teruk. HM

8 vaksin yang perlu diketahui


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Ada sokongan jitu tapi takut nak berdepan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker