19 tanda tanya kontroversi saham Azam Baki

Pada Rabu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) akhirnya tampil menjawab persoalan besar berhubung kontroversi pemilikan berjuta unit saham dikaitkan dengan Azam sekitar tahun 2015 hingga 2016.

Hal ini kerana Azam baru-baru ini menjadi tumpuan ekoran pendedahan bekas ahli LPPR, Edmund Terrence Gomez bahawa timbulnya dakwaan pemilikan saham olehnya di dua syarikat pada 2015.

Berdasarkan laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, Azam memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016. Ketika itu, Azam adalah pengarah bahagian siasatan SPRM.

Selain itu, Azam juga dikatakan memiliki 1,930,000 saham dalam Gets Global Bhd pada tahun 2015.

Dalam sidang media khas di bangunan SPRM Putrajaya, Azam bagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan menjelaskan saham-saham itu dibeli melalui pasaran terbuka oleh adik beliau, Nasir Baki menggunakan pembiayaan miliknya.

Selain itu, Azam turut menegaskan saham syarikat yang dibeli tiada kaitan dengan siasatan oleh SPRM selain memaklumkan saham itu kemudiannya dipindahkan kepada adiknya.

Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang yang turut hadir dalam sidang media berkenaan menjelaskan pihaknya berpuas hati dengan penjelasan Azam serta berpandangan proses itu tidak melibatkan sebarang konflik berkepentingan.

Bagaimanapun, sebilangan ahli politik, pengamal undang-undang dan agensi penyelidikan bebas berpandangan penjelasan dikemukakan Azam dan LPPR sebenarnya mengundang lebih banyak persoalan berbanding penyelesaian.

HANIFF KHATRI
HANIFF KHATRI

Peguam kanan, Haniff Khatri Abdulla sewaktu dihubungi Sinar Premium mengalu-alukan tindakan LPPR menjawab tuduhan Azam secara terbuka, namun beliau berpandangan pendapat LPPR sidang media itu bukan memuktamadkan penjelasan isu dakwaan berkenaan.

Begitu juga dengan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Tricia Yeoh yang berpendapat kontroversi melibatkan Azam tidak wajar diketepikan dengan hanya satu pertemuan dengan LPPR serta memerlukan tindakan susulan.

Bagi kumpulan sembilan ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diwakili Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa selaku jurucakap mereka, penjelasan dibuat LPPR berhubung kontroversi menyelubungi Azam menunjukkan berlaku kegagalan dalam mekanisme pengawasan salah laku

melibatkan pegawai tertinggi suruhanjaya berkenaan.

Sivarasa dalam satu sidang media secara maya turut menegaskan isu ini perlu dirujuk kepada pihak atasan termasuk Perdana Menteri, Peguam Negara dan institusi Parlimen agar penyelesaian dapat dicapai.

Memandangkan begitu banyak persoalan yang masih belum terungkai, Sinar Premium menggariskan 19 tanda tanya besar dibangkitkan banyak pihak berkenaan kontroversi pemilikan saham dikaitkan Azam yang perlu diperjelaskan pihak bertanggungjawab:

1) Adakah pemilikan Azam terhadap saham dan waran yang dikaitkan dengan beliau adalah merupakan satu kesalahan jenayah dan salah guna kuasa sebagai pegawai penguatkuasa?

2) Mengapa Azam masih memegang berjuta-juta saham setakat Mac 2016 walaupun sebelum itu Abu Zahar memberitahu ia sudah dipindahkan kepada adik Azam, Nasir pada tahun 2015?

3) Adakah LPPR sudah melakukan siasatan penuh dengan memanggil semua saksi dan mengumpulkan semua dokumentasi berkaitan susulan penjelasan Azam dianggap tidak menyeluruh?

4) Adakah LPPR melihat dokumentasi pergerakan wang dikatakan bernilai sekurang-kurangnya RM1 juta untuk Azam membeli 1,930,000 pegangan saham dalam Gets Global Bhd pada tahun 2015?

5) Mengapa LPPR tidak berjumpa dengan adik Azam untuk mengesahkan transaksi wang pembelian pegangan saham oleh Azam itu?

6) Sewaktu Azam mengurangkan pegangan saham pada kira-kira sejuta unit pada tahun 2016, adakah LPPR bertanya sama ada beliau menerima sebarang dividen daripada saham itu?

7) Jika ya, adakah Azam menyimpan wang itu atau memberikannya kepada adik beliau?

8) Dari mana wang diperoleh Azam untuk membeli sejumlah 2,156,000 waran dalam Excel Forces MSC Bhd pada tahun 2016?

 

SIVARASA
SIVARASA

9) Jika Abu Zahar menjelaskan Azam menerima wang daripada Nasir untuk membeli waran, mengapa pula Nasir membeli 3,728,000 saham dalam Gets Global Bhd atas namanya sendiri tanpa membeli melalui KP SPRM itu?

10) Mengapa LPPR memberikan fakta bercanggah terhadap tempoh pemindahan saham milik Azam kepada Nasir pada tahun 2015? Adakah LPPR menyiasat jejak wang itu?

11) Mengapa LPPR mengambil masa hampir tiga minggu untuk memberi maklum balas secara terbuka selepas isu Azam dibangkitkan di Parlimen pada 16 Disember 2021?

12) Bolehkah LPPR membuat keputusan membebaskan Azam dengan berlandaskan penjelasan KP SPRM itu dalam satu mesyuarat sahaja tanpa siasatan menyeluruh?

13) Adakah terdapat sebarang siasatan jenayah ketika tahun 2015 hingga 2016 terhadap mana-mana pihak dalam syarikat saham yang mendorong kepada pegangan saham oleh Azam?

14) Adakah adik Azam mempunyai sumber dana sah untuk memiliki pegangan saham dengan sejumlah nilai yang besar?

15) Apakah pegangan saham oleh seorang individu atas nama orang lain, boleh menjadi kesalahan jenayah di bawah mana-mana peruntukan perundangan pemilikan saham awam di bawah seliaan Suruhanjaya Sekuriti, mahupun Bursa Saham Kuala Lumpur (KLCI)?

16) Azam mendakwa saham syarikat tersebut adalah milik adiknya. Adakah beliau tidak sedar tentang keperluan untuk mengisytiharkan ‘pemilikan benefisial’ apabila memegang ekuiti korporat secara amanah?

17) Adakah Azam juga mengisytiharkan pemilikannya ke atas ekuiti korporat ini seperti yang dikehendaki kerajaan?

18) Mengapakah Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu meluluskan bentuk pemilikan korporat Azam sedangkan dia mungkin telah melanggar undang-undang berkaitan pemilikan benefisial?

19) Adakah waran syarikat yang dimiliki oleh Azam turut dipegang sebagai amanah untuk adiknya? Jika ya, bagaimanakah Azam memperoleh dana untuk memperoleh waran ini? SHP

19 tanda tanya kontroversi saham Azam Baki


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Isu Azam Baki: Pemuda PAS beza pendirian dengan Takiyuddin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker