Nabil sebak mangsa banjir ketuk cermin kereta kelaparan

Nabil sebak mangsa banjir ketuk cermin kereta kelaparan

Insiden tingkap kenderaan diketuk mangsa banjir yang kelaparan ketika menyertai misi bantuan sekitar Hulu Langat, Selangor tidak mampu dilupakan pengacara dan pelawak popular, Nabil Ahmad sampai bila-bila.

Berpeluang melihat depan mata keadaan kawasan yang ditimpa musibah, Nabil gagal membendung air mata, malah, timbul keinsafan dalam diri dengan kekuasaan Allah.



Melihat kanak-kanak yang terpaksa duduk di luar rumah, hati Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH pada 2009 itu bertambah sayu.

Kebanyakan rumah diliputi lumpur tebal sehingga ke paras lutut, jadi apa pilihan mangsa banjir selain terpaksa duduk di luar rumah. Keadaan tidak ubah seperti gelandangan.

Menceritakan insiden yang tidak mampu dilupakan, Nabil berkata, dia dan rakan-rakannya dalam perjalanan menghantar makanan tersentak apabila tingkap kereta diketuk ketika kenderaan berhenti akibat kesesakan lalu lintas.

“Ketika sedang melintasi satu kawasan perumahan, kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki diketuk mangsa banjir. Apabila membuka tingkap, mereka terkejut melihat saya.



“Seorang lelaki bertanya adakah kami mempunyai bekalan makanan yang boleh dimakan dengan segera kerana penduduk sudah kelaparan akibat tidak menjamah sebarang makanan sejak semalaman.

“Secara kebetulan, kami membawa 400 bungkus nasi untuk dihantar ke kawasan lain. Namun, disebabkan tidak sampai hati melihat keadaan lelaki berkenaan, kami singgah di taman perumahannya untuk mengagihkan makanan.

“Di situ, ada kira-kira 60 rumah yang belum mendapat apa-apa bantuan,” katanya kepada BH Online.


Nabil mengagumi kegigihan rakan baiknya Shiera yang gigih mengumpul dan mengedarkan barangan keperluan kepada mangsa banjir dalam kesibukan tugasan sebagai penyampai radio. – Foto IG Sharifah Shahirah



Pengacara program Gegar Vaganza dan MeleTOP itu berkata, sebelum ini, salah seorang sahabatnya menerima pesanan dari aplikasi WhatsApp daripada penduduk taman perumahan yang terletak di Batu 10, Hulu Langat yang mengadu bantuan tidak sampai disebabkan kedudukan rumah jauh ke dalam.

“Mereka mengadu kehabisan susu, lampin pakai buang, malah duit pun tiada untuk membeli barang keperluan. Ketika sampai, pasukan kami diserbu.

“Mangsa banjir berebut-rebut mengambil barang. Melihatkan keadaan ini hati saya sangat sedih, tidak dapat dibayangkan sekiranya berlaku kepada ahli keluarga saya.

“Pada masa sama, ia pengalaman yang menginsafkan. Saya teringat potongan ayat dalam al-Quran dan pesanan disampaikan Nabi Muhammad SAW yang kini satu persatu mula berlaku.



“Ada kalanya saya terfikir adakah masanya sudah tiba,” katanya.

Namun, katanya, hati bertambah sayu melihat kanak-kanak berada di luar rumah selepas rumah ditenggelami lumpur.

“Keadaan mereka tidak ubah seperti gelandangan. Saya sebak kerana kejadian ini berlaku di negara kita,” katanya yang mula memasuki kawasan Hulu Langat bagi membantu seorang teman kumpulan Tabligh yang diuji apabila kediamannya musnah akibat banjir, Sabtu lalu.

Melihat teman yang dikenali sebagai Talha yang cukup tabah berdepan ujian, meskipun kini tinggal sehelai sepinggang Nabil amat mengaguminya.



Katanya, sahabatnya itu bukan sahaja masih mampu mengukir senyuman, malah sempat menghulurkan tenaga membantu mangsa lain yang terjejas akibat banjir.

“Talha tinggal di kawasan Sungai Serai. Seperti diberitahu, kawasan ini sudah hampir 13 kali dinaiki air, tetapi tidak pernah seteruk apa yang berlaku, minggu lalu.

“Malam Jumaat pula elektrik terputus. Talha terpaksa bergelap dan anaknya pula menangis dengan kuat.

“Namun, saya kagum dengan semangatnya. Baginya, ujian dihadapi kecil, walaupun rumahnya musnah dalam musibah banjir ini. Dia masih boleh tersenyum dan sempat membantu orang lain,” kata Nabil.




Nabil bersama rakan-rakannya melakukan inisiatif sendiri menghantar barangan keperluan kepada mangsa banjir di Hulu Langat. – Foto Nabil Ahmad

Selain itu, Nabil mengagumi kegigihan rakan baiknya yang juga penyampai radio Suria FM, Sharifah Shahirah atau Shiera yang gigih mengumpul dan mengedarkan barangan keperluan kepada mangsa banjir dalam kesibukan tugasannya.

Katanya, dia tidak mampu menjadi segigih Shiera yang sanggup bersusah payah menjadikan rumahnya sebagai hub meletakkan barang bantuan mangsa banjir.

“Saya tabik dengan Shiera. Bayangkan bukan setakat mengumpulkan barang, tetapi dia dan suami menghantar sendiri barang keperluan. Malah, Shiera akan keluar membeli keperluan yang tidak mencukupi.

“Cara Shiera mengendalikan barang keperluan dihantar ke rumah juga wajar dicontohi. Dia tidak kisah menjadikan rumahnya sebagai hub mengumpulkan barang bantuan. Malah, Shiera masih sempat turut turun padang mengagihkan barangan biarpun sibuk dengan kerja.

“Saya menyertai pasukan Shiera. Apabila ke rumahnya mengambil barang untuk dihantar kepada mangsa banjir, saya lihat caranya bekerja memang mengagumkan.

“Dia sanggup mengumpul dana membeli keperluan yang belum cukup, malah, saya percaya Shiera juga banyak menggunakan wang sendiri untuk membeli barang,” katanya.

Nabil berharap, nasib mangsa banjir akan lebih terbela kerana bukan mudah untuk membina semula kehidupan yang ranap.

“Saya yakin kos yang perlu ditanggung mangsa banjir bukanlah sedikit jika harta benda rosak dan hancur,” katanya. BH

Nabil sebak mangsa banjir ketuk cermin kereta kelaparan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Shila Amzah mangsa keganasan rumahtangga?

Damian pertahan tindakannya sambut Krismas

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker