Putera Raja Arab Saudi zahir hasrat bantu Malaysia

Menteri Kabinet Arab Saudi, Putera Turki bin Mohammad bin Fahd bin Abdulaziz menzahirkan hasrat membantu Malaysia dengan menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada rakyat negara ini yang terjejas akibat banjir.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi kenyataan hari ini.

“Pagi tadi saya telah dihubungi oleh Putera Turki bin Mohammed bin Fahd bin Abdulaziz, Putera Raja Arab Saudi, yang telah menyatakan hasrat untuk membantu usaha kami bagi menyediakan bantuan dan sumbangan kepada rakyat Malaysia yang terkesan akibat banjir melalui Pusat Bantuan dan Kemanusiaan Raja Salman,” katanya.

Beliau juga berkata, Kementerian Pertahanan, melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kini memberi tumpuan kepada usaha bantuan pasca banjir dan persediaan bagi menghadapi kemungkinan gelombang kedua bencana itu.

Katanya, setakat semalam, seramai 998 anggota dan pegawai ATM iaitu Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara Diraja Malaysia diatur gerak bersama dengan 96 aset pelbagai jenis termasuk trak, bot tempur, enjin sangkut (OBM) serta helikopter EC725 ke negeri yang terjejas seperti Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Melaka.

Hishammuddin berkata, ATM juga berjaya memindahkan sejumlah 32,661 mangsa ke pusat pemindahan sementara setakat semalam dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Kesihatan serta semua agensi berkaitan menerusi Ops Murni.

“Perancangan ATM yang seterusnya di kawasan berkenaan ialah meningkatkan lagi pelaksanaan kerja-kerja pembersihan pasca banjir termasuk pencegahan penularan wabak COVID-19.

“Ini selari dengan kenyataan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang semalam bahawa ATM akan menambah jumlah anggota sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 500 orang khusus untuk membantu kerja-kerja pembersihan,” katanya.

Beliau berkata, satu batalion ATM diletakkan dalam keadaan siap siaga di setiap negeri untuk diatur gerak ke lokasi terjejas apabila terdapat keperluan menghadapi banjir gelombang kedua.

Katanya, ini termasuk pembelian kecemasan 55 unit OBM yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan susulan laporan berhubung situasi bot ATM yang terpaksa digunakan tanpa henti di kawasan terjejas.

Mengulas penubuhan pasukan petugas khas pasca banjir, Hishammuddin berkata, Kementerian Pertahanan dan ATM akan memberi kerjasama penuh kepada pasukan itu. – Bernama


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Kalau dahulu PH tak batalkan Projek Canal City masalah banjir di Selangor sudah selesai

Puteri Balqis Jawab Persoalan Peminat Mengenai Isu ‘Muslim Gay’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker