Dividen KWSP, Tabung Haji 2021 lebih tinggi?

Dividen KWSP, Tabung Haji 2021 lebih tinggi?

Kadar pengagihan dividen dan hibah daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tahun ini dijangka lebih baik berbanding 2020, demikian menurut penganalisis ekonomi.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata wujud kemungkinan bahawa KWSP akan menawarkan kadar dividen lebih tinggi berdasarkan pulangan atas pelaburan yang lebih tinggi daripada pelaburan ekuiti global, selain pelaburan aset yang menghampiri nilai RM1 trilion.

“Bagi dividen KWSP, saya menjangkakan ia akan lebih baik berbanding dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) iaitu lima sen seunit. Jangkaan paling minimum, kadar dividen adalah seperti tahun lalu iaitu 5.2 peratus bagi Konvensional dan 4.9 peratus Shariah,” katanya kepada BH.

Mengenai hibah TH 2021, Ahmed Razman berkata, jangkaan kadar lebih tinggi berbanding 3.1 peratus tahun lalu dibuat selepas mengambil kira pengurangan kos subsidi haji yang biasanya berjumlah RM400 juta setahun.

“Saya menjangkakan kadar hibah adalah sekitar 3.5 peratus bagi tahun ini kerana TH memiliki ruang disebabkan pengurangan kos subsidi haji memandangkan bilangan yang mengerjakan haji adalah kurang disebabkan pandemik COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpandangan, pulangan pelaburan bagi KWSP serta TH tidak banyak berubah daripada prestasi ASB dan kadar dividen/hibah yang diumumkan tahun lalu.

“Ini berdasarkan kepada faktor pasaran modal negara yang bergelut dengan prestasi turun naik semasa selari dengan pasaran modal dunia.

“Untuk tahun ini, saya jangkakan kadar yang sama seperti tahun lalu. Untuk KWSP kadar dividen 2021 antara 5.0 hingga 5.3 peratus berdasarkan pada pasaran modal semasa dan Kadar Dasar Semalaman yang kekal pada 1.75 peratus, selain pergerakan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada paras 4.20 hingga 4.25,” katanya.

Bagi hibah TH, Aimi Zulhazmi, berkata pengurus dana haji rakyat Malaysia itu dijangka memberikan pulangan yang lebih baik selepas melalui penstrukturan semula pelaburannya bagi tahun kedua .

“Prestasi pelaburan TH juga memberangsangkan dan mampu mencatat pertumbuhan yang positif walaupun ekonomi tidak begitu memberangsangkan,” katanya.

Beliau menjelaskan, sekiranya ekonomi tidak berjaya dipulihkan pada 2022 atau pemulihan berlaku sangat perlahan, ia akan memberi kesan kepada prestasi semua institusi pelaburan utama negara yang banyak melabur di pasaran modal domestik serta bergantung kepada kestabilan pertukaran ringgit ke mata wang asing seperti dolar AS dan dolar Singapura.

“Walaupun begitu, ekonomi negara mencatatkan pemulihan ekonomi yang sangat baik bermula suku keempat tahun ini. Namun, pasaran modal tempatan masih dipengaruhi oleh pasaran dunia yang terkesan oleh varian Omicron.

“Begitupun, pada 2022 dijangka hampir semua negara sudah bijak mengimbangi antara keperluan ekonomi, sosial dan kesihatan rakyat, tidak terkecuali Malaysia. Ini memberikan kita harapan bahawa 2022 adalah tahun yang lebih baik daripada 2020 dan 2021,” katanya.

Minggu lalu, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan pembayaran pengagihan pendapatan lima sen seunit kepada pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

Ia merangkumi pengagihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus sebanyak 0.75 sen seunit membabitkan jumlah pembayaran sebanyak RM8.9 bilion yang akan memanfaatkan 10.4 juta pemegang unit ASB.

Jumlah berkenaan menjadikan angka pengagihan pendapatan terkumpul dan bonus ASB berjumlah RM168.5 bilion sejak ia mula diperkenalkan pada 1990. BH

Dividen KWSP, Tabung Haji 2021 lebih tinggi?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Puteri Balqis mengaku ibunya bertatu

Puteri Balqis Jawab Persoalan Peminat Mengenai Isu ‘Muslim Gay’

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker