Polis pantau kecurian kenderaan tersadai banjir

Sebaran :

Gerak Pasukan Cantas PDRM ke kawasan terjejas banjir elak jenayah curi kenderaan tersadai

PUTRAJAYA – Pasukan Cantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan ke kawasan terjejas banjir bagi memantau kes kecurian kenderaan yang tersadai akibat bencana itu, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Kita gerakkan pasukan cantas ini dan akan tangkap mereka yang terlibat mencuri kenderaan mangsa banjir…pasukan ini bukan hanya di satu kawasan tetapi di semua tempat terjejas banjir,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan watikah Timbalan Ketua Polis Negara di sini pada Rabu.

Hamzah berkata, perkara itu diputuskan selepas beliau mengadakan perbincangan bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani hari ini, dengan pasukan itu akan menjalankan siasatan berhubung kecurian kereta rosak akibat banjir termasuk kes kecurian menggunakan trak tunda.

Pasukan Cantas PDRM secara umumnya dianggotai anggota dan pegawai polis pelbagai pangkat dan akan ditugaskan bagi menangani kes-kes tertentu yang berlaku di dalam negara.



Sebelum ini, tular di media sosial berhubung kegiatan curi kenderaan mangsa banjir termasuk melibatkan trak tunda yang didakwa cuba membawa lari kereta-kereta yang tersadai.

Dalam usaha mengenai kes kecurian di beberapa premis di kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor, Hamzah berkata, siasatan terperinci sedang dibuat mengenai kes itu kerana semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati berlaku kecurian melibatkan barangan bukan keperluan asas.

“Memang ada yang reda dan halalkan, tetapi bila lihat CCTV, ada yang ambil barangan bukan makanan seperti aksesori telefon, rokok, arak dan benda lain…ini adalah kes kecurian dan menyebabkan kerugian kepada peniaga,” katanya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib dilaporkan berkata, seramai 31 warga asing ditahan susulan insiden pecah dan ceroboh kedai serbaneka di kawasan Taman Sri Muda dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.



Dalam pada itu, Hamzah berkata, PDRM menubuhkan Markas Taktikal di daerah Hulu Langat, Selangor bagi menyelaras bantuan banjir di daerah tersebut.

Katanya, markas tersebut berfungsi sebagai pusat operasi di lapangan dan pegawai pemerintah akan mengkoordinasi dan menyelaras operasi bantuan semua unit.

“Markas ini akan meningkat dan memperkasakan operasi membersih, membantu dan menjaga kebajikan mangsa banjir yang terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, pihaknya bercadang untuk membeli 50 bot untuk kontinjen polis Selangor khusus untuk bencana banjir dan permohonan mengenainya telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz



“Polis mempunyai aset yang cukup di Terengganu dan Pahang tetapi di Selangor, ia tidak pernah berlaku dahulu…bot-bot ini dicadang untuk diletakkan di balai-balai polis sekitar Selangor,” katanya. – Bernama

Polis pantau kecurian kenderaan tersadai banjir


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Aktor Taiwan beri RM302,000 kepada pembantu rumah


Sebaran :

Leave a Reply

Your email address will not be published.