Ucapan perbandingan agama saya tidak persenda bukan Islam

‘Ucapan perbandingan agama saya tidak persenda bukan Islam’

Pendakwah Islam tersohor, Dr Zakir Naik hari ini memberi keterangan bahawa ucapannya bukan bertujuan untuk mempersendakan dan memperlekehkan agama bukan Islam.

Semasa perbicaraan kes saman fitnah warganegara India itu terhadap timbalan ketua menteri II Pulau Pinang P Ramasamy, Zakir berkata sebarang dakwaan dia memperkecil-kecilkan kepercayaan bukan Islam berpunca daripada pihak tertentu yang menyalahtafsirkan kuliahnya mengenai perbandingan agama.

Semasa menjawab soalan balas daripada peguam defendan Ranjit Singh, plaintif Zakir berkata bahawa syarahan perbandingan agamanya bertujuan untuk menyebarkan mesej keamanan di kalangan orang Islam dan bukan Islam.

Zakir berkata, toleransi beragama boleh dipersetujui selagi ini tidak bertentangan dengan rukun Islam.

Plaintif yang berstatus penduduk tetap di Malaysia bersetuju dengan pendapat Ranjit bahawa sebagai seorang alim ulama dan pensyarah perbandingan agama, dia (Zakir) perlu berhati-hati dengan pemilihan kata-kata semasa memberi syarahan dan kuliahnya.

Ranjit: Bagi seseorang seperti kedudukan anda, bersetujukah anda bahawa anda tidak boleh menggunakan pentas syarahan awam, terutamanya dalam perbandingan agama, untuk memperkecil-kecilkan dan mempersendakan agama (bukan Islam) lain?

Zakir: Ya, saya setuju.

Ranjit: Anda bersetuju jika kata-kata anda dilihat memperlekehkan dan mempersendakan agama lain, maka ini boleh menimbulkan permusuhan?

Zakir: Dalam syarahan saya, ada orang tersalah petik ucapan saya. Saya bersetuju bahawa seseorang tidak boleh mempersendakan (agama bukan Islam).

Ranjit: Anda tidak pernah mengejek atau memperkecil-kecilkan agama lain?

Zakir: Ya (saya bersetuju bahawa dia tidak pernah mengejek atau memperkecil-kecilkan agama bukan Islam).

Perbicaraan hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur adalah berhubung dua tindakan fitnah sivil Zakir yang difailkan terhadap Ramasamy pada akhir 2019.

Saman pertama difailkan pada 16 Okt 2019, berhubung empat kenyataan Ramasamy yang dikeluarkan pada 10 April 2016; 1 Okt 2017; 11 Ogos 2019; dan pada 20 Ogos 2019.

Pada 30 Dis 2019, adalah dilaporkan bahawa Zakir memfailkan saman fitnah kedua terhadap Ramasamy, berhubung komennya yang dimuatnaikkan di portal berita The Malaysian Insight pada 8 Nov.

Ramasamy hari ini berada di galeri awam mahkamah ketika Zakir memberikan keterangan lisannya.

Selain Ramasamy, Zakir juga memfailkan saman fitnah terhadap bekas menteri sumber manusia M Kulasegaran, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, Adun Bagan Dalam Satees Muniandy dan bekas duta, Dennis J Ignatius.

Tindakan undang-undang itu difailkan berikutan kenyataan kontroversi Zakir semasa syarahannya di Kelantan pada 8 Ogos 2019, ketika bercakap mengenai penyebaran Islam secara aman di nusantara ini.

Semasa prosiding mahkamah terbuka hari ini di hadapan hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz, Zakir yang juga adalah graduan doktor perubatan mengakui bahawa dia tidak mempunyai latihan formal dalam ilmu perbandingan agama.

Semasa disoal siasat Ranjit, plaintif memberi keterangan bahawa dia belajar daripada pelbagai alim ulama sebelum menjadi pakar dalam bidang itu.

Ranjit: Anda seorang graduan sebagai doktor perubatan, tetapi anda tidak lagi mengamalkan perubatan?

Zakir: Betul.

Ranjit: Anda tidak mempunyai latihan formal dalam ilmu perbandingan agama?

Zakir: Tidak ada, tetapi saya berjumpa pakar.

Ranjit: Anda belajar daripada ramai ulama dan kemudian menjadi pakar dalam perbandingan agama?

Zakir: Ya.

Perbicaraan akan disambung pagi esok. Pasukan peguam pendakwah Islam itu diketuai oleh Akberdin Abdul Kader. MK

Ucapan perbandingan agama saya tidak persenda bukan Islam


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Muak menunggu NADMA, ATM turun bantu mangsa banjir

Lokasi nahas pesawat MH370 di Kemboja?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker