Percepatkan vaksinasi elak PKP ‘olok-olok’ – Steven Sim


Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu berhenti bermain dengan kehidupan rakyat dengan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang olok-olok dan sebaliknya menggandakan usaha untuk mempercepatkan proses vaksinisasi

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, setakat ini, kerajaan PN terbukti gagal membendung pandemik Covid-19 dengan jumlah kes positif harian kini mencecah 4,855 orang (13 Mei 2021) manakala jumlah kematian mencatat angka harian tertinggi pada 12 Mei 2021 dengan 39 kematian dan jumlah kematian keseluruhan seramai 1,761 orang.

Beliau mendakwa PKP 2.0 dan terbaharu PKP 3.0, boleh dikatakan sebagai PKP olok-olok kerana tidak dikenakan secara setara ke atas semua berdasarkan fakta dan data, terutama sektor yang mewujudkan banyak kluster.

Selain itu, prosedur operasi standard (SOP) tidak dikenakan secara adil dengan sesetengah VIP seperti menteri, timbalan menteri dan orang kenamaan diberi kelonggaran ataupun tidak dihukum setimpal rakyat biasa bila berlaku pelanggaran SOP.

Malah, dakwanya, PKP dilaksanakan tanpa memperkasakan 3T (testing, tracing, treatment), contohnya, negeri Perlis yang tidak mencatatkan sebarang kes baharu jangkitan juga dikenakan PKP.

”Walaupun rakyat bersedia untuk berkorban demi meratakan lengkuk jangkitan seperti semasa PKP 1.0, namun PKP olok-olok selepas itu dilihat sebagai menyukarkan kehidupan rakyat terbanyak dari aspek sosial, ekonomi dan kesihatan mental.

”Asyik-asyik rakyat terbanyak disaran berkorban, sedangkan strategi PKP kerajaan tidakmembuahkan hasil yang dikehendaki,” katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya, pada peringkat ini, kerajaan harus menggandakan usaha bagi mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk mencapai matlamat vaksinisasi sehingga 80% penduduk Malaysia menjelang hujung tahun ini.

Setakat 12 Mei 2021, pendaftaran individu bagi PICK hanya berada pada tahap 41.60 peratus atau 10.1 juta pendaftaran.

Sedangkan Fasa 2 PICK mensasarkan vaksinisasi penuh (2 dos) untuk 9.4 juta atau 30.9% penduduk menjelang Ogos 2021.

Namun, setakat 12 Mei, hanya 732,305 orang yang telah menerima vaksinisasi penuh, dan angka ini termasuk 500,000 penerima vaksin di Fasa 1.

Adakah kerajaan mampu mencapai sasaran yang ditetapkan?, soalnya.

Dakwa Steven, jawapannya jelas bahawa PICK sudah tersasar jauh daripada sasaran asal.

Menurut beliau, walaupun kerajaan telah mengatakan bahawa antara faktor kadar vaksinisasi yang perlahan ialah kekurangan bekalan vaksin dan bekalan akan bertambah pada bulan Jun nanti namun, soalannya ialah, apakah jaminan bekalan vaksin akan diterima pada bulan Jun dan jika berjaya menerima bekalan tersebut, adakah proses sedia ada mampu meningkatkan kadar vaksinisasi harian untuk mencapai 9.4 juta penduduk menjelang Ogos 2021.

Jelasnya, sasaran kerajaan untuk mencapai kadar vaksinisasi sebanyak 160,000 orang sehari bagi Fasa 2 tidak meyakinkan kerana ini adalah lebih tiga kali ganda daripada kemampuan semasa iaitu 40,000 hingga 50,000 orang setiap hari, walaupun kita sudah berada pada bulan ke-2 Fasa 2 ini.

Dengan penambahan bekalan vaksin berserta lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan vaksinator sekalipun, kadar vaksinisasi harian dikhuatiri tidak mampu ditingkatkan dengan segera kepada 160,000 orang sehari bagi mencapai sasaran 9.4 juta penduduk pada akhir bulan Ogos, apatah lagi mencapai 80% penduduk pada hujung tahun ini.

Tegas beliau, kerajaan perlu buat apa sahaja, termasuk membelanjakan wang, untuk meningkatkan bekalan vaksin secepat mungkin dan meningkatkan kadar vaksinisasi harian bagi mencapai 80% penduduk Malaysia pada hujung tahun seperti yang disasarkan.

Ini kerana, negara tidak punya pilihan lain dan kerajaan patut berhenti bermain dengan kehidupan rakyat dengan strategi PKP olok-olok. MG

Kerajaan Perlu Percepatkan Suntikan Vaksin Kepada Rakyat – Zahid

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker