UMNO tidak perlu tunduk kepada ‘petualang’ dalam parti

Sebaran :

JOHOR BAHRU – UMNO Bahagian Pulai berharap parti itu dapat kekal dengan pendirian mahu mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lebih awal sekali gus mengekalkan kemenangan selepas beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

Ketuanya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, UMNO perlu bersifat dominan dan tidak tunduk kepada beberapa pemimpin dalaman yang disifatkan sebagai ‘petualang’ kerana sentiasa menentang usul berkenaan.

“Dalam keadaan sekarang, sebenarnya di peringkat bawahan pun memang sudah nampak siapa petualang dan siapa pejuang dalam UMNO. Petualang ini mereka yang kita tengok hanya mementingkan diri sendiri selain menolak untuk kita suarakan PRU lebih awal.

“Mereka ada kepentingan dan sayang gaji bulanan untuk jawatan dalam kerajaan. Ini namanya ada kepentingan tersendiri. Sebab itu mereka mahu PRU diadakan 2023 nanti.



“Kita perlu tegas dan tidak tunduk kepada mereka. Paling utama ialah ambil peluang yang ada dan laksanakan PRU15 kerana buat masa ini ia memihak kepada kita. Jika dilewatkan kita tidak tahu apa akan berlaku pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pulai kali ke-34 di Hotel Grand Paragon di sini pada Sabtu.

Nur Jazlan berkata, UMNO Bahagian Pulai juga sebulat suara untuk menyokong usul pemilihan parti diadakan selepas PRU15 untuk mengelakkan sebarang perpecahan dalaman sekali gus menggugat persediaan jentera pilihan raya.

“Kita bersetuju kerana tidak mahu ada perpecahan dalaman, boikot daripada pihak yang kalah atau sebagainya. Di Pulai saya bersedia tetapi di kawasan lain, caranya lain,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai status Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO ketika ini, Nur Jazlan berkata, pihaknya melihat pemimpin itu sebagai seorang yang cekal kerana berada dalam kedudukan ketika parti tidak mempunyai haluan.



“Kita kena ingat, (Ahmad Zahid) jadi Presiden yang tidak memegang jawatan Perdana Menteri dalam sejarah UMNO. Beliau berhadapan dengan pelbagai tekanan termasuk daripada Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas Perdana Menteri) yang mahu membubarkan UMNO selepas kita kalah dahulu.

“Beliau juga diugut untuk menyuruh semua ahli UMNO menyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika itu tetapi apa yang beliau lakukan ialah berjuang bersama UMNO. Bagi saya beliau perlu diiktiraf dan dihormati.

“Sebenarnya, kalau ada yang minta pemilihan parti dahulu, beliau (Ahmad Zahid) perlu turun atau sebagainya, mereka ini sebenarnya yang perlu kita lihat di mana mereka ketika UMNO jatuh dahulu,” katanya.

UMNO tidak perlu tunduk kepada ‘petualang’ dalam parti



 


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Kolam tahi pun cantik di Kedah (Video)

‘Bonggol maut menuju ke alam barzakh’ [VIDEO]


Sebaran :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *