PRN Sarawak: Baki kempen tiga hari, GPS mendahului

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) diramal terus mendahului carta pengundian, sekali gus mengekalkan kerajaan negeri menjelang pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Sabtu ini.

Parti-parti pembangkang pula dilihat masih belum berupaya mencipta gelombang untuk menggugat populariti gabungan itu ketika tempoh berkempen berbaki tiga hari sahaja lagi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis Dr. Jeniri Amir berkata, ramalan masih sama menyaksikan GPS pimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg terus dijangka menjadi pilihan majoriti rakyat negeri ini.



“Kelebihan memihak GPS kerana jentera parti yang kuat dan pelbagai insiatif ditawarkan kerajaan negeri untuk rakyat Sarawak walaupun berdepan saingan sengit pembangkang.

“GPS hanya berdepan saingan utama Pakatan Harapan-DAP dan Parti Sarawak Bersatu di beberapa kerusi di kawasan bandar. Kelibat parti-parti kecil lain tidak beri kesan signifikan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Seramai 349 calon daripada 10 parti berserta calon Bebas bertanding, menyaksikan GPS meletakkan 82 calon, Parti Bumi Kenyalang (PBK) (73 calon); PSB (70), PKR (28); DAP (26); Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) (15) dan Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (11).

Yang lain pula, Parti Amanah Negara (lapan), Parti Sedar Rakyat Sarawak (lima), Pas (satu) dan Bebas (30 calon).



Senada dengan Jeniri, seorang lagi penganalisis, Prof. Dr. Jayum Jawan berkata, pembangkang tidak mempunyai kesepakatan menuju pilihan raya selain PKR sudah hilang pengaruh pemimpin-pemimpin politik akibat pembelotan.

Untuk rekod, PKR menang tiga kerusi di DUN Ba’kelalan (Baru Bian), Batu Lintang (See Chee How) dan Krian (Datuk Ali Biju) pada pilihan raya negeri lalu, namun, kesemuanya lompat ke PSB dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Kalau pun parti pembangkang menang setakat dua atau tiga kerusi, ia tidak membawa apa-apa makna. Sentimen rakyat masih kekal kepada parti sedia ada. Seminggu berkempen, GPS masih mendahului,” katanya.

Sementara itu, Dick Lembang Dugun berkata, GPS mungkin hilang sebilangan kecil kerusi namun masih mengekalkan kemenangan seperti pilihan raya negeri 2016.



Katanya, kekangan-kekangan kempen secara fizikal di kawasan bandar memberi impak kepada pembangkang namun gabungan itu dijangka mengekalkan kawasan-kawasan yang disandang.

“Pembangkang mempunyai penyokong tegar dan setia yang sudah ada, tetapi dijangka masih belum mampu mengatasi GPS.

“Tetapi di sesetengah kawasan mungkin berlaku beberapa kejutan atau penyandang GPS boleh kalah jika baki hari berkempen tidak digunakan sepenuhnya,” kata penganalisis itu lagi. – UTUSAN ONLINE




Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


MLM 2021: Bahye bakal juara?



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker