Laporan 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia, persepsi umum dan penilaian awam

KHAMIS lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan laporan 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) kepada umum.

Di sebalik ketidakstabilan politik, ekonomi dan sosial yang dihadapi negara ketika pandemik, beliau mengumumkan AKM berjaya memperlihatkan kejayaan dengan mencatat 90 peratus kadar keberhasilan daripada kesemua kementerian.

Kesemua keberhasilan itu dipamerkan menerusi Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia sehingga esok. Ia diperoleh menerusi undian, tinjauan dan pandangan orang awam terhadap 31 menteri dan 26 kementerian selepas pembentukan kabinet Ogos lalu menerusi laman web MyTinjauanAKM.

Di sebalik AKM sebagai suatu pernyataan komitmen kerajaan bagi mengutamakan budaya kerja berprestasi tinggi yang menekankan keberhasilan, satu aspek yang menjadikan AKM lebih istimewa adalah mekanisme penilaiannya.

Penilaian AKM dilihat lebih holistik dan inklusif berbanding sebelumnya yang dilihat bersifat linear dan sehala. AKM bersifat sedemikian kerana instrumen penilaiannya melibatkan penilaian awam dan mengambil kira persepsi umum.

Berbeza sebelum ini yang jarang atau tidak memasukkan langsung instrumen sebegitu. Justeru, laporan pencapaian prestasi kerajaan sering dilihat ‘syok sendiri’ dan tidak mencerminkan keberhasilan sebenar daripada perspektif umum terutama rakyat sebagai pihak berkepentingan sebenar.

Aspek inilah harus diperhatikan. Apabila AKM diluncurkan, aspek itu ditekankan sebagai indeks prestasi utama (KPI) bersandarkan hasil kebahagiaan utama (KHO). Dilihat KHO menjadi pelengkap kepada KPI.

KHO menjadi instrumen mengenal pasti dan memantau kepuasan serta suara rakyat terhadap prestasi dan pencapaian kerajaan. Ia juga medan mengutip input dan data melalui penilaian semasa serta persepsi umum bagi meningkatkan prestasi pelaksanaan dasar dan sistem penyampaian kerajaan kepada rakyat.

Walaupun ada kegusaran ketepatan input dan data dikutip menerusi persepsi umum yang dilihat tidak saintifik, sekurang-kurangnya ia bersifat deskriptif, terbuka serta tidak numerikal.

Hal-hal itu menjadikan penghuraian terhadap proses dan makna terhadap penilaian awam serta persepsi umum akan dilakukan lebih kerap dan mendalam. Ia akan mewujudkan keseimbangan antara fakta dan persepsi umum dalam proses membuat dasar awam. Akhirnya, keputusan kerajaan dilihat lebih menyeluruh dan ia lebih cepat dirasai rakyat.

Benar, penilaian tepat hanya boleh dibuat berdasarkan fakta, bukannya persepsi. Namun, pengurusan persepsi adalah sangat penting dalam konteks masyarakat yang semakin terbuka dan terdedah dengan maklumat.

Pembentukan persepsi dalam pelbagai cara jika gagal diurus dengan baik akan meningkatkan risiko serangan persepsi negatif. Natijahnya, akan timbul kekeliruan umum dan segala usaha membetulkannya akan memburukkan keadaan.

Faktanya, kecenderungan rakyat untuk menilai keberkesanan berdasarkan persepsi berbanding realiti memperlihatkan bahawa keyakinan serta kepercayaan mereka bukan mudah untuk diperoleh. Jadi, penilaian awam dan persepsi umum perlu menjadi instrumen terpenting kerajaan dalam memantau suara rakyat.

Mereka hanya akan meyakini keberkesanan dan keberhasilan kerajaan apabila mereka benar-benar percaya dengan kewibawaan menerusi persepsi serta pandangan umum terhadap kepimpinan.

Ia juga mampu membentuk mekanisme ‘semak dan imbang’ bagi membolehkan kerajaan memberi respons pantas dalam menguruskan persepsi umum dan menangkis serangan negatif.

Mengambil kira bagaimana kerajaan terdahulu tumbang kerana gagal mengurus persepsi umum dan mengambil ringan penilaian awam terhadap pentadbirannya, itu sudah cukup untuk memberitahu pentingnya aspek tersebut dalam setiap perancangan dan tindakan kerajaan.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Laporan 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia, persepsi umum dan penilaian awam


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


JPJ lanjut tempoh diskaun saman sehingga Rabu

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker