Tanpa nafkah suami: Cuci tandas untuk sara anak, derita Marina bakal berakhir?

Tanpa nafkah suami: Cuci tandas untuk sara anak, derita Marina bakal berakhir?

Selama tiga tahun, ‘Marina’ menjadi mangsa sepak terajang pasangannya sebelum diceraikan. Untuk lapan tahun berikutnya, berstatuskan ibu tunggal, beliau terpaksa membesarkan dua anaknya tanpa sesen nafkah daripada bekas suaminya itu.

Ketiadaan sumber pendapatan memaksa beliau bekerja sebagai pembantu jualan dengan gaji RM1,000 sebulan. Tak cukup untuk keperluan tiga beranak, beliau kemudian mengambil upah tambahan sebagai pembersih tandas di tempat kerja.

“Orang tak tahu. Saya ambil upah cuci tandas RM35 sehari. Saya tak beli ayam, saya beli telur saja (untuk sarapan sekeluarga). Kini, hidup kami anak beranak cukup makan saja,” kata beliau kepada FMT.

Marina pasrah dengan keadaan asalkan anak-anaknya tidak kelaparan akibat tindakan bekas suami yang mengabaikan tanggungjawab, baik dari segi agama mahukan kemanusiaan.

Bagaimanapun, tiga beranak itu kini berpeluang mendapat pembelaan. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) kini dalam proses melaksanakan tindakan sekatan akaun bank suami atau bekas suami yang culas memberi nafkah.

Pada 23 Nov lalu, JKSM dilaporkan mempersiapkan pegawai Bahagian Sokongan Keluarga (BKS) dengan kemahiran yang betul supaya tidak melakukan kesilapan dalam membuat penguatkuasaan dan pelaksanaan sekatan akaun berkenaan.

Ketua Pengarah JKSM, Mohd Na’im Mokhtar dilaporkan berkata, langkah sekatan akaun dilaksanakan bagi memastikan isteri, bekas isteri serta anak tidak dizalimi oleh suami atau bapa yang culas itu.

Tindakan menyekat akaun dilihat Marina dan wanita senasib dengannya sebagai langkah berkesan mendapatkan pembelaan untuk diri dan anak-anak mereka.

Marina mengimbau rumahtangga yang dibina bersama suaminya, seorang anggota penguat kuasa yang ketagih dadah dan memukulnya berulang kali, walaupun semasa dia mengandung.

Beliau bersetuju diwawancara FMT dengan syarat nama samaran digunakan kerana “malu” pengalamannya diketahui oleh kenalan dan masyarakat amnya.

“Bekas suami kata dia ambil dadah sebab tekanan kerja. Saya kata bukan saya saja kecewa, mak ayah awak pun kecewa. Dia (bekas suami) kata, ‘tak apalah, kalau hang kecewa, aku cerai hang dengan talak tiga’. Tak sempat bergaduh. Tak sempat nak fikir pun.

“Lepas (lafaz cerai) dia kata (dalam keadaan) tak sedar tapi bila masuk mahkamah, dia pun tak ada masalah (mahu bercerai), jadi talak itu jatuh juga. Ketika itu dia sudah ada perempuan lain,” katanya.

Marina terkontang-kanting membesarkan dua anak yang masih kecil, tanpa dibantu oleh ayah mereka.

“Lepas 2013, potongan (wang saku RM480) untuk anak isteri masih berjalan. Tahun 2014 sudah tak ada dah sampailah 2021 tak pernah beri satu sen, sama ada raya ke…sekolah ke…tak ada apa-apa.

“Saya sokong 100% usaha sekat akaun bank bekas suami. Sekarang saya nak tuntut semua, sebab awal-awal tu kita faham kalau dia ada masalah (kewangan). Tapi sudah lama ni, takkan masih ada masalah lagi,” kata beliau.

Marina tidak mengetahui pasangannya sudah menagih dadah sejak sebelum mereka mendirikan rumahtangga.

“Saya selalu jumpa alat-alat untuk dia hisap dadah. Tapi saya tak tahu apa benda barang-barang itu semua. Jadi saya abaikan. Waktu itu, adik kandung saya tumpang rumah saya dan dia nampak. Dia yang beritahu (suami) saya hisap dadah.

“Waktu tu kami duduk di Kuantan, Pahang. Kemudian kami kena pindah ke Pulau Pinang pada 2010. Sejak itu, dia mula naik tangan, naik kaki, pukul saya. Anak sulung saya baru berusia enam bulan. Kadang-kadang dia lari dari rumah, tak balik berhari-hari,” ceritanya.

Selepas diceraikan suami, Marina dan dua anaknya balik ke kampung dan menumpang di rumah kedua orang tuanya.

“Selepas jatuh talak, saya terduduk sebab talak tiga kan! Saya macam hilang waras, nak gila pun ada. Mak sayalah yang beri dorongan suruh saya bangkit cari kehidupan. Saya minta izin mak untuk keluar cari kerja. Anak-anak saya tinggal dengan mak dan ayah di kampung,” katanya.

Marina berjaya mendapat pekerjaan sebagai jurujual di sebuah pusat beli belah dengan gaji bersih RM1,000 sebulan.

“Saya rindu anak-anak. Hari cuti saya tak ambil. Saya kumpul cuti, saya balik kampung setiap bulan. Sayalah ibu, sayalah ayah. Saya kena balik jumpa anak. Saya beli semua pampers susu, bawak balik.

“Ketika itu saya hanya mampu sewa bilik dengan seorang kawan. Hinggalah mak saya meninggal. Saya terpaksa bawa anak. Alhamdulillah, saya sempat stabilkan diri. Fikiran jadi waras balik. Nasib kawan sebilik saya faham dan sanggup duduk dengan dua anak saya dalam bilik tu, sehinggalah dia pindah keluar, sebab nak kahwin,” katanya.

Marina bersesak dengan dua anaknya dalam bilik kecil selama lima tahun. Gajinya masih tidak cukup namun beliau berjimat cermat untuk memperbaiki keadaan.

“Sekarang sudah stabil sikit. Saya sudah sewa rumah sendiri. Saya tukar kerja dan sekarang ada kereta kecil, bolehlah bawa anak pergi klinik, sekolah semua,” katanya.

Marina cuba beberapa kali mendapatkan bantuan ibu tunggal yang diberikan kerajaan, namun hampa. Beliau mengagak permohonannya ditolak disebabkan status penjawat awam bekas suaminya masih tertera di sijil perceraian.

“Saya dah cuba banyak kali mohon bantuan untuk ibu-ibu tunggal tapi satu sen pun tak pernah dapat. Saya tak tahu dari segi mana mereka nilai, sedangkan saya dah lapan tahun bergelar ibu tunggal. Bantuan sekolah pun tak dapat, cuma dapat bantuan awal RM100 itu saja. Sampai saya putus asa, saya malu,” keluh Marina.

Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia (PITKM) Negeri Selangor, menyifatkan langkah JKSM menyekat akaun bank suami dan bekas suami yang enggan bertanggungjawab terhadap anak dan bekas pasangan masing-masing sebagai amat wajar.

Menurut pertubuhan itu, usaha berkenaan sepatutnya dilaksanakan sejak dari dulu.

“Setuju sangat. Dah lama saya minta usaha begini dilaksanakan. Kita ibu-ibu ni bukan nak minta hak kita sangat pun. Kita nak tuntut hak anak-anak kita. Anak-anak tu anak mereka (suami) jugakan,” kata pengerusinya, Lizatul Akma Zulkifli.

Menurut JKSM, tindakan sekatan terhadap akaun itu dilaksanakan sehingga suami atau bekas suami penghutang penghakiman menyelesaikan hutang nafkah mereka.

Untuk wanita seperti Marina, itulah berita yang sebaik-baiknya pernah diterima dengan harapan mendapatkan keadilan untuk beliau anak-beranak. FMT

Tanpa nafkah suami: Cuci tandas untuk sara anak, derita Marina bakal berakhir?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Tanpa nafkah suami: Cuci tandas untuk sara anak, derita Marina bakal berakhir?

Belanja Foto Seksi, Nabila Huda Kena Tazkirah Dengan Netizen

Zeti izinkan wang RM2.6 bilion dibawa masuk?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker