Cabaran bekalan makanan negara

PADA Mac 2001, Jemaah Menteri telah meluluskan penubuhan Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan atau MKMPK.

Tujuan penubuhan MKMPK adalah untuk memastikan kesihatan rakyat terjamin dengan memperkukuhkan keselamatan makanan di semua peringkat rantaian makanan di Malaysia dan memastikan rakyat mencapai taraf pemakanan optimum.

Majlis itu dianggotai oleh 50 orang Ahli Majlis terdiri daripada pegawai-pegawai tertinggi beberapa agensi kerajaan dan bukan kerajaan. Senarai tersebut nampak gah di atas kertas, namun apa yang berlaku terhadap situasi bekalan makanan di Malaysia seakan tidak pernah berubah, malah hari ini tidak keterlaluan dikatakan ia semakin merosot.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pada September lalu berkata, walaupun Malaysia jatuh dari tangga 28 ke-44 dalam senarai Indeks Keselamatan Makanan Global (GFSI), ia masih lebih baik berbanding Thailand, Indonesia, Vietnam, Myanmar, Filipina dan India.

Beliau menjelaskan perubahan kedudukan Malaysia pada 2019 adalah kerana pelarasan semula dibuat Unit Perisikan Ekonomi (EIU) global. Beliau menambah bahawa Singapura juga telah berubah dari tangga pertama ke tangga 20 dan Australia dari tangga ke-12 ke tangga 26.

Jawapan sedemikian mengingatkan kita mengenai jawapan murid yang takut dirotan bapanya kerana keputusan peperiksaan rendah dan membandingkannya dengan murid-murid lain yang tidak pandai atau mendapat markah lebih rendah agar markahnya kelihatan ‘tinggi’ walaupun hakikatnya dia juga gagal.

Mengapa tidak kita bandingkan sahaja keputusan kita dan Singapura dengan Finland yang naik lima tangga ke tempat pertama atau Belanda, Austria, Republik Czech, Itali dan Kanada yang kesemuanya mempamerkan peningkatan, walhal mereka juga terkesan dengan pelarasan baharu yang sama oleh EIU.

 

MUSIM TENGKUJUH

Pada 2020, kedengaran laungan daripada pembangkang agar satu majlis yang diberi nama Majlis Keselamatan Makanan ditubuhkan untuk bersedia menghadapi kemungkinan berlaku kekurangan bekalan makanan dalam negara.

Tercetusnya pandemik dan perubahan cuaca tidak menentu secara global menimbulkan kebimbangan terhadap kemampuan bekalan import.

Perkara tersebut diperakui kerajaan ketika itu dan melalui National Security Strategy Center (NASTRAC) yang bernaung di bawah Majlis Keselamatan Negara telah menghasilkan dokumen Dasar keselamatan negara 2021-2025 yang turut menyentuh perihal keselamatan makanan.

Perkara 40 di bawah tajuk Isu, ‘Cabaran & Ancaman Keselamatan Negara’ menegaskan kegagalan dalam pengurusan sumber makanan melibatkan kesemua komponen dalam rantaian makanan termasuk kesediaan, kestabilan dan kebolehdapatan makanan akan mewujudkan persaingan terhadap sumber makanan serta mewujudkan kebergantungan tinggi kepada sumber luar.

Apakah dokumen itu masih terpakai setelah berlaku peralihan kuasa tidak dapat ditentukan, namun November menyaksikan pergolakan cukup dahsyat mengenai kelemahan bekalan makanan negara.

Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna terpaksa meminta sebuah firma pengeluar roti untuk menangguhkan kenaikan harga walaupun ia hanya peningkatan 10 sen. Beliau juga menjelaskan masalah kekurangan minyak masak akan diselesaikan setelah mendapat suntikan dana daripada Kementerian Kewangan.

Sebelum ini akibat bayaran kepada repacker (pengilang pek semula) lambat menyebabkan pengilang bermasalah aliran tunai hampir menutup kilang.

Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pula memaklumkan bekalan sayur-sayuran di pasaran berkurangan serta berlaku kerosakan sayur-sayuran milik petani di Cameron Highlands.

Musim tengkujuh telah menjejaskan antara 20 hingga 30 peratus bekalan sayur-sayuran, kata Pengerusi Persatuan Pekebun-Pekebun Sayur Malaysia. Harga bagi beberapa sayur kegemaran rakyat Malaysia seperti sawi, bayam, kangkung dan kailan menunjukkan peningkatan antara 20 hingga 100 peratus.

Musim tengkujuh dan laut bergelora juga telah menjejaskan sekurang-kurangnya 50 peratus bekalan ikan, kata Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Terengganu Utara (KTU) yang menyebabkan terdapat kenaikan antara RM2 dan RM3 sekilogram.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


MN seperti anjing dengan kucing – Ku Li

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker