Risikan Bukit Aman, 123 kondo seluruh negara jadi markas pelacuran

Risikan Bukit Aman, 123 kondo seluruh negara jadi markas pelacuran. Sindiket pelacuran kini mengubah taktik dengan beroperasi di kondominium mewah bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

Jika dahulu mereka menjadikan pusat urut, spa dan hotel sebagai lokasi operasi, namun kini sindiket pelacuran mengubah lokasi operasi dengan menjadikan pelanggan dalam kalangan orang kenamaan atau VIP sebagai sasaran.

Mendedahkan modus operandi terbaharu sindiket pelacuran ini, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, hasil risikan dan serbuan yang dibuat, trend tersebut dikesan berlaku sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak tahun lalu.

“Sejak daripada tahun 2020 sehingga Ogos 2021, terdapat 123 serbuan dijalankan melibatkan kondominium mewah ini,” katanya dalam temu bual khas bersama Sinar Harian baru-baru ini.

Difahamkan, sindiket pelacuran berkenaan dikesan menyewa sebuah unit kondominium secara harian berdasarkan tempahan pelanggan, malah ada yang menyewa unit kondominium di lokasi tertentu dengan cara sewa bulanan.

Menurut Azmi, lazimnya sindiket membayar RM100 hingga ke RM200 untuk sewaan semalaman, manakala untuk sewaan bulanan unit kondominium berkenaan boleh mencecah sebanyak RM2,000 hingga RM3,000.

“Kondominium yang disewa secara bulanan jarang kita kesan, namun kita percaya kondominium itu dijadikan transit untuk memudahkan pelacur menjalankan kegiatan mereka bersama pelanggan kerana ia agak tersembunyi,” katanya.

Menurut Azmi, ciri-ciri kondominium yang menjadi pilihan sindiket ini adalah kondo mewah dan persendirian yang mempunyai sistem kawalan keselamatan yang ketat.

“Keselamatan ini penting, kerana mereka fikir kondominium sukar ditembusi oleh polis sebab ia private dan hanya orang tertentu sahaja dibenarkan masuk.

Ketua Meja Jenayah Sinar Harian, Izwan Rozlin (kiri) menemubual Azmi di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini. – FOTO SINAR HARIAN/ HALIM WAHID

 

Bandar pilihan sindiket

Jelas Azmi, kawasan yang menjadi tumpuan pilihan sindiket pelacuran menyewa kondominium adalah di Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

“Sindiket ini menyasarkan bandar-bandar besar di negeri-negeri ini berdasarkan risikan.

“Kondo mewah ini dimiliki secara persendirian, mereka dipercayai tidak mempunyai kaitan dengan sindiket dan tidak tahu unit kondominium mereka digunakan untuk menjalankan kegiatan ini, kerana kalau tahu mereka pasti tidak menyewakan unit terbabit,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan siasatan, sindiket pelacuran itu tidak didalangi kongsi gelap dan wanita warga asing terbabit menjalankan kegiatan pelacuran atas dasar kerelaan.

“Namun, kita tidak menolak sindiket ini mengupah dan memberi wang perlindungan kepada kongsi gelap bagi memastikan kegiatan itu dilindungi,” katanya.

Azmi berkata, permintaan yang sentiasa ada dalam kalangan masyarakat antara salah satu faktor aktiviti pelacuran ini sentiasa wujud.

“Kita kena ingat konsep supply dan demand, kalau permintaan sentiasa ada secara langsung ia akan menyebabkan bekalan sentiasa ada, pelacuran salah satu daripada demand yang sentiasa wujud,” katanya.

 

Sebahagian pelacur warga asing yang beroperasi di kondominium mewah sekitar ibu negara.
Sebahagian pelacur warga asing yang beroperasi di kondominium mewah sekitar ibu negara.

 

‘Apa yang kami dapati di WeChat’

Aplikasi WeChat antara medium utama sindiket mempromosikan aktiviti pelacuran mereka.

Tinjauan mendapati selain mudah diakses, aplikasi juga dikatakan ‘selamat’ daripada tindakan pihak berkuasa.

Wartawan Sinar Harian yang membuat penyamaran dalam usaha mendapatkan maklumat mengenai aktiviti pelacuran menerusi aplikasi itu mendapati, pelanggan perlu terlebih dahulu mempunyai akaun WeChat peribadi sebelum boleh memilih melalui gambar dan nama pelacur yang dipromosikan di WeChat.

Kami berurusan dengan penyelia laman yang dipercayai ibu ayam dan selepas memilih pelacur yang diinginkan melalui gambar dan nama yang diiklankan, ibu ayam akan menetapkan harga sebelum bayaran perlu didepositkan ke satu akaun bank peribadi.

Selepas bayaran pendahuluan dibuat, barulah kami dibenar berkomunikasi dengan pelacur yang dipilih untuk tempahan slot mengikut tarikh dan masa ditetapkan.

Modus operandi kegiatan pelacuran ini dilakukan secara amat berhati-hati dengan aktiviti perkhidmatan hanya dilakukan pada waktu siang.

Selepas urusan penetapan masa dan lokasi selesai, pelacur meminta kami ke sebuah hotel empat bintang di Petaling Jaya.

Bayaran penuh perlu dibuat kepada pelacur berkenaan sebelum perkhidmatan boleh dimulakan.

Melalui perbualan kami dengan pelacur bernama Sarah, dia bekerja sebagai pelacur kerana pulangan yang diperoleh lumayan selepas tolak bayaran sewa bilik hotel.

Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau bekerja di spa ataupun rumah urut sekitar Shah Alam dan Petaling Jaya.

Dia yang berasal dari Indonesia mengakui lazimnya akan berulang-alik ke negara asalnya, namun akibat PKP dia terkandas dan perlu bekerja untuk menyara hidup.

Sarah juga mengakui kini bekerja di bawah rangkaian sindiket pelacuran bersama beberapa lagi rakan senegaranya.

Risikan Bukit Aman, 123 kondo seluruh negara jadi markas pelacuran


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Salun rambut jadi sarang pelacuran

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker