Rayuan Azeez batal 9 tuduhan rasuah, ubah wang haram ditolak

Rayuan Azeez batal 9 tuduhan rasuah, ubah wang haram ditolak

Mahkamah Rayuan hari ini, menolak rayuan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim bagi membatalkan tiga tuduhan rasuah dan enam tuduhan pengubahan wang haram dihadapinya.

Bagaimanapun, bekas Pengerusi Tabung Haji itu dilepas dan dibebaskan daripada baki empat tuduhan pengubahan wang haram.



Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali membuat keputusan itu secara sebulat suara.

Abdul Azeez diwakili peguam, Amer Hamzah Arshad manakala pendakwaan dikendalikan Aslinda Ahad dan Nik Haslinie Hashim.

Susulan keputusan itu, perbicaraan kes rasuah dihadapi Ahli Parlimen Baling berkenaan yang kali terakhir diadakan di Mahkamah Sesyen pada 18 Disember 2020, kembali bersambung.

Saksi pendakwaan kelima yang juga pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya, Azrin Abdul Razak, membaca pernyataan saksinya pada hari terakhir perbicaraan kes terbabit.



Azrin, 46, memberitahu mahkamah ada menerima permohonan daripada Penguasa Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Afnan Abdullah, untuk mendapatkan maklumat kenderaan jenis Toyota Vellfire putih milik Abdul Azeez bagi membantu siasatan.

Selepas menerima surat, Azrin membuat semakan dan carian berkaitan nombor pendaftaran milik Abdul Azeez sebelum maklumat diberikan kepada Muhammad Afnan.

Pada 26 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan menangguhkan kali ketiga keputusan rayuan itu selepas pembelaan memaklumkan Abdul Azeez tidak dapat hadir ke mahkamah kerana menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Amer Hamzah dilaporkan berkata, anak guamnya mengalami gastrik dan pihaknya akan mengemukakan cuti sakit (MC) kepada mahkamah bagi mengesahkan perkara itu.



Susulan itu, Kamaludin tidak mempertikai tahap kesihatan bekas Pengerusi Tabung Haji itu, namun berharap proses mahkamah tidak disalah guna.

Sebelum ini, keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan ditangguhkan dua kali kerana pembelaan memohon ruang dan masa bagi menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) susulan penemuan bukti baharu kes itu.

Pada 12 Mac tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Abdul Azeez membatalkan kes sama.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pertuduhan yang dikenakan terhadap Abdul Azeez tidak cacat.



Muhammad Jamil dalam penghakimannya, berkata mahkamah mendapati alasan permohonan Abdul Azeez tidak bermerit, manakala tertuduh gagal menunjukkan pendakwaan terhadapnya adalah bersifat mala fide (berniat jahat).

Sebelum ini, Abdul Azeez, 55, menghadapi tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram mencecah jutaan ringgit.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 serta dibaca bersama seksyen 16(a)(A) dan seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda. BH

Rayuan Azeez batal 9 tuduhan rasuah, ubah wang haram ditolak




Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Benarkah Iskandar Zulqarnain adalah Alexander The Great? Bhg 3



Soo Wincci rasa tenang masuk masjid

Kehilangan pasangan hidup selepas 19 hari berkahwin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker