Azeem usah terlepas pandang Lalu Muhammad Zohri

Banyak yang boleh dipelajarinya daripada jatuh-bangun jaguh pecut sensasi Indonesia itu.

Azeem usah terlepas pandang Lalu Muhammad Zohri

Oleh Hishamuddin Aun

Asia Tenggara boleh berbangga dengan kedua-duanya meskipun nasib mereka kini berbeza. Di antara Muhammad Azeem Fahmi dan Lalu Muhammad Zohri, ada pengalaman jaguh sensasi Indonesia itu yang boleh dikongsi dalam pada mereka sama-sama menuju puncak dalam bidang olahraga antarabangsa.

Kedua-duanya akan kerap bersaing lagi untuk bergelar raja pecut di peringkat serantau dan benua, dengan mungkin silih-berganti mengisi kedudukan no 1 dan 2, tapi ia akan lebih berkisar kepada siapa yang dapat bertahan di podium untuk satu jangka masa yang lama.

Azeem baru berusia 19 tahun manakala Zohri lima tahun lebih senior. Dengan perbezaan umur sedemikian, tidak hairanlah apa yang sedang dilalui Azeem ketika ini lebih dahulu dirintis oleh Zohri ketika dia masih tidak dikenali dan tidak diberi banyak peluang untuk menyinar di peringkat remaja dunia.

Dalam Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Dunia 2018 di Tampere, Zohri – dilahir dan dibesarkan di perkampungan Pemenang, Lombok dan kehilangan ibu bapanya ketika usia remaja – menjadi sensasi sebagai juara, dengan sekeping foto dia diapit dua atlet Amerika Syarikat harus jadi kebanggaan majoriti daripada 274 juta populasi Indonesia.

Catatan 10.18 saat dilakukannya di bandar Finland itu cukup untuk menidakkan pelari pilihan, Anthony Schwartz, dan Eric Harrison yang berkesudahan di tempat kedua dan ketiga. Sejak itu, hidupnya berubah sebagai ikon kebangsaan, termasuk Presiden Joko Widodo mengarahkan supaya rumah kampungnya yang diperbuat daripada kayu dan anyaman buluh diubah suai.

Kepantasannya terus meningkat dengan catatan 10.13s (rekod kebangsaan Indonesia) untuk pingat perak dalam Kejohanan Olahraga Asia 2019 di Qatar dan dicantasnya lagi kepada 10.03s dalam Kejohanan Grand Prix Osaka pada tahun sama. Namun, sejak itu kejayaan besar menjauhinya, termasuk sekadar di tempat keempat 100m Sukan SEA Hanoi 2022.

Siri kecederaan dan pandemik Covid-19 menyukarkan lagi kemajuannya hingga memaksanya pulang ke Lombok untuk berlatih selama enam bulan pada 2020. Sukan Asia Hangzhou 2023 ini diharapkannya dapat menjadi batu loncatan untuk mengembalikan prestasinya tapi belum rezekinya.

Tidak seperti Zohri yang meraih emas pada 2018, Azeem hanya mendapat tempat kelima acara 100m dengan catatan 10.14s dalam Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia tahun lalu. Tapi di sanalah juga dia mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 10.09s ketika memenangi saringan 8 pusingan pertama.

Dibandingkan dengan Zohri yang tidak mampu hingga terpaksa berlatih berkaki ayam pada awal kerjayanya, Azeem harus lebih bertuah. Selepas menang emas dan perak acara 200m dan 100m Kejohanan Sekolah-sekolah Asean 2019, dia melanjutkan pengajian ke Universiti Auburn, Alabama, AS di mana dia berlatih di bawah asuhan jurulatih dari Zimbabwe, Ken Harnden, sejak Januari lalu.

Sukan Asia Hangzhou 2023 pertemukan Azeem dan Zohri sebanyak dua kali. Selepas dia mudah memenangi saringan 3 dalam pusingan pertama dengan masa 10.28s, Azeem dan Zohri dibariskan di garis permulaan bagi saringan 1 peringkat separuh akhir. Kedua-duanya bersaing sengit untuk Zohri lebih dahulu sampai di garis penamat dengan catatan 10.12s, diikuti oleh Azeem di tempat kedua dengan masa 10.17s. Kedua-duanya layak ke perlumbaan akhir yang menyaksikan Azeem berkesudahan di tempat ketiga untuk dikalungkan gangsa – menamatkan penantian 41 tahun negara untuk sebutir pingat 100m Sukan Asia sejak 1982.

Zohri pula dikerah berpuas hati di tempat keenam – setakuk lebih baik daripada tempat ketujuh dalam temasya Jakarta 2018 – dengan masa 10.16s. Bagaimanapun, hasrat kedua-duanya untuk tampil pelari terpantas Asia Tenggara dalam perlumbaan itu tidak kesampaian apabila mereka dipintas peserta Thailand, Puripol Boonson, yang meraih pingat perak.

Namun, seperti kata seorang pegawai kontinjen Indonesia, penyertaan Zohri di Hangzhou bukan sekadar untuk berlumba tapi lebih kepada mendedahkannya semula kepada tuntutan kejohanan bertaraf tinggi dengan sasaran untuk memuncak kembali dalam Sukan Olimpik Paris yang akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos 2024.

Dibandingkan usianya dengan Zohri, masa masih banyak buat Azeem untuk terus meningkatkan kepantasannya. Ketika ini pun, sudah timbul cakap-cakap untuk mencantas masanya ke bawah 10 saat seperti diyakini bekas jaguh pecut negara M Jegathesan selepas menyaksikan perlumbaannya di Stadium Olimpik Hangzhou kelmarin.

Azeem mengakui dia masih terlalu gemuruh ketika beraksi pertama kali dalam Kejohanan Olahraga Dunia IAAF di Budapest dari 19-27 Ogos lalu tapi untung buatnya kerana jurulatihnya Harnden sudah siap dengan perancangan dalam latihan selanjutnya untuk apa saja kekurangannya dapat terus diperbaiki.

Di samping itu, Azeem tidak akan rugi apa-apa andai belajar daripada segala kepayahan yang pernah dilalui Zohri dalam mengelakkan kecederaan agar dia dapat terus konsisten mengejar Impian dalam saingan peringkat tertinggi. FMT

Azeem usah terlepas pandang Lalu Muhammad Zohri

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Dr Syazwani ‘superhero’ dalam pesawat Turkish Airlines, banggakan negara

Jasmin Hamid pakai Proton Wira, dah miskin ke?

Meerqeen, Ameera Khan dating di Paris? (Video)

13 sebab mahkamah tak patut gugur pertuduhan Muhyiddin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker