Serangan kudis herpes
Serangan kudis herpes
BARU-baru ini, seorang penyanyi lelaki diserang kudis herpes di kawasan bibir menyebabkan ia membengkak dan menyukarkannya untuk menyanyi, makan serta bercakap.
Dia turut mengalami penyakit itu bulan lalu, tetapi ia tidak seteruk seperti yang menimpanya ketika ini.
Rupa-rupanya penyanyi itu menghidap penyakit terbabit sejak kanak-kanak dan menanggung derita itu sepanjang hayat.
Selain penyanyi itu, seorang kakaknya juga mengalami penyakit sama.
Penyakit ini bagaimanapun tidak kerap menyerangnya jika dia makan ubat antibiotik sehingga habis dan mengelakkan tekanan.
Sihat minggu ini mendapatkan Pengamal Perubatan Seksual dan Reproduktif U.n.i Klinik TTDI Dr Ahmad Ramdan Zainordin untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penyakit ini yang disangka hanya menyerang alat kelamin.
Dr Ahmad Ramdan berkata, kudis herpes ialah jangkitan kulit disebabkan jangkitan virus Herpes atau Herpes Simplex Virus (HSV).
Menurut Dr Ahmad Ramdan, ada dua jenis virus herpes yang menyebabkan kudis herpes iaitu Herpes Simplex Virus jenis 1 (HSV-1) dan Herpes Simplex Virus jenis 2 (HSV-2).
“HSV-1 lebih kerap membabitkan jangkitan pada mulut dan bibir, tetapi ia juga boleh menjangkiti alat kelamin sebagai penyakit kelamin.
“Manakala HSV-2 lebih khusus membabitkan jangkitan pada alat kelamin.
“Kebanyakan pesakit yang dijangkiti herpes tidak bergejala, malah mereka tidak pernah mengetahui dijangkiti,” katanya.
Dr Ahmad Ramdan berkata, gejala herpes yang jelas adalah seperti ruam, lepuhan, gelembung air yang pedih dan ulser.
Kata Dr Ahmad Ramdan, gejala ini boleh berlaku dalam mulut, bibir atau alat kelamin.
Individu yang dijangkiti turut mengalami demam, badan lesu dan bengkak kelenjar limfa.
“Jangkitan herpes berlaku melalui sentuhan secara langsung dan kontak kelamin melalui aktiviti seksual. Contoh sentuhan secara langsung ialah ciuman, aktiviti kelamin seperti seks oral, vagina dan dubur.
“Malah, geselan antara alat kelamin juga berisiko dijangkiti herpes, meskipun tanpa penetrasi. Herpes tidak berjangkit melalui peralatan seperti sudu, cawan, tuala dan lain-lain,” katanya.
Ditanya mengenai individu berisiko dijangkiti virus herpes, Dr Ahmad Ramdan berkata, sesiapa sahaja berisiko menghidap penyakit berkenaan.
“Malah, bayi juga boleh dijangkiti herpes jika bayi itu lahir daripada ibu yang dijangkiti herpes pada alat kelamin.
“Oleh kerana kebanyakan individu yang dijangkiti herpes tidak bergejala, ini tidak bermakna mereka tidak boleh menjangkiti orang lain.
“Herpes masih boleh menjangkiti orang lain kerana virus ini terus membiak (viral shedding) meskipun tidak bergejala,” katanya.
Dr Ahmad Ramdan berkata, penyakit herpes boleh dirawat, tetapi tidak boleh disembuhkan.
Ini kerana, virus itu akan kekal dalam badan seseorang yang dijangkiti seumur hidup.
Katanya lagi, tidak semua yang dijangkiti herpes mengalami gejala kudis herpes.
“Jika mereka bergejala, ubat antiviral akan diberi untuk mengurangkan rasa sakit dan memendekkan tempoh gejala.
“Kebanyakan pesakit hilang gejala dengan cepat jika rawatan diberi awal sebaik sahaja gejala bermula.
“Tetapi, jika gejala kembali muncul dengan kerap, rawatan antiviral akan diberi untuk masa yang lebih lama,” katanya.
Dr Ahmad Ramdan berkata, oleh kerana penyakit ini sepanjang hayat, tidak mustahil ada pesakit bimbang mengenai bahaya jangkitan itu.
“Jangkitan herpes tidak membawa maut atau menyebabkan masalah kesihatan lain yang serius.
“Namun, gejala jangkitan ini boleh mengganggu kehidupan seharian kerana kudis mencetuskan kesakitan dan rasa pedih,” katanya.
Menurut Dr Ahmad Ramdan, jangkitan herpes kelamin bagi wanita lebih berisiko jika wanita terbabit hamil kerana ia boleh menjangkiti bayi (neonatal herpes).
“Mereka yang dijangkiti herpes juga mempunyai risiko dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi untuk dijangkiti HIV.
“Ini kerana aktiviti virus pada kulit menyebabkan lebih banyak kawasan terdedah kepada jangkitan HIV untuk memasuki badan,” katanya.
Kata Dr Ahmad Ramdan, selain jangkitan herpes pada alat kelamin, ia juga boleh berlaku pada mulut, bibir, jari dan mata.
“Kebanyakan gejala kudis herpes pada kawasan selain alat kelamin adalah disebabkan jangkitan HSV-1, yang mana kebanyakannya tidak berkaitan dengan aktiviti kelamin.
“Bagaimanapun, HSV-1 juga boleh menyebabkan jangkitan pada alat kelamin seperti HSV-2.
“Jangkitan herpes pada mulut dan bibir paling kerap berlaku, ia panggil ‘cold sore’,” katanya.
Jelas Dr Ahmad Ramdan lagi, mereka yang menyentuh kudis ini dan menyentuh bahagian lain pada badan menyebabkan herpes menjangkiti kawasan lain seperti mata dan jari tangan (herpes whitlow).
“Mereka yang dijangkiti HSV-1 pada mulut dan bibir dan melakukan seks oral kepada pasangannya menyebabkan jangkitan boleh merebak ke alat kelamin pasangan.
“Kudis herpes boleh dirawat dengan pemberian ubat antiviral, bukan antibiotik.
“Ubat antiviral yang diambil dengan betul untuk tempoh masa yang betul atas nasihat doktor, boleh mengurangkan gejala kudis herpes dan memendekkan tempoh gejala.
“Seseorang mungkin memerlukan tempoh rawatan antiviral yang lebih lama jika terlalu kerap bergejala,” katanya. HM
Serangan kudis herpes
Baca Artikel Menarik :
- Dos penggalak COVID-19: ‘Pergi klinik, klinik tutup’, KKM perkukuh MySejahtera
- Anak arwah Vanessa masih di rawat
- Siakap kayangan, Restoren Terapung Sas Rimba tak terjejas
- Kerajaan gagal lucut hak barangan milik Najib, Rosmah
- PAS tidak boleh bermain ‘Dua Kolam’
- PRN Melaka: Serangan peribadi tidak melunturkan semangat Dira untuk berkhidmat
- Tak terkelip tengok Nabila Huda bertinju
- Sebak tengok ‘baby bump’ Neelofa
- Mike Tyson bidas pemimpin Melayu UMNO, Bersatu dan PAS
- Bekas YB ‘Juara Penambak Babi’ yakin menang walaupun bertanding bebas
- PRN Melaka: PH suka katak, pengkhianat hawau
Layari Laman Facebook MYKMU
PH sudah tersilap, jangan buat lagi dalam isu calon KM Melaka – Guan Eng