Saingan sengit rebut Naib Presiden Pas

SELEPAS tiga tahun, Terengganu sekali lagi menjadi tuan rumah penganjuran Muktamar Pas Ke-67 yang diadakan di Duyung Marina & Resort di Kuala Terengganu, hari ini.

Selain ucapan dasar Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dinantikan seramai 1,546 perwakilan di seluruh negara, kemuncak himpunan tahunan itu tentunya tertumpu kepada barisan jawatan kuasa baharu Pas bagi sesi 2021-2023.

Seperimana pemilihan pada 2019, Abdul Hadi dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man masih mempertahan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden selepas mereka diumumkan menang tanpa bertanding.



IDRIS AHMAD

Perhatian kini terarah kepada jawatan Naib Presiden yang mempertaruhkan empat calon iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad; Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Politik kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, Dr. Mohd. Zuhdi Marsuki.

Idris, Mohd. Amar dan Ahmad Samsuri adalah penyandang manakala Mohd. Zuhdi pula pertama kali bertanding, namun kehadirannya dikatakan bakal memberi tentangan hebat kepada tiga yang lain.

Kalangan pemerhati politik masing-masing sudah membuat tekaan berdasarkan tradisi Pas yang mengutamakan golongan ulama dalam pemilihan calon Naib Presiden. Mengambil kira asas itu, maka Idris dan Mohd. Amar dijangka mampu meraih sokongan perwakilan sekali gus mengekalkan kedudukan mereka.

MOHD. AMAR NIK ABDULLAH

Idris disifatkan sebagai pemimpin paling konsisten dan dominan dalam Pas, malah peranan sebagai menteri turut memberi kelebihan untuknya terus menerajui jawatan berkenaan dan bergandingan dengan Mohd. Amar yang mewakili golongan ulama.



Keadaan itu bakal meletakkan Ahmad Samsuri di kedudukan berisiko menentang pencabar terdekatnya, Mohd. Zuhdi berikutan dakwaan beliau memiliki musuh-musuh politik sekali gus berpotensi disabotaj dalam pemilihan kali ini.

AHMAD SAMSURI MOKHTAR

Ahmad Samsuri sebelum ini menang tanpa bertanding selepas Datuk Iskandar Abdul Samad menolak pencalonan tersebut.

Mohd. Zuhdi yang merupakan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas pula baru-baru ini mengejutkan ramai dengan kenyataan berhubung penggunaan lambang Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

MOHD. ZUHDI MARSUKI

Kenyataan yang dibuat lebih awal sebelum Pas menetapkan keputusan bersetuju menggunakan lambang PN itu, seolah-olah menggambarkan beliau mewakili kumpulan dalam parti yang kurang senang dengan cadangan PN.



Sementara itu, penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali dari Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, perebutan jawatan Naib Presiden menjadi penentu kepada hala tuju Pas di masa akan datang, sama ada kekal sebagai gabungan dalam kerajaan mengikut acuan sedia ada atau kembali kepada tajdidnya.

Katanya, sentimen kewujudan dua kem pro-UMNO dan pro-Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pas dijangka mempengaruhi pemilihan calon Naib Presiden kali ini di samping senario PRN Melaka.

Selain Naib Presiden, seramai 36 calon bertanding bagi merebut 18 jawatan AJK dengan keputusannya dijangka diumumkan pukul 9 pagi, esok.

Keputusan pemilihan barisan Naib Presiden dan AJK baharu itu tentunya memberi kesan besar terhadap situasi di Melaka menjelang hari penamaan calon, lusa. – UTUSAN ONLINE



Saingan sengit rebut Naib Presiden Pas


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Muktamar PAS ke-67: Perwakilan dijangka bangkit isu penggunaan lambang PN



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker